Sejenak kita melihat pada suatu malam di Madinah. Malam yang tenang menyelimuti mereka yang sudah ke peraduan. Seorang lelaki menyingkirkan selimutnya, bangkit berjalan menyusuri lorong2 yang sepi. Angin berhembus dingin menusuk tulang. Lelaki itu keluar seorang diri menyatu dengan malam. Dia tidak boleh tidur. Dia khuatir ada musafir terlantar kerana tidak ada tempat penginapan, khuatir ada orang sakit memerlukan ubat dan ada orang kelaparan yang tidak menemui sesuatu untuk mengalas perut. Dia khuatir ada urusan rakyatnya yang dia abaikan. Bahkan dia juga berasa bertanggungjawab terhadap seekor kaldai yang tergelincir di tepi sungai Furat. Lelaki itu adalah Amirul Mukminin. Ya, Umar bin Khattab.
Lama sekali Umar menghabiskan waktu untuk mengelilingi kawasan pada malam yang gelap gelita itu. Keletihan dirasainya, lalu Umar bersandar sejenak pada sebuah tembok rumah kecil di hujung Kota Madinah untuk beristirehat bagi meneruskan sedikit lagi langkahnya ke Masjid Nabawi. Fajar hampir menyingsing. Di antara suara binatang malam Umar terdengar sayup2 suara dua orang wanita di dalam rumah yang kecil itu. Suara seorang ibu dengan puterinya. Si puteri berdebat dengan ibunya dan menolak mencampurkan susu yang diperah dengan air.
Si ibu berkata: "Campurkanlah susu itu dengan air!"
"Amirul Mukminin melarang susu campuran. Apakah ibu tidak mendengar dia melarang perbuatan itu? ujar si anak.
Hati Umar sejuk oleh sebuah jawapan yang memadukan kejujuran dan keimanan, ketaatan kepada Allah dan perasaan diawasi oleh Allah. Umar mempercepatkan langkahnya ke masjid bagi menunaikan solat subuh bersama para sahabat. Setelah itu Umar kembali ke rumahnya. Kata2 jujur gadis tadi terngiang2 dalam pendengarannya "seandainya Umar tidak melihat kita tetapi Tuhan Umar melihat kita".
Umar memanggil puteranya yang ingin berkahwin, Ashim namanya. Umar menyarankan supaya Ashim mengunjungi rumah gadis itu sambil menceritakan apa yang dia dengar. Umar berkata: "Wahai anakku, pergilah dan nikahilah dia. Aku tidak melihatnya kecuali mendapatkan keberkatan. Semoga dia melahirkan anak yang memimpin Arab".
Ashim menikahi gadis itu. Gadis miskin yang warak. Namanya Ummu Ammarah binti Sufyan bin Abdullah bin Rabiah ats-Tsaqafi. Daripada pernikahan itu lahirlah puteri yang mereka namakan Laila dengan panggilan Ummu 'Ashim. Ummu 'Ashim bekahwin pula dengan Abdul Aziz bin Marwan. Hasil pernikahan inilah melahirkan umar bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang zuhud, bertakwa dan warak. Dalam diri Umar bin Abdul Aziz mengalir darah Umar bin Khattab. Kedua-dua Umar ini telah mengajarkan kepada kita banyak perkara. Umar bin Khattab menjadi khalifah kedua selepas kewafatan Nabi iaitu selepas Abu Bakar. Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai khalifah ke 8 Bani Umayyah di Damaskus.
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada dua Umar ini adalah:
Coretan di atas adalah daripada buku Belajar Dari Dua Umar Kenyangkan Perut Rakyat terbitan Anbakri Publika Sdn Bhd. Buku ini elok dimiliki supaya dapat membersihkan jiwa dan hidup dalam kesederhanaan, tidak mementingkan diri sendiri dan menjadi teladan kepada orang lain sebagaimana yang diamalkan dua Umar ini.