Followers

Thursday, February 11, 2010

Marah


Bismillahirrahmanirrahim.

MARAH yang terbit daripada sifat takbur, sombong, bongkak dan kebanggaan melahirkan perasaan meninggikan diri, hasad, dengki serta berebut pengaruh.

Ada kalanya kemarahan hanya untuk kepentingan diri, bukan mendidik dan mengajar.

Menahan kemarahan seperti itu perlu banyak maaf (hilm) dan banyak menahan hati (tahallum) kerana marah adalah tabiat diri.

Biasanya jika marah kepada yang disegani, perasaan dipendam dalam hati dan muka menjadi muram.

Jika marah kepada sama usia, muka merah, badan gementar dan ada kalanya terserlah kemarahan itu.

Ada juga sikap marah yang lahir daripada pergaulan dengan orang pemarah.

Disebabkan itu kita juga menjadi mudah marah sebaliknya apabila bergaul dengan orang yang tenang dan lemah lembut, si pemarah akan luntur nafsu marahnya.

Sesal adalah hasil marah paling nyata. Akibat suka marah, kawan semakin kurang, yang dibenci bertambah banyak, musuh bertambah gembira memperolok-olokkan, orang yang dengki bertambah suka mempermainkan. Anak suka sekali mencemuh dan meniru.

Seorang bapa sering memarahi anaknya dengan berkata: "Awas, nanti kamu semua saya 'timbang' dengan kaki kiri, dan saya kirimkan masuk kolam."

Disebabkan sering dimarahi begitu, anak yang mendengar memarahi kawannya dengan kata-kata yang sama. Hasilnya, akibat kesombongan dan sering dimarah bapa menjadi bahan ejekan anaknya.

Sumber: Berita Harian

Friday, February 05, 2010

Adil

Bismillahirrahmanirrahim.

Menegakkan keadilan mengikut kaca mata Islam

Akhlak mulia Rasulullah wajar diteladani supaya dapat nikmati kehidupan tenang

SATU daripada akhlak mulia penghias diri Rasulullah yang mesti menjadi ikutan ummah ialah adil dalam setiap perlakuan, tindakan dan hukuman. Adil bermaksud meletakkan sesuatu kena pada tempatnya.

Justeru, apabila seorang majikan mengambil seseorang bekerja di syarikatnya dengan kelayakan akademik bersesuaian dengan bidang pekerjaannya juga atas dasar pengalaman, maka majikan itu berlaku adil kepada pekerjanya.

Sesungguhnya skop perbincangan mengenai soal adil ini sangat meluas. Ia merangkumi aspek kehidupan manusia sama ada suami, isteri, anak, kawan, majikan, pekerja, pemimpin, orang bawahan, ibu dan bapa pasti berhadapan dengan persoalan adil dalam melakukan sesuatu perkara.

Hal ini disentuh al-Quran dengan contoh dan situasi berbeza. Semuanya memberi gambaran bahawa berlaku adil dalam kehidupan adalah satu tuntutan. Berikutan antara ruang lingkup perbahasan mengenai keadilan dan pengadilan menurut kaca mata Islam.

Menulis dengan adil dalam urusan hutang piutang. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga suatu masa tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)." (Surah al-Baqarah: 282).

Keharusan berpoligami jika dapat berlaku adil terhadap isteri. Perkahwinan tuntutan agama bagi membina rumah tangga dan asas kepada perkembangan sebuah masyarakat. Mereka yang mempunyai cukup syarat disunatkan berkahwin dalam memastikan berlaku kelangsungan generasi manusia.

Perkahwinan juga sebagai kaedah mencegah perlakuan dosa dan maksiat lantaran tuntutan hawa nafsu manusia ada kala sukar dikawal. Syara' juga membenarkan seorang suami berkahwin lebih seorang isteri dengan syarat dia mampu berlaku adil pada semua isteri.

Adil dalam konteks ayat keharusan berpoligami ini ialah sekiranya suami mampu untuk adil dari sudut kasih sayang iaitu mengasihi isteri secara sama rata tanpa membezakan isteri pertama, kedua, tua atau isteri muda. Ayat al-Quran menegaskan walaupun poligami itu dibenarkan, amat sukar sebenarnya untuk suami berlaku adil terhadap semua isterinya.

Hal ini dinyatakan dalam Surah al-Baqarah: 129 bermaksud: "Dan kamu tidak akan dapat berlaku di antara isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayang) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awangan), dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Surah al-Nisa: 129).

Suruhan menegakkan keadilan dalam penghukuman. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil." (Surah al-Nisa: 58).

Suruhan menegakkan keadilan dalam penghukuman dan penyaksian. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.

"Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan, dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi) maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Nisa: 135)

Tegakkan keadilan dan kebenaran. Firman Allah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran, dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa, dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Me ngetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah: 8).

Adil dalam keterangan, percakapan dan menyempurnakan sukatan serta timbangan. Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya) sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri), dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu), dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhinya)." (Surah al-Anaam: 152)

Damaikan persengketaan secara adil. Perintah membuat timbangan dengan adil dan tepat dalam berjualbeli. Sebagai peniaga, antara sifat mulia ialah tepat dalam timbangan. Jika tidak dilaksanakan maka ia dianggap tidak adil dan khianat.

Allah menjanjikan balasan buruk jika tidak berlaku adil walaupun dalam membuat timbangan dan sukatan. Maka apabila perintah itu dilakukan dengan adil dan saksama maka balasan baik akan diberikan Allah. Justeru, pastilah mereka yang mengabaikannya pula akan menerima balasan buruk daripada Allah seperti dijanjikan-Nya.

Oleh Mohd Kamel Mat Salleh

Sumber : Berita Harian

Thursday, February 04, 2010

Amanah perisai hindari amalan rasuah

KAKITANGAN awam perlu bijak kendali tugas agar
tidak terjebak kes rasuah. - Gambar hiasan
........................................

Bismilllahirrahmaninrrahim.

Memberi dan menerima sogokan didorong sifat tamak yang boleh menghancurkan ummah

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh


HARI ini, kepemimpinan dan pentadbiran goyah dengan amalan rasuah. Ini satu contoh amalan 'mata pencarian' yang tidak halal dan daripada sumber haram. Malangnya, ia berlaku di mana-mana lantaran kurang keinsafan segelintir manusia mengenai akibat makan sesuatu yang tidak baik dan menjaga keselamatan dirinya di akhirat kelak.

Disebabkan fitrah manusia yang pelupa, kita perlu diingatkan supaya tidak terus leka. Halangan dalam kehidupan kadangkala tidak tertanggung, apatah lagi yang memerlukan wang di depan mata, baginya segala boleh saja. Itulah yang gawat dalam organisasi, akauntabiliti tidak dipandang lagi, kredibiliti tidak bererti, yang tinggal hanya janji yang bakal dimungkiri.

Suruhan Allah SWT supaya mencari rezeki daripada sumber halal ada sebabnya. Amalan rasuah contohnya, adalah perbuatan memberi sogokan berbentuk 'hadiah' sama ada wang, imbuhan, perkhidmatan atau faedah lain untuk membolehkan sesuatu dihajati diperoleh. Perbuatan itu dikeji Allah kerana mengambil harta orang dengan cara mengingkari perintah-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah kamu makan atau mengambil harta orang lain antara kamu dengan jalan salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan atau mengambil sebahagian daripada harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu menge-tahui salahnya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)


Perbuatan memberi sogokan untuk mendapatkan 'sesuatu' sifat yang diwarisi daripada syaitan. Implikasinya juga besar iaitu manusia boleh berbohong, menyatakan yang salah dan menidakkan yang benar kerana mengharapkan sesuatu memihak kepada dirinya.

Pihak memberi rasuah tidak mengambil kira maksud hukum syarak dan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Allah berfirman bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan ialah musuh yang terang nyata bagi kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 168)


Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam hadis Baginda diriwayatkan Al-Imam At-Tarmizi bermaksud: "Daripada Abdillah Amru ia berkata: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah."

Orang yang tidak bersyukur kepada Allah SWT juga mudah mengikut jejak langkah syaitan yang fungsinya menghancurkan keimanan umat Islam. Sifat memberi dan menerima rasuah adalah tamak haloba yang meminggirkan hukum agama dalam menjalankan urusan harian.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang beriman! Makanlah daripada benda yang baik, halal, yang Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah jika betul kamu hanya beribadat kepada Allah." (Surah Al-Baqarah, ayat 172)

Antara tonggak yang boleh menghalang daripada berlaku rasuah ialah sifat amanah. Tidak semudah menyebutnya, amanah adalah sifat terpuji yang ditonjolkan Rasulullah SAW, khulafa al-Rasyidin dan sahabat yang sentiasa mendampingi dan mengikuti akhlak Baginda.

Dengan sikap amanah, era kepemimpinan Rasulullah SAW diangkat paling mulia untuk diteladani. Sifat pemimpin pada masa itu yang adil serta bijaksana mengatur strategi dakwah dengan menonjolkan kepemimpinan amanah berjaya mendidik pihak yang dipimpin.

Bukan sekadar memberi peringatan, Rasulullah SAW mendidik umat untuk mencontohi watak Baginda yang merendah diri tetapi besar hatinya, sikit harta tetapi banyak ilmu, tenang bicara tetapi dalam maknanya dan kecil jajahan tetapi satu dunia sempadannya.

Kepemimpinan yang cemerlang ini menakutkan orang kafir Quraisy yang akhirnya menawarkan sesuatu kepada Rasulullah SAW supaya Baginda dapat bekerjasama dengan mereka tetapi ditolak.

Realitinya kehidupan orang tidak amanah pasti porak-peranda, kucar-kacir dan tidak mempunyai hala tuju dalam menuju masa depan yang cemerlang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila hilang amanah maka tunggulah kedatangan Hari Kiamat. Bertanya seorang lelaki: Bagaimana hilangnya amanah itu? Sabda Rasulullah SAW: apabila sesuatu urusannya diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kerosakan dan kebinasaan." (Hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Sumber: Sini

Tuesday, January 26, 2010

Tip Diet

MENURUNKAN berat badan tidak selalu berkaitan dengan diet dan aktiviti fizikal. Anda boleh mengoptimalkan penurunan berat badan dengan menerapkan beberapa langkah sederhana, seperti makan perlahan.

Berikut beberapa cara lain yang boleh dijadikan panduan untuk menurunkan berat badan:

Ukur tempoh masa makan Anda.

Sediakan waktu 20 minit untuk sekali makan dan latihlah diri anda makan secara perlahan. Ini merupakan kebiasaan yang paling utama untuk menurunkan berat badan tanpa harus memikirkan diet. Nikmati setiap gigitan dan pastikan gigitan terakhir bersamaan dengan detik terakhir waktu 20 minit itu. Cara ini boleh membuat anda kenyang dengan portion yang kecil tetapi menjana pelepasan hormon kenyang. Manakala jika makan terburu-buru boleh merencatkan hormon kenyang tersebut sehingga mendorong anda makan secara berlebihan.

Tambah jam tidur.

Para pengkaji daripada University of Michigan telah menemukan, bahawa dengan menambah jam tidur selama satu jam sehari adalah berkesan untuk menurunkan berat badan sebanyak 7 kg setahun. Jam tidur tambahan ini, menurut pengkaji, menggantikan waktu bermalas-malasan yang sering kali dihabiskan dengan kudapan tanpa kawalan. Selain itu, ada bukti yang menunjukkan bahwa kurang tidur boleh meningkatkan selera makan dan menjadikan anda selalu lapar.

Pelbagikan hidangan sayur dan buah.

Cubalah hidangan tiga jenis sayur sekali gus sekali makan. Cara ini boleh membantu menambah pengambilan sayur dalam diet anda. Makan banyak sayur dan buah merupakan cara yang berkesan menurunkan berat badan. Kandungan serat dan air di dalamnya akan membuat anda kenyang sehingga mengurangi pengambilan kalori kalori.

Jadikan sup makanan pembuka.

Cubalah menambah sup dalam hidangan anda untuk mengurangi pengambilan kalori harian anda. Mengawal makan dengan sup akan memperlambatkan makan dan mengendalikan selera makan Anda. Mulailah dengan sup sayurankurang garam. Tetapi, berhati-hatilah dengan sup berkrim yang tinggi lemak dan kaya kalori.

Jadikan whole grain pilihan utama.

Whole grain seperti beras merah, oat, dan gandum merupakan sabahat baik dalam menurunkan berat badan. Makanan ini bersifat mengenyangkan dengan kandungan kalori yang lebih sedikit. Selain itu, makanan ini juga dinyatakan berfungsi memperbaiki kadar kolesterol.

Pilih pizza sayur.

Daripada pizza dengan topping daging, ada baiknya memilih pizza dengan topping sayur. Cara ini membantu anda mengurangi 100 kalori. Selain itu, pilihlah pizza dengan olesan keju yang lebih tipis atau pizza dengan keju rendah lemak.

Kurangkan penggunaan gula.

Gantilah satu minuman bergula, seperti soda, dengan air putih. Dengan cara ini anda telah mengurangi 10 sudu teh gula. Untuk menambah rasa; cubalah tambahkan lemon, mint atau strawberi beku ke dalam air putih anda. Gula cair dalam soda mengganggu simptom kenyang normal tubuh, sehingga membuat anda makan lebih banyak.

Gunakan gelas yang tinggi langsing.

Ada baiknya menggunakan gelas jenis ini dibandingkan gelas yang pendek dan lebar. Cara ini membantu mengurangi kalori dan berat badan anda tanpa berdiet. Anda akan minum jus, soda atau minuman lain 25-30% lebih sedikit dengan menggunakan gelas ini.

Tuesday, January 19, 2010

Allah murah rezeki hamba bermurah hati

Bismillahirrahmanirrahim.

KEDEKUT menggambarkan sikap seseorang yang berat hati untuk membelanjakan harta milikinya sama ada bersedekah, zakat atau membantu mereka yang memerlukan.


Sikap itu bertentangan dengan tuntutan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan peranggaran.” (Surah al-Maidah ayat 2)


Rasulullah s.a.w bersabda: “Takutilah kamu akan bakhil, kerana bakhil itu pernah membinasakan orang dahulu daripada kamu sehingga mereka suka mengalirkan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang diharamkan ke atas mereka.”

Tabiat kedekut berpunca daripada sikap terlalu sayangkan harta. Ia boleh menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah dan mengerjakan ibadat, sebaliknya memalingkan muka hati kepada dunia semata-mata.

Firman Allah, maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun ayat 9)


Jadi, bagi menyucikan sebahagian harta, setiap orang perlu manfaatkan harta itu dengan membelanjakannya ke jalan yang boleh memberi manfaat.

Kita juga disaran berusaha memperbaiki kelemahan dan ‘meloloskan’ diri daripada kemiskinan kerana kemelaratan itu hanya akan menjauhkan diri kita daripada Tuhan.

Tangan memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Jadi kita perlu sematkan dalam diri untuk bersedekah, Insya-Allah harta yang dikeluarkan akan diganti berlipat ganda.

Jangan hanya sebab harta benda kita bermusuh sesama sendiri.

Berdasarkan konsep rezeki yang diterangkan, Allah memberi jalan seluas-luasnya bagi setiap hamba-Nya untuk memperoleh rezeki dalam pelbagai bentuk.

Justeru, selagi berpeluang bernafas, manfaatlah harta untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain kerana rezeki yang kita miliki kadangkala ada hak kepada orang lain.

Selain itu, menunaikan hajat orang lain juga boleh meluaskan jajaran rezeki.

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan boleh menggelapkan rupa, hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

Amalan bersedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki kita seluas-luasnya.

Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam, maksudnya: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu tergantung di Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.

Saidina Abu Bakar berkata, maksudnya: Orang-orang yang terlalu bakhil mereka tidak akan terlepas salah satu dari tujuh kemungkinan iaitu:

1. Allah memberikan kuasa kepada seorang pemerintah yang zalim, lalu pemerintah itu akan merampas dan membinasakan hartanya setelah menjatuhkan maruah dirinya.

2. Allah akan menimpakan ke atasnya bencana dunia seperti berlaku kebakaran, kecurian, banjir dan tenggelam dalam tanah.

3. Selepas meninggal, hartanya akan diwarisi mereka yang mempergunakan di jalan maksiat dan kemungkaran.

4. Allah akan menimpakan suatu penyakit yang berpanjangan sehingga ia terpaksa membelanjakan semua hartanya itu bagi mengubati penyakit itu.

5. Dia menanamkan hartanya itu pada suatu tempat, lalu ia sendiri terlupa sehingga tidak boleh menemuinya.

6. Terlintas dalam fikirannya untuk mendirikan suatu bangunan di atas tanah yang rosak, akibatnya hartanya musnah.

7. Allah meninggikan syahwat bakhilnya sehingga ia sendiri yang akan memusnahkan.

Oleh Mohd Fadly Samsudin MyMetro

Tuesday, January 12, 2010

Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa': 34)

Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.

Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman: Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya. (Taisir, hal. 177)

Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), 'abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami' no. 660, 661)

Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:

1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.

2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.

3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.

4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.

5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.

6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.

Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.

Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:

1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257.)

2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.

3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.

Asma' bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?" Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".

Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)

4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.

5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta' (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.

6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.

7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)

Sumber: Sini

Sunday, January 10, 2010

Cakap, amalan gambaran hati

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Apabila seseorang lupa Allah, apa saja dibuat dalam hidup serba tak kena.

Mereka akan banyak bercakap berkenaan kerja, jenis kerja serta gaji yang diperolehi. Orang kaya dan berharta sentiasa membayangkan harta dan kekayaannya. Mereka akan bercakap soal projek dan bagaimana mengatur strategi bagi menambah kekayaan. manakala orang miskin pula apabila kekurangan belanja akan memikirkan bagaimana untuk mengatasinya.


Seorang pendakwah fikirannya sentiasa berlegar terhadap masalah umat dan cara memperbaiki serta menyampaikan dakwahnya. Mereka sentiasa berbicara bagaimana dakwahnya boleh sampai ke telinga orang-orang yang masih tidak dapat menerimanya.


Seorang yang sentiasa hidup memburu nafsu akan mencari kawan sealiran dengan mereka untuk berseronok. Seorang yang sedang bercinta akan suka bercakap dengan kekasihnya hingga ia terbawa-bawa di dalam mimpi disebabkan terlalu banyak mengingatinya.


Apa yang kita cakap dan lakukan selama ini mencerminkan apa yang ada di dalam hati kita. Apa yang diutarakan ini nampak seperti berbelit-belit tetapi sebenarnya yang lebih ditakuti, jika kita terbelit dengan fikiran dan tindakan yang tidak berasaskan ingatan terhadap Allah s.w.t. Kita banyak berfikir terhadap hal keduniaan tetapi kita tidak berapa mengingati kepada yang lebih agung iaitu Allah yang mencipta seluruh kejadian di muka bumi ini. Kita banyak memikirkan ciptaan Allah s.w.t tetapi kita lupa kepada penciptanya.


Kalau kita bercakap pun kurang, apatah lagi amalan kita. Kalau yang kita cakap itu pun belum tentu dibuat, apatah lagi yang tidak bercakap langsung, malah lebih parah terlintas di fikiran pun tidak.


Bayangkan kalau tidak terlintas sedikit pun mahu melaksanakan perintah beribadat, bersyukur, berzikir serta memperjuangkan kalimah Allah. Itulah yang membawa kepada segala gejala. Sebenarnya gejala sosial bermula apabila kita 'bermasalah' dengan Allah.


Pendek kata, punca segala yang tidak kena dengan kehidupan kita apabila kita melupakan Allah s.w.t. Kalau menyebut pun sudah jarang-jarang, bagaimana pula hendak berjuang serta mempertahankannya? Dalam suasana orang kita bercakap polemik kalimah Allah ditulis di gereja, sebahagian kita baru tersentak yang mana satu betul. Masa ini baru hendak ambil pusing nama Allah yang dulunya banyak 'terpusing' dengan putaran dunia. Solat dan zakat serta haji entah ke mana, malah semuanya tidak ke mana. Kita bukan hanya perlu memperjuangkan kalimah Allah s.w.t yang Maha Agung semata-mata tetapi hendak hidup dan mati dengan 'skrip' Allah melalui al-Quran dan hadis.


Apa ertinya kita pertahankan nama Allah tetapi hidup menyusahkan Islam dan membuat fitnah terhadap agama gara-gara perilaku kita.


Sama juga kita bermati-matian mempertahankan identiti seorang mualaf yang mati supaya dikebumikan di kubur orang Islam. Tetapi ketika hidupnya, kita tidak prihatin untuk menyampaikan dakwah dan tidak ambil tahu kehidupan agamanya.


Kita berdoa semoga Allah s.w.t memberi kekuatan serta petunjuk kepada pemimpin dan ulama supaya kita dapat menyelesaikan isu kalimah Allah yang hendak ditulis di gereja ini.


Sebagai penutup bicara, elok kita meneliti di peringkat mana hati dan ingatan kita terhadap Allah s.w.t agar selepas ini, kita lebih prihatin dengan keadaan umat Islam serta hubungan kita dengan Allah s.w.t.


Cuba perhatikan senarai berikut, di mana kedudukan kita?

1. Hati yang lalai kepada Allah.


2. Hati yang ingat Allah bila susah dan bermasalah.


3. Hati yang asyik dengan Allah.


4. Hati yang makrifat kepada Allah Kedudukan hati di peringkat pertama dan kedua, kita belum selamat dan tidak boleh diharap menjadi penyelamat serta pembela kepada diri, keluarga serta masyarakat. Usahakan semoga kita dapat naik ke peringkat ketiga kerana pada peringkat itu kita mulai selamat dan menyelamat manakala peringkat keempat adalah peringkat pejuang serta pemenang dunia dan akhirat.

Sumber: myMetro

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails