Followers

Wednesday, June 16, 2010

Keberkatan Menjamin Ketenangan

Bismillahirrahmanirrahim.

SETIAP kali sebelum menjamah makanan, kita pasti tidak terlepas membaca doa yang berbunyi "Ya Allah, berkatilah rezeki kami dengan apa yang Engkau berikan kepada kami dan jauhi kami dari seksaan api neraka. Bermakna, kita memang mengharapkan makanan dan apa saja rezeki yang kita peroleh diberkati Allah.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Tiada seorang pun yang berdoa kepada Allah dengan suatu doa, kecuali dikabulkan-Nya dan dia memperoleh salah satu daripada tiga keadaan, iaitu dipercepatkan penerimaan doanya di dunia, disimpan (ditunda) untuknya sampai di akhirat atau diganti dengan mencegahnya daripada musibah (bencana) yang serupa." (HR at-Tabrani).


Yang jelas, pengharapan kita untuk mendapatkan rezeki yang berkat menjadikan kehidupan kita lebih tenang, cukup dan sentiasa dalam naungan Allah. Rasulullah bersabda: "Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang." (HR Bukhari dan Muslim).


Justeru, dalam isu keberkatan, setiap Muslim perlu mempunyai sifat qanaah iaitu reda dan menerima apa saja tanpa menuntut perkara yang bukan keperluannya. Lawan kepada sifat qanaah adalah tamak. Ia menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki orang lain. Maka, ucapan 'Alhamdulillah' perlu dilafazkan bagi menanam sifat qanaah supaya kita sentiasa menerima perkara yang baik.


Untuk menambah keberkatan kita perlu membiasakan diri dengan amalan bersedekah. Sifat pemurah akan memberikan ketenangan kepada diri selain turut disayangi orang lain. Kita perlu ingat, harta yang kita miliki selama ini terdapat juga hak orang lain yang wajib ditunaikan.
Kekayaan bukan terletak pada hebatnya harta seperti kereta mewah, rumah, tanah serta perniagaan yang dijalankan tetapi kekayaan iman yang mencerminkan kesederhanaan hidup.


Dari Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman kepada malaikat pembahagi (pengedar) rezeki kepada bani Adam: Mana satu hamba-Ku yang kamu temui menuju harapannya kepada Aku semata- maka jaminkanlah rezekinya di langit dan bumi. Dan mana satu hamba-Ku yang kamu temui sedang mencari rezekinya, sesungguhnya dia sedang menuntut keadilan, maka lorongkanlah jalan-jalannya tetapi jika dia menuntut selain
dari itu, maka biarkanlah antara mereka dengan apa yang mereka tuntut itu, kelak mereka tidak akan memperoleh lebih daripada apa yang Aku tentukan untuk mereka itu." (HR Abu Naim).


Apabila rezeki tiada nilai keberkatan, kita sentiasa dalam suasana tidak mencukupi. Ada satu, mahu yang lain dan begitulah seterusnya namun tetap merasa kekurangan. Berkat bermaksud
peningkatan serta penyuburan iaitu yang sedikit kita merasa seolah-olah banyak dan mencukupi.


Allah Maha Berkuasa untuk memberi, menarik, meluas serta menyempitkan rezeki sesiapa sahaja. Memang banyak hikmah rezeki yang berkat, antaranya menjadi punca termakbulnya doa. Ingatlah, jika Allah cepat memakbulkan sesuatu doa hamba-Nya itu, bermakna Allah amat menyayanginya. Jika Allah lambat memakbulkan doa, maka itu adalah satu ujian buat hamba-Nya manakala jika Allah tidak memakbulkan doa seorang hamba-Nya maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untuk kita.


Jadi, kita perlu sentiasa mencari keberkatan dalam hidup seharian kerana ia penting bagi menjamin kesejahteraan. Apabila mendapat keberkatan, kemurahan rezeki itu secara langsung dapat dinikmati.


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Barang siapa yang ingin murah atau lapang rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah ia menghubungkan atau menyambungkan silaturahim (sesama manusia) (Riwayat Bukhari).


Kita jangan mendidik diri dengan sifat kedekut kerana ia menyempitkan rezeki. Rezeki amat berkait rapat dengan peribadi seseorang. Ia akan tertahan apabila mereka bergelumang dengan dosa yang dilakukan seharian tanpa bertaubat.


Firman Allah yang bermaksud: "Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu." (Al-Baqarah ayat 168).


Bagaimana kehidupan kita jika sentiasa bergelumang dengan pendapatan haram? Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya". (HR At-Tarmizi).


Seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis; apabila Said Bin Abi Waqas meminta agar Rasulullah mendoakannya supaya Allah memperkenankan doanya, maka Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perelokan sumber rezekimu, pasti doamu dimakbulkan." Kadang kala kita hairan kerana umat Islam takut untuk memakan daging babi kerana ia adalah haram tetapi mereka selamba dan acuh tidak acuh mengambil pendapatan haram.


Penceramah dan perunding motivasi, Mohd Zawawi Yusoh berkata, berkat berkaitan dengan langkah kita ke syurga ataupun neraka. "Setiap pekerjaan yang dilakukan janganlah sehingga mengabaikan ibadat asas seperti solat kerana ia menghilangkan keberkatan rezeki.


"Jika solat terabai, berat untuk sedekah, bersikap acuh tak acuh dengan pengeluaran zakat maka akan hilang nilai keberkatan itu sendiri," katanya. Beliau berkata keberkatan juga berkait rapat dengan cara dan proses seseorang itu mendapatkan rezekinya tidak kira apa saja pekerjaan yang mereka lakukan.


"Tanda keberkatan adalah semakin banyak mereka menerima sesuatu, semakin taat mereka kepada Allah dan semakin baik hubungan dengan orang di sekeliling. "Bagi mereka yang bekerja di pejabat, mereka perlu mematuhi peraturan iaitu cukup masa bekerja, tuntutan kerja lebih masa dibuat dengan betul serta tidak mencuri tulang," katanya.


Selain itu, beliau berkata pelaksanaan kerja juga perlu sentiasa betul agar yang menurut perintah Allah s.w.t. "Dalam perniagaan misalnya, jika pelaksanaannya tidak betul seperti unsur penipuan dan riba' dalam pengurusan, pasti hasilnya tidak sah". Kerja yang berkat dan sempurna sentiasa melaksanakan perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan katakanlah (Wahai Muhammad): "Bekerjalah kamu. Nanti Allah akan melihat pekerjaanmu serta Rasul-Nya dan orang-orang Mukmin. Nanti kamu akan di kembalikan kepada Yang Mengetahui yang ghaib dan yang hadir, lalu dikhabarkan-Nya kepadamu apa yang telah kamu kerjakan". (At-Taubah ayat 105).


Katanya, Allah mengurniakan kepada manusia pelbagai bentuk rezeki seperti wang, pangkat mahupun kuasa. "Manusia perlu menitikberatkan usaha mencari rezeki halal supaya hidup bertambah berkat di dunia dan akhirat. Apabila sumber itu halal, maka lahirlah perbuatan mulia. Manakala jika makanan itu berpunca dari sumber haram, akan
lahirlah perbuatan tercela," katanya.


Oleh Mohd Fadly Samsudin
Sumber: myMetro

Tuesday, June 15, 2010

10 Gangguan Dalam Solat

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Marilah sama-sama kita membaca dan memperbaiki mutu solat kita.Semoga Allah menjadikan kita insan yang berkualiti hasil daripada solat yang berkualiti

1) WAS-WAS SAAT MELAKUKAN TAKBIRATUL IHRAM

Saat mulai membaca takbiratul ihram "Allahu Akbar" , ia ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sudah sah atau belum sah. Sehingga ia langsung mengulanginya lagi dengan membaca takbir. Peristiwa itu terus menerus terulang, terkadang sampai imamnya hampir ruku'.

Ibnul Qayyim berkata, "Termasuk tipu daya syaitan yang banyak menggangu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwudhu) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat". Was-was itu membuat mereka terseksa dan tidak nyaman.

2) TIDAK KONSENTRASI SAAT MEMBACA BACAAN SOLAT

Sahabat Rasulullah SAW iaitu ‘Utsman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah dan rancu". Rasulullah SAW menjawab, "Itulah syaitan yang disebut dengan Khinzib. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah SWT. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT menghilangkan gangguan itu dariku". (HR. Muslim)

3) LUPA JUMLAH RAKAAT YANG TELAH DIKERJAKAN

Abu Hurairah r.a berkata, "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, "Jika salah seorang dari kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggodanya sampai ia tidak tahu berapa rakaat yang ia telah kerjakan. Apabila salah seorang dari kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam". (HR Bukhari dan Muslim)

4) HADIRNYA FIKIRAN YANG MEMALINGKAN KONSENTRASI

Abu Hurairah r.a berkata, "Rasulullah SAW bersabda, "Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan tersebut. Apabila muadzin telah selesai azan, ia kembali lagi. Dan jika iqamat dikumandangkan ia berlari. Apabila telah selesai iqamat, dia kembali lagi. Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya, ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat! Sehingga orang tersebut tidak tahu berapa rakaat ia shalat". (HR Bukhari)

5) TERGESA-GESA UNTUK MENYELESAIKAN SOLAT

Ibnul Qayyim berkata, "Sesungguhnya ketergesa-gesaan itu datangnya dari syaitan, karena tergesa-gesa adalah sifat gelabah, asal dan sembrono yang menghalang-halangi seseorang untuk berperilaku hati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya. Tergesa-gesa muncul karena dua perilaku buruk, iaitu sembrono dan terburu-buru sebelum waktunya".

Tentu saja bila solat dalam keadaan tergesa-gesa, maka cara pelaksanaannya asal. Asal mengerjakan, asal selesai dan asal jadi. Tidak ada ketenangan atau thuma'ninah. Pada zaman Rasulullah SAW ada orang shalat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah SAW memerintahkannya untuk mengulanginya lagi karana solat yang telah ia kerjakan belum sah.

Rasulullah SAW bersabda kepadanya, "Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah dari Al-Qur'an yang mudah bagimu, lalu ruku'lah sampai kamu benar-benar ruku' (thuma'ninah), lalu bangkitlah dari ruku' sampai kamu tegak berdiri, kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma'ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu" (HR Bukhari dan Muslim)

6) MELAKUKAN GERAKAN-GERAKAN YANG TIDAK PERLU

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, maka Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat: "Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan tersebut berasal dari syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah SAW". Orang tersebut bertanya, "Apa yang dilakukannya?" Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya diatas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. "Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah SAW", kata Ibnu Umar. (HR Tirmidzi)

7) MELIHAT KE KANAN ATAU KE KIRI KETIKA SOLAT

Dengan sedar atau tidak, orang tersebut melihat ke kiri atau ke kanan, itulah akibat godaan syaitan penggoda. Kerana itu, setelah takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik. iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan tidak mudah dicuri oleh syaitan.
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a, ia berkata, "Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang hukum melihat ketika solat". Rasulullah SAW menjawab, "Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba". (HR Bukhari)

8)MENGUAP DAN MENGANTUK

Rasulullah SAW bersabda, "Menguap ketika solat itu dari syaitan. Kerana itu bila kalian ingin menguap maka tahanlah seboleh mungkin". (HR Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah SAW bersabda, "Adapun menguap itu datangnya dari syaitan, maka hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ha... bererti syaitan tertawa dalam mulutnya". (HR Bukhari dan Muslim)

9) BERSIN BERULANG KALI SAAT SOLAT

Syaitan ingin menggangu kekhusyu'an solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas'ud, "Menguap dan bersin dalam solat itu dari syaitan" (Riwayat Thabrani). Ibnu Hajar mengomentari kenyataan Ibnu Mas'ud, "Bersin yang tidak disenangi Allah SWT adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah SWT. Hal itu tidak lain karena syaitan memang ingin menggangu solat seseorang dengan berbagai cara"

10) TERASA INGIN BUANG ANGIN ATAU BUANG AIR

Rasulullah SAW bersabda, "Apabila salah seorang dari kalian bimbang atas apa yang dirasakan di perutnya apakah telah keluar sesuatu darinya atau tidak, maka janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin telah mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya". (HR Muslim)

Berbahagialah orang-orang muslim yang selama ini terbebas dari berbagai macam gangguan syaitan dalam solat. Semoga kita semua dibebaskan oleh Allah SWT dari gangguan-gangguan tersebut. Dan bagi yang merasakan gangguan tersebut, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.

sumber: www.iluvislam.com.my dan Jejari Access

Tuesday, June 08, 2010

Ikan Lumba-lumba iringi kapal Mavi Marmara


Sumber: Berita Harian 05/06/2010

Di sini saya salin (Catatan peristiwa sebelum dan selepas diserang komando Israel) supaya dapat diambil pengajaran daripadanya.

(Penulis, bekas Pensyarah UTM yang juga Pengerusi Aqsa Syarif adalah antara 10 sukarelawan Malaysia dalam misi keamanan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui kapal yang diserang Israel baru-baru ini).

KAPAL Mavi Marmara umpama madrasah bagi kami kerana di situlah semua sukarelawan yang terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza menerima pendidikan yang sangat berguna, sekali gus melatih jiwa dan hati kami untuk lebih dekat kepada Allah.

Perjalanan itu, meskipun tidak sempat menghabiskan misi kerana diserang komando Israel, cukup bermakna dalam membuka pelbagai pintu rahsia. Semua petugas umpama baru tamat dalam satu proses pendidikan mengenali erti kemanusiaan dan kehidupan sebenar sebagai hamba Allah.

Empat bulan lalu, hampir setiap hari saya membaca petikan Surah Al‘Imran yang bermaksud: “Para syuhada dianggap hidup di sisi Allah dan sentiasa meminta izin daripada-Nya untuk balik ke dunia dan bertemu dengan pejuang yang masih hidup bagi mengirimkan pesanan supaya jangan takut serta sedih.”

Ketika ayat itu dibacakan setiap hari, sebenarnya saya masih menaruh harapan supaya dibenarkan menyertai misi itu dan Alhamdulillah, berkat izin-Nya, saya akhirnya mendapat kesempatan itu sebagai rombongan terakhir bersama beberapa rakan lain selepas lapan petugas sudah pun bertolak lebih awal ke Istanbul.

Pada 22 Mei, kami bersama dua wakil media Astro Awani, tiba di lapangan terbang di Istanbul dan terpaksa bergegas, berlari ke kaunter tiket untuk mendapatkan pesawat ke Antalya, sebuah pelabuhan di Selatan Turki.

Keadaan kelam-kabut itu semata-mata untuk mendapatkan pesawat domestik dan ketika itu mulut ini tidak berhenti berzikir dan berdoa supaya kami berpeluang dan dapat tiba ke destinasi tepat pada masanya kerana tidak mahu terlepas kumpulan rombongan dan akhirnya, melegakan apabila kami dapat masuk ke pesawat lima minit sebelum ia berlepas.

Dalam pesawat itu, saya duduk di sebelah jurukamera Astro Awani, Samsul Kamal Abdul Latip yang jelas kelihatan masih terpinga-pinga dan seakan belum tahu apa kemungkinan bakal dihadapi dalam misi ini sedangkan dalam pemikiran saya sudah terbayang beberapa perkara yang boleh berlaku termasuk diserang oleh tentera Israel.

Hanya doa yang mampu dipanjatkan semoga kami semua tabah menghadapi sebarang kemungkinan terutama apabila membayangkan kapal kami mungkin dibom, ditawan atau diheret sekiranya memasuki perairan Israel.

Di Antalya, kami ditempatkan di sebuah kompleks sukan selama empat hari iaitu sejak 23 hingga 27 Mei kerana terpaksa menunggu rombongan dari Eropah dan sepanjang tempoh itu, semua sukarelawan terpaksa tidur bertilamkan lantai di ruang terbuka.

Subuh pertama kami di kompleks itu, azan dilaungkan oleh sukarelawan dari Malaysia untuk mengajak semuanya bersembahyang jemaah kerana sebelumnya dilihat kebanyakan orang hanya solat sendirian dan ia juga menjadi detik pemula di mana semuanya bersatu, malah saya sendiri berkesempatan menyampaikan kuliah Subuh dalam bahasa Arab di depan semua orang.

Masih saya ingat, ketika kuliah itu, saya membacakan sepotong ayat – “Hasbunallah Wanikmal Wakil” yang bermaksud memadailah Allah sebagai wakil kami. Ayat itu juga yang dilihat sentiasa disebut di mulut, menjadi zikir ramai orang termasuk mereka dari negara lain sepanjang memijakkan kami di kapal Mavi Marmara.

Masih jelas terbayang di mata saya, begitu ramai masyarakat dari serata dunia termasuk Eropah yang datang sendiri ke kompleks sukan itu dan merayu mahu turut serta dalam rombongan itu tetapi khabarnya hanya sebahagian dibenarkan.

Sebenarnya, banyak kisah menarik untuk dikongsi bersama sepanjang kami di kompleks sukan itu termasuk jeritan seorang warga tua dari Turki ketika dikatakan rombongan itu bakal ditangguh lagi – “Tiga tahun pun akan kami tunggu!”

Di kompleks sukan itu, sempat juga saya berbual dengan anak, Syaima Amatullah, menerusi laman facebook dan dia ada bertanya – “Abah takut tak?” dan jawab saya ketika itu – “Bukankah abah selalu baca ayat dari Surah Al-Imran.” Kenyataan saya itu dipanjangkan anak saya kepada hampir semua rakannya dalam laman web itu.

Tanggal 27 Mei, bermulalah perjalanan jihad kami apabila dibawa menaiki bas yang diiring polis serta disambut meriah oleh ribuan penduduk bandar Antalya dengan memenuhi tepi jalan, melambai serta mengibarkan bendera Turki dan Palestin, selain sebahagiannya membunyikan hon, riuh rendah sama seperti suasana ketika majlis perkahwinan di negara itu.

Terpegun seketika apabila tiba di kapal Mavi Marmara kerana berbeza sekali dengan gambar yang saya lihat. Tak sangka rupa-rupanya kapal setinggi empat setengah tingkat itu begitu besar. Pemeriksaan kastam untuk masuk ke kapal begitu ketat sehinggakan kabel pengecas telefon bimbit tiga pin turut dirampas kerana dilihat berbeza dengan kabel dari negara lain yang hanya ada dua pin.

Masuk saja dalam kapal, saya bersama beberapa rakan lain membuat sujud syukur. Sebahagian yang lain kelihatan masih terpaku kerana seakan tidak percaya akhirnya dapat memijakkan kaki di kapal itu. Ketika itu, ada seorang ahli tarikat berusia 84 tahun berkata - “Aku ke sini untuk turut serta dalam perjuangan Palestin. Apa guna sekadar berzikir jika tidak berjuang bersama.”

Kami diberi makan ala kadar. Sebenarnya jika tak diberi makan pun tak apa sebab tak langsung rasa lapar. Kami makan sekadar untuk mengelakkan lemah dan tidur pun sekadar untuk memastikan badan bertenaga.

Perjalanan kami terhenti di Cyprus pada 28 hingga 30 Mei kerana menunggu kapal lain untuk menyertai konvoi. Sepanjang tiga hari itu, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk ceramah oleh ulama di dalam kapal. Apabila kapal bergerak kembali, satu amaran sudah diberi pada malam 30 Mei kerana mereka nampak ada lampu berkelip di udara yang disyaki helikopter.

Kami juga nampak seakan ada lampu kapal lain bagaikan cuba menghampiri. Ketika itu kami diminta berkumpul dalam kumpulan 15 orang dan dibekalkan jaket keselamatan serta satu topeng gas untuk dikongsi sesama ahli kumpulan.

Jam 1 pagi, keadaan kembali tenang kerana tiada lagi tanda kapal berhampiran, namun kami diminta tidur di luar untuk bersedia terhadap sebarang kemungkinan. Jam 3 pagi, kami dikejutkan dengan sorakan takbir lantaran kumpulan di belakang kapal melihat ada sekumpulan ikan lumba-lumba mengiringi kapal.

Episod serangan bermula sejurus selepas solat Subuh yang ketika itu dirasakan Subuh terakhir kami. Kelihatan beberapa bot menghampiri kami dan helikopter yang berlegar melemparkan bom asap pemedih mata, namun peliknya ia langsung tidak menjejaskan kami kerana tiap kali bom dilempar, ketika itu juga angin akan bertiup kencang menolak asap.

Meskipun keadaan huru-hara dan seakan tidak terkawal, kebanyakan kami tidak terasa gentar. Saya sendiri ditembak di bahu kanan dengan peluru getah tetapi sakitnya hanya sekejap. Malah, ketika ditawan, beberapa kali saya dipijak dan ditendang oleh komando Israel dengan kuat, namun tak pula terasa sakit atau ada kesan lebam.

Selepas ditawan dan diikat dengan tali kabel selama lebih 15 jam, ada di kalangan kami yang berpuasa, namun tidak pula terasa lapar atau lemah. Ketika itu kami hanya ingat Allah. Kekejaman komando Israel bukan sekadar tak beri makan minum, malah tak juga benarkan ke tandas sehingga ada yang terkencing dalam seluar.

Air pun hanya diberi sebotol untuk dikongsi beramai-ramai. Itupun dalam keadaan tangan diikat. Bayangkan betapa kuatnya talian persaudaraan di kalangan kami, meskipun ada yang berlainan agama apabila sesama kami menuang air ke mulut rakan yang lain bersilih ganti.

Di Ashdod, pelabuhan di Israel, kami tidak lagi menerima layanan seburuk di kapal kerana ketika itu kami diuruskan oleh pegawai dari Kementerian Dalam Negeri Israel yang nyata terpaksa melayan dengan baik lantaran sudah menerima tekanan dari kedutaan lain.

Dibawa ke penjara yang masih baru, kami ditempatkan dalam sel besar dengan empat orang sebilik. Ketika itu, sesuatu yang sangat melegakan apabila kami dapat mandi dan membersihkan diri. Tidak berapa lama ditahan kerana akhirnya kami dibebaskan selepas dikunjungi wakil kedutaan Jordan yang memang ditugaskan untuk membebaskan sukarelawan Malaysia dan Indonesia.

Teringat lagi bagaimana berani sekali seorang Ahli Parlimen Kuwait ketika menaiki bas untuk ke Jordan. Sempat dia turun semula ke tangga dan menjerit minta dia dibawa kembali ke sel dengan alasan tidak mahu dibebaskan. Jelas sekali dia seakan mencabar pegawai Israel.

Lucu pula melihat akhirnya pegawai Israel itu pula yang merayu meminta dia naik semula ke dalam bas. Itu semua akibat tekanan kuat yang diberikan kedutaan negara lain yang begitu ramai berkumpul di situ.

Masih sebak di hati ini apabila mengenangkan rakan dari Turki yang tak dibebaskan ketika kami sudah menaiki bas kerana kedutaan mereka belum tiba. Salah seorang warga Turki ada memanggil saya, memeluk dan menangis sambil menawarkan duit poket kerana beranggapan semua barang termasuk dompet saya sudah dirampas.

Sejak dibebaskan pada jam 4.30 petang, Subuh keesokan harinya baru kami sampai di sempadan Israel – Jordan, dan sesuatu yang sangat mengujakan apabila terpandang bendera Malaysia dikibarkan. Ketika itu terasa betapa pemimpin negara kita begitu mengambil berat, malah ketika kami menghubungi Perdana Menteri yang berada di Laos pada jam 2 pagi, beliau masih berdaya menjawab telefon dan menitip pesan kepada kami.

Orang pertama yang saya hubungi sejurus tiba di Jordan dan diberi hadiah sebuah telefon bimbit jenama Nokia dengan kredit panggilan sebanyak sembilan dinar ialah isteri yang kedengaran masih tenang meskipun dalam beberapa laman web sudah beranggapan saya sudah tiada.

Banyak sebenarnya pengajaran yang diperoleh daripada semua kejadian ini di mana ia pasti menguatkan iman kami selain sedar kita hanya insan kerdil yang sudah diaturkan Allah nasibnya serta bersatu seluruh bangsa dunia untuk menentang kekejaman Israel.

(Penulis, bekas Pensyarah UTM yang juga Pengerusi Aqsa Syarif adalah antara 10 sukarelawan Malaysia dalam misi keamanan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui kapal yang diserang Israel baru-baru ini).

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails