Followers

Monday, November 15, 2010

Wuquf di Arafah Hari Ini

2010/11/15

MAKKAH: Sekurang-kurangnya 2.5 juta jemaah memulakan ibadat haji semalam dengan menuju ke sebuah kawasan perkhemahan di Mina, tidak jauh dari bandar Makkah, mengikut jejak langkah Nabi Muhammad SAW, 14 abad yang lalu.

Beratus-ratus bas dan kenderaan lebih kecil penuh dengan jemaah tua dan muda menuju ke sana. Ramai juga yang memutuskan untuk berjalan kaki.

Empat pos kawalan di lebuh raya Jeddah-Makkah penuh dengan anggota keselamatan bagi memastikan perjalanan jemaah lancar. Di Mina, lalu lintas lancar.

Sebaik tiba dan masuk ke khemah yang kalis api, jemaah akan mula membaca al-Quran, berdoa atau cuba mencari sanak saudara, lapor laman web Arab News.

Ramai juga akan berehat terlebih dulu kerana perjalanan dari Jeddah dan Makkah ke Mina biasanya mengambil masa lima jam.

Seorang jemaah Pakistan, Shaukat Piracha, berkata: “Keadaan di sini memang menarik sekali. Saya datang lebih awal kerana mahu mengelak kesesakan jalan.”

Pagi ini, jemaah akan bergerak ke Padang Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW memberi amanat terakhirnya.

Selepas itu, jemaah akan pulang ke Mina selepas bermalam di Muzdalifah. Selepas itu, mereka akan melontar batu di Jamrah dan melakukan korban sempena tibanya Hari Raya Aidiladha esok. – Reuters/Agensi

Di bawah ialah petikan daripada Kelebihan Zulhijjah oleh Ustaz Zaharuddin buat perkongsian bersama:

Amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

1) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

2) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

4) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

6) Melakukan sembelihan korban : Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Artikel lain
Wuquf di 'Arafah

Thursday, November 11, 2010

Dunia Untuk Akhirat

Sesungguhnya Alllah swt telah menjadikan kehidupan manusia di dunia ini. Allah juga menyediakan segala keperluan untuk hidup di dunia. Keperluan asasi bagi manusia semuanya sama, tidak kira manusia itu beriman atau sebaliknya. Itulah sifat pemurah Allah swt;

Firman Allah swt, maksudnya;

"Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (al-Baqarah [2] : 29)

Allah swt juga menjadikan kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada manusia, untuk menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan semasa mereka berada di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan di dunia hanyalah sementara sahaja.

Sabda Rasulullah saw;

Maksudnya; "Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, apabila berada di waktu petang engkau tidak menunggu waktu pagi dan apabila berada di waktu pagi engkau tidak menunggu waktu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh di bawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya".

Sabda Rasulullah saw;

Maksudnya; "Tapak kaki manusia tidak akan berganjak sehingga ditanya empat perkara; Untuk apa badannya digunakan, Umurnya untuk apa dihabiskan, Hartanya dari mana ia dapatkan dan untuk apa ia dibelanjakan".

Dunia hendaklah digunakan sebaik-baiknya supaya ia beroleh manfaat diakhirat.

Harta yang dimiliki hendaklah digunakan pada perkara yang dibenarkan oleh syarak seperti memberi nafkah kepada orang yang wajib diberi nafakah, haji, umrah, membeli pakaian untuk menutup aurat, menuntut ilmu dan lain-lain. Maka harta tersebut akan membawa ke akhirat. Bukan digunakan untuk perkara maksiat dan sia-sia.

Umur yang Allah berikan kepada kita hendaklah digunakan sebagai sarana mengabdikan diri kepadaNya dan jangan sekali–kali digunakan kepada perkara maksiat atau perkara yang sia-sia kerana umur yang diberikan kepada manusia dirahsiakan tempohnya.

Kekuasaan, kedudukan dan jawatan yang diiberikan hendaklah digunakan untuk melaksanakan keadilan, kewajipan dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Semua amanah dan tanggungjawab akan dipertanggungjawabkan di kahirat nanti.

Anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah swt hendaklah dididik supaya menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.

Nabi saw bersabda; Maksudnya; "Apabila manusia mati, maka semua amalannya akan terputus kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya".

Menuntut ilmu dengan tujuan untuk menunaikan kewajipan dan menghampirkan diri kepada Allah swt bukan hanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Segala urusan dunia yang dilakukan oleh manusia akan menjadi ibadah dan membawa ke akhirat dengan syarat-syarat berikut;

1) Niat ikhlas kerana Allah swt.

2) Perbuatan yang dilakukan mestilah menepati syariat Islam dengan tidak menghalalkan yang haram atau sebaliknya.

Sabda Nabi saw; Maksudnya; "Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak menepati suruhan kami, maka ia ditolak".

Sumber rujukan Usrahrasahati

Wednesday, November 10, 2010

Kisah Pasangan Burung

Mungkin ramai dah lihat, sekadar berkongsi buat peringatan untuk semua.

Gambar yang diambil oleh seorang jurufoto yang telah melariskan jualan akhbar di Perancis pada hari ia disiarkan.

Di sinilah pasangan (isteri? suami?) kepada burung layang-layang ini terlantar antara hidup atau mati, kerana dilanggar oleh kereta ketika terbang rendah.



Di sinilah ia menghantarkan makanan kepada pasangannya itu, dan menemaninya dengan penuh setia dan kasih sayang..


Sekali lagi ia terbang dan datang membawakan makanan, namun ia sangat terkejut apabila mendapati pasangannya telah mati.. Ia cuba menggerak-gerakkan pasangannya itu, satu keadaan yang jarang dilihat bagi burung atau binatang sepertinya..

Menyedari pasangannya sudah tidak bergerak, dan tidak akan kembali lagi kepadanya, ia mengeluarkan bunyi seolah-olah sedang menangisi pemergian itu dengan hiba..


Dan akhirnya menerima hakikat bahawa pasangannya itu telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya....

Hidup menjadi sepi...


Begitulah kasih sayang yang Allah ciptakan antara sesama makhluk-Nya..Manusia bagaimana?

Pastinya burung yg ditinggalkan pasangan ... hidup menjadi sepi...kita manusia......???

Disalin daripada sini

Ciri-ciri wanita syurga


1. Bertakwa.

2. Beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.

3. Bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu.

4. Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahawa Allah melihat dirinya.

5. Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya dan bersabar atas segala takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

6. Gemar membaca al-Quran dan berusaha memahaminya, berzikir mengingati Allah ketika sendiri atau bersama orang dan sentiasa berdoa kepada Allah.

7. Menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

8. Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternakan yang dimiliki.

9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.

10. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.

11. Menjaga lisannya daripada perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).

13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14. Berbakti kepada kedua-dua orang tua.

15. Menyambung silaturahim dengan keluarganya, sahabat terdekat dan jauh.

iluvislam.com

Monday, November 08, 2010

Sabar

Kesabaran jadi pengukur darjat keimanan umat Islam

SEORANG lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.


Kemudian Baginda menjawab: “Sekiranya benar seperti yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah selama mana engkau berada dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia adalah pengukur darjat keimanan seseorang.

Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.

Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturahim dan haram memutuskannya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berita Harian 2010/11/08

Kawal Perasaan

Amal ibadat boleh jadi ‘penawar’ untuk hati daripada dikuasai perasaan benci, dendam


PERASAAN dendam, benci dan amarah boleh menimbulkan pergolakan serta kekacauan dalam masyarakat kerana sikap mazmumah ini jika dibiarkan berakar umbi dalam jiwa akan menanamkan bibit perselisihan. Islam agama yang berpaksikan kesejahteraan mendidik umatnya supaya menjauhi sifat tercela ini yang boleh menggugat hubungan ukhuwah. Benci diibaratkan api yang diam-diam menyala dalam sanubari apabila tidak mampu dikawal, maka lahirlah tindakan dan perlakuan beremosi.

Seorang sahabat pernah datang menemui Rasulullah SAW memohon supaya Baginda dapat memberi pesan serta wasiat ringkas. Jawab Baginda: “Janganlah kamu marah.” Diulang sekali lagi pertanyaan itu dan Rasulullah SAW tetap menyebut:
“Jangan marah.”

Dalam menghadapi situasi kehidupan hari ini yang serba-serbinya mencabar, sifat marah jika sudah berada pada tahap melampau dan tidak mampu dikawal oleh pertimbangan akal serta agama, akan hanya membinasakan diri sendiri.

Sudah ramai yang dapat kita saksikan hari ini bagaimana sifat marah serta benci yang tumbuh dalam hati bertukar menjadi dendam kesumat yang diakhiri dengan tindakan kejam hingga memusnahkan kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

Justeru, tidak hairanlah mutakhir ini jenayah kejam seperti buli, mencederakan orang hatta membunuh semakin meningkat. Semuanya berpunca daripada gejolak hati yang marak mendidih tanpa dapat dikawal lagi.

Allah sentiasa mengingatkan hamba-Nya sentiasa menjaga hati supaya tidak termakan hasutan syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (untuk kejahatan) itu datangnya daripada hasutan syaitan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 58)

Umat Islam terbaik adalah mereka yang menjaga perlakuan, lidah dan kalbunya daripada sifat tercela. Hati yang jernih dan bersih akan menampilkan akhlak indah serta terpuji. Masyarakat yang berhati luhur, bersopan santun serta mudah memaafkan akan melahirkan modal insan contoh.

Banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menghindari sikap marah, dendam dan benci daripada terus bermaharajalela dalam hati dan nurani. Antara diajar Rasulullah SAW ialah melunakkan lidah dengan selawat, banyakkan berpuasa sunat, mengamalkan bacaan al-Quran supaya hati tenang dan tidak keluh kesah.

Selain itu, bagi meredakan kemarahan dan kebencian daripada terus bernyala, kita sepatutnya melihat daripada sudut positif seperti mengenang kembali kebaikan yang ada pada dirinya supaya berkurangan rasa marah dan benci dalam hati.

Kemampuan kita mengawal rasa dendam, marah dan benci yang bergelodak dalam jiwa menjadikan kita sebaik-baik manusia kerana Nabi Muhammad SAW selalu mengingatkan supaya bersedia untuk berjihad menentang hawa nafsu.

Ketika jenayah dan gejala sosial berleluasa dalam masyarakat di mana ramai menjadi mangsa perlakuan kejam serta ganas, masyarakat perlu menilai apa yang berlaku supaya dapat dijadikan iktibar.

Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan kemarahan tatkala menyaksikan bagaimana bapa saudaranya, Saidina Hamzah Abu Talib dibunuh dengan kejam dan di luar batas kemanusiaan dalam perang Uhud.

Kemarahan dan perasaan dendam Baginda akhirnya dilembutkan Allah apabila turunnya ayat Al-Quran yang meminta Nabi tabah serta bersabar dengan ujian besar yang diterimanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka tentulah mereka akan lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Marilah kita mendidik diri supaya sentiasa berlembut hati, pemurah serta mudah memaafkan orang lain kerana itulah sifat Rasulullah SAW yang berjaya menarik ramai golongan Musyrikin yang keras, sombong dan degil hingga akhirnya mampu dijinakkan dengan kebenaran Islam.

Berita Harian 2010/11/08
Nafsu amarah gagal dikawal membinasa diri
Oleh Nazri Hussein

Monday, November 01, 2010

Teknologi Digital Penggantian Lutut


ROSNAH terpaksa membuang tulang di bahagian atas hingga bawah lutut pada kaki kanannya kerana penyakit kanser tulang yang dihadapi.

Seperti yang pernah diberitahu oleh doktor yang merawatnya, selepas pembedahan, dia boleh pulang ke rumah selepas lima hari dibedah.

SENDI lutut diperbuat daripada tiga tulang iaitu tulang paha (femur) yang berada di atas tulang tibia.

Seperti tidak percaya, Rosnah meragui cerita doktor yang merawatnya.

Anehnya sehari selepas pembedahan mengganti tulang lutut, Rosnah boleh bangun dari katilnya.

Apa yang dialami adalah sesuatu yang lazim dialami oleh mereka yang menjalani pembedahan sama ada penggantian tulang pinggul, gantian sendi lutut atau patah tulang paha menggunakan kaedah pembedahan bantuan teknik navigasi berkomputer atau digital.

Secara umumnya, apabila menyebut terapi penggantian lutut atau pembedahan lutut, ramai yang mengaitkan dengan warga tua.

Ketika soalan pertama penulis ajukan kepada Pakar Runding Ortopedik, Hospital Tropicana, Dr. Soong Kean Leong, penulis digambarkan masalah lutut kepada dua kategori mengikut umur muda dan tua.

Terdapat kes pesakit muda yang kemalangan jalan raya menyebabkan lutut tidak lagi berfungsi dengan baik. Dalam situasi tu, doktor pula menolak terapi penggantian lutut atas alasan usia masih muda.

Ini kerana masalah lutut sering dikaitkan dengan pesakit yang berusia 60 tahun ke atas.

Penggantian lutut melibatkan implan yang ditanam mempunyai jangka hayat pendek dan menyebabkan lutut tidak boleh berfungsi sepenuhnya. Bagaimanapun, teknologi implan terkini menyaksikan ia boleh bertahan hingga 20 tahun.

Terapi penggantian lutut sebenarnya untuk semua pesakit yang amat memerlukan prosedur itu tidak kira usia pesakit.

Jika seseorang mengalami kesakitan yang tidak tertanggung dan menjejaskan kualiti hidup seperti sukar bergerak, rawatan sebelum ini tidak berkesan dan berlakunya kerosakan lutut, maka terapi penggantian lutut mungkin jawapan terbaik khususnya mereka yang aktif dalam sukan.

Terapi penggantian lutut memang lebih popular di kalangan pesakit tua kerana masalah osteoarthritis yang menyerang golongan berusia. Namun, dengan teknologi implan terkini jika ada pesakit muda yang aktif bersukan dan mengalami kecederaan, doktor akan mencadangkan prosedur itu.

Dalam pada itu, pembedahan gantian lutut sebelum ini membabitkan prosedur yang meninggalkan parut berukuran lapan ke 12 inci. Pesakit terpaksa duduk di wad sehingga lima hari tetapi dengan teknik pembedahan minimal invasif (MIS) bukaan pembedahan adalah kecil antara empat ke enam inci saja. MIS juga memastikan doktor tidak ‘mengganggu’ otot dan tisu tendon yang tidak berkaitan. Teknik itu meninggalkan parut yang lebih kecil, tempoh tinggal di wad yang singkat, anda juga pulih dalam tempoh yang cepat dan kurang sakit.

MIS akan memastikan pembedahan tidak banyak berdarah dan pesakit pulih dengan cepat terutamanya dengan bantuan teknik navigasi berkomputer atau digital. Prosedur ini akan memudahkan doktor mendapat ukuran yang tepat untuk menyeimbangkan ukuran tulang yang perlu dipotong.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Utusan

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails