Followers

Friday, April 06, 2012

Bencana ganjaran golongan tak tahu bersyukur


Oleh Amran Zakaria

2012/04/06

Nikmat kesenangan patut dibalas dengan tingkatkan keimanan 

ADA empat kategori manusia di akhirat:


1) orang yang berjaya di dunia dan tidak berjaya di akhirat, 
2) orang yang tidak berjaya di dunia dan tidak berjaya di akhirat, 
3) orang yang tidak berjaya di dunia dan berjaya di akhirat dan 
3)orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. 

Mungkin ramai yang terpedaya dan hanyut ketika hidup di dunia. Hanyut dalam kelalaian dan kemewahan. Itu yang ditakuti Rasulullah SAW iaitu Baginda Rasul takut umatnya diuji dengan kemewahan. Sebab itu dalam apa juga keadaan, sama ada mewah atau susah kita hendaklah bersyukur kepada Allah.

Tidak ada lafaz yang mengesankan melainkan rasa syukur dan terus bersyukur atas nikmat yang diberikan-Nya. 

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah? Malah kita perlu merasa bimbang dan takut, setelah sekian banyak menikmati rezeki kurniaan Allah yang kita gunakan sekiranya kita tidak tergolong di kalangan hamba-hamba yang bersyukur. 

Allah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak tahu bersyukur atau tidak mahu bersyukur, dengan amaran azab yang dijanjikan. Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita. 


Kaum Ad, umat Nabi Hud diberi tanah yang subur untuk dijadikan ladang pertanian. Rezeki mereka melimpah ruah, tetapi kerana tidak bersyukur dan bertindak melampaui batas, Allah menurunkan angin puting beliung yang memusnahkan kampung dan harta benda mereka. Kaum Thamud, umat Nabi Saleh dianugerahkan kekayaan dan kemewahan hidup, tetapi kekayaan menjadikan mereka bangga dan menyombong diri. Mereka tetap tidak bersyukur dan tidak beriman kepada Allah. Akhirnya Allah menurunkan halilintar yang kuat dan gempa bumi yang dahsyat menyebabkan kaum itu mati bergelimpangan. 

Kaum Lut di Sodom pula diberikan Allah kehidupan yang sangat mewah. Kemewahan ini juga menyebabkan mereka lupa peringatan Allah dengan bertindak keterlaluan iaitu melakukan hubungan sejenis. Bumi kaum Nabi Lut diterbalikkan dan penempatan mereka musnah ditimpa hujan batu berapi. 

Begitu juga dengan kisah kaum Nabi Syuib dikenali sebagai Madyan. Mereka bermewah hasil daripada perniagaan yang menjadi budaya hidup tetapi terkenal dengan sikap menipu dalam timbangan dan sukatan. Mereka ingkar amaran Allah dan akhirnya mati dalam gempa bumi yang dahsyat. Kaum Nabi Nuh juga tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan. Sebaliknya segala ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh menjadi ejekan mereka. Mereka ingkar dan enggan menurut apa yang diajarkan oleh Nabi Nuh, termasuk anak dan isterinya. Akhirnya Allah menurunkan banjir besar dan kaum itu lenyap dari muka bumi. 

Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya termasuk nikmat kesihatan. Apabila badan dan akal fikiran seseorang mukmin sihat, maka kehidupan mereka akan bahagia dan sejahtera. Mereka akan bekerja dan berusaha dengan penuh semangat, lebih berdaya saing serta hasilnya akan terus meningkat. Pembinaan sahsiah, pengukuhan kualiti insan dan kerohanian, perlu ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah SWT. 

Selain daripada keimanan yang boleh menjadi benteng kukuh, pembinaan sahsiah atau peribadi seseorang itu, perlu dihiasi dengan akhlak atau sifat terpuji seperti sabar, reda, merendah diri dan sebagainya. 

Namun hakikatnya manusia mudah lupa dan senang alpa dengan nikmat yang diberikan Allah untuk menguji sejauh mana keimanan manusia. Sejarah Bani Israel boleh dijadikan bandingan walaupun pernah menjadi bangsa yang dimuliakan Allah. Namun kerana terlalu leka dan lalai dengan nikmat yang Allah kurniakan, mereka bertindak melampaui batas yang Allah tetapkan. 

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Bani Israel, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat. (Surah Al-Baqarah, ayat 47). 

Mereka, yakni puak Yahudi dan Nasrani ini telah hanyut dengan nikmat Allah sehingga mereka lupa diri dan menjadi sombong dan angkuh. Daripada Abu Sa’id Al-Khudri berkata: “Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Sepatutnya kita menerima nikmat dan pemberian Allah dengan penuh syukur di sebalik kegembiraan yang terpancar itu. Allah mengurniakan nikmat keamanan, nikmat kesenangan, nikmat ekonomi yang melimpah, terhindar daripada bala bencana gempa bumi, banjir, puting beliung dan kemarau dan banyak lagi. Sedangkan Allah tidak pernah lalai daripada mengingati kita. Allah sering memperingati kita atas kelalaian kita mengingati limpah kurnia-Nya. Allah teramat mengasihi dan menyayangi kita lalu diberikan peringatan sebelum terlambat. 

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada Tuhan selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?” (Surah Fathir, ayat 3) 

Antara wasiat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Muadz bin Jabal: "Aku berwasiat kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau meninggalkan doa setelah solat dengan doa: “Ya Allah berilah pertolongan kepadaku untuk sentiasa mengingatimu (zikir), dan mensyukurimu (syukur), serta beribadah dengan baik kepadamu."( Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai’e) 

Syukur kepada Allah bererti kita mengingat segala nikmat yang telah kita terima daripada Allah SWT dan menampakkan-Nya (tidak melupakan-Nya), manakala lawan bagi syukur ialah kufur, yakni melupakan nikmat Allah dengan menutup akan nikmat itu. Syukur sangatlah mudah untuk diucapkan tetapi berat untuk diamalkan. Begitulah apa yang berlaku kepada kaum Saba yang pernah mencapai puncak kegemilangannya. 

Firman Allah Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’, ayat 13).


Wednesday, April 04, 2012

Siapakah yang digemari jin dan syaitan?



Diceritakan dalam sebuah kisah yang berlaku pada zaman Ibnu Taimiyah. 

Seorang lelaki dirasuk seekor jin dan Ibnu Taimiyah berbisik ke telinga lelaki berkenaan dengan membaca ayat al-Quran dari Surah Al-Mukminun ayat 10, yang bermaksud: “Adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan bahawa kamu tidak akan kembali kepada Kami?” 

Tiba-tiba roh itu menjawab: “Ya.” Kemudian, Ibnu Taimiyah mengambil sebatang tongkat dan memukul lelaki (orang dirasuk) itu di lehernya hingga berasa penat. 

Tiba-tiba roh halus itu bersuara menjawab: “Aku mencintainya.” 

Lantas Ibnu Taimiyah menjawab: “Dia tidak mencintaimu.” 

Maka jawab roh itu: “Jika demikian, aku akan pergi meninggalkannya sebagai penghormatan kepadamu.” 

Namun, Ibnu Taimiyah berkata: “Tidak. Kamu harus keluar daripada jasad ini kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.” Keluarlah roh halus berkenaan, dan lelaki yang dirasuk tadi beransur-ansur pulih.

Selain itu, kes sebegini sebenarnya berpunca daripada manusia. Antaranya apabila kita secara tidak sengaja masuk ke rumah yang lama dibiarkan kosong dan menjadi tempat kediaman jin.


Kerana itu, Islam mengajar kita memberi salam iaitu: “Assalamu ‘alaina wa’ala ‘ibadillahis saalihin” serta membaca ayat Kursi ketika masuk ke rumah kosong kerana khuatir ia ‘berpenghuni’.


Roh halus juga mudah mendampingi manusia pada saat seseorang itu lemah dan tidak di dalam ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul, seperti lalai melakukan amal ibadah kepada Allah, ketika di puncak kemarahan, terlalu mengikut hawa nafsu dan dendam.


Perkara ini dinyatakan dalam surah An-Nahl, ayat 99-100, yang bermaksud: 


“Sesungguhnya syaitan tidak mempunyai pengaruh terhadap orang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh syaitan hanya terhadap orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.” 

Allah SWT juga berfirman dalam surah Al-Araf ayat 27, yang bermaksud: 

“... Sesungguhnya Kami menjadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman.” 

Oleh itu, berwaspada selalu kerana syaitan dan jin gemar mendampingi manusia ketika manusia lemah iman dan takwanya kepada Allah.

Ingat, sesungguhnya hidup kita didampingi pelbagai jenis manusia, syaitan dan jin yang mempunyai pelbagai ragam. Kadangkala manusia, jin serta syaitan berpakat untuk mengkhianati manusia lain.


Kita tidak tahu apa yang difikirkan manusia sekeliling kita mengenai diri kita. Mungkin ada sesuatu dendam atau iri hati yang terbuku di hati mereka apabila melihat kita. Ada juga yang dengki apabila melihat jodoh kita bersama pasangan kita. Tidak ada yang mustahil.


Kerana itu, berbanyaklah membaca al-Quran, mengamalkan ayat Kursi ketika hendak tidur dan selepas solat, amalkan juga membaca tiga surah iaitu An-Nas, Al-Ikhlas dan Al-Falaq.


Namun yang lebih penting, peliharalah solat kita. Insya-Allah, Allah akan memelihara hamba-Nya yang memelihara hak serta kewajipan kepada-Nya.

Friday, March 30, 2012

Waspada syirik khafi


“UBAT tu memang bagus, kalau engkau makan, sekejap saja pening engkau tu hilang.” Itu antara dialog yang biasa kita dengar dalam perbualan kita bersama orang sekeliling.

Tidak kurang juga mengagumi seorang bomoh atau doktor yang disifatkan ‘pakar’ merawat penyakit tertentu. Lalu terkeluar pula ayat: “Aku dengan orang lain tak berapa serasi, bomoh tu saja yang faham penyakit aku.”

Dalam situasi lain, seorang lelaki ditinggalkan kekasih hatinya. Lalu terdetik di hatinya dan terungkap melalui kata-katanya: “Aku tak boleh teruskan hidup tanpa si dia. Aku lebih rela mati daripada melihat si dia berpacaran dengan lelaki lain.” 

Lebih malang lagi apabila si lelaki tadi mengamalkan apa yang dilafazkannya dengan membunuh diri. Sudahlah berdosa mensyirikkan Allah, kemudian melakukan dosa besar dengan membunuh diri pula.


Mungkin juga kita pernah mengungkapkan dialog di atas secara sedar atau tidak apabila berdepan situasi sebegini. Kedengaran seperti tiada apa salah silapnya, mungkin juga ia hanya perkara remeh yang tidak perlu dibincangkan.


Namun hakikatnya, perkara yang sering dipandang remeh inilah kadangkala menggoncang iman kita secara sedar atau tidak. Daripada sekecil-kecil bintik hitam, lama-kelamaan ia bertukar menjadi barah kepada iman dan akidah. 

Kebanyakan daripada kita memang menjaga perkara yang boleh mendatangkan syirik jali (syirik jelas). Kita sedaya upaya mengesakan Allah dengan tidak menyembah berhala yang zahir. 

Namun bagaimana pula penyembahan kepada ‘berhala ghaib’ yang mungkin kita lakukan secara tidak sedar dalam kehidupan seharian kita. Ini yang dinamakan sebagai syirik khafi atau dalam bahasa Melayunya disebut syirik tersembunyi. 

Penyembahan kepada berhala ghaib sebenarnya dapat dilihat dalam beberapa aspek seperti kebergantungan kepada sesuatu selain daripada Allah. 

Contoh mudah adalah dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa kesihatannya bergantung dengan ubat-ubatan. Jika tiada ubat, sakitlah dia. 

Tidak dinafikan, mencari ubat terbaik adalah satu ikhtiar dan usaha baik. Namun, perlu disematkan dalam hati bahawa ubat hanya wasilah dan ikhtiar untuk sembuh daripada penyakit, tetapi kepercayaan kepada yang menyembuhkan harus diiktikad kepada Allah SWT. 

Kerana itu, apabila bercerita mengenai kehebatan sesuatu ubat kepada seseorang, jangan lupa lafazkan insya-Allah. 

Sama juga seperti dalam kes seseorang yang baru putus cinta. Merasakan hidupnya tidak lagi bermakna selepas ditinggalkan kekasihnya, padahal ramai lagi wanita dan lelaki yang jauh lebih baik di luar sana

Ahli ibadah juga adakala tidak terlepas daripada ‘penyembahan’ kepada berhala ghaib. Penyakit sangat ditakuti menyerang secara tidak sedar ini tidak lain dan tidak bukan adalah sifat riak. 

Riak ketika melakukan amal ibadah membuatkan sesuatu ibadah itu tiada harga di sisi Allah. Contoh paling mudah ialah merasakan orang memerhatikannya sambil memuji: “Rajinnya si polan ini. Ada saja muka dia bersolat jemaah di masjid.” 

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 176, yang bermaksud: “... Mereka (orang munafik) pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” 

Dalam senario lain, penyembahan kepada pangkat dan kekayaan juga berlaku secara tidak sedar. Tidak dinafikan sebagai manusia kita digalakkan menghargai nikmat yang kita kecapi sekarang dengan mengimbau kesusahan yang pernah kita tempuhi pada zaman silam. 

Namun, berhati-hatilah dengan penyakit ‘ujub’ yang boleh menjadi parasit dalam hati. Ujub membuatkan manusia berasa bangga dengan diri sendiri atas hasil titik peluhnya. Merasakan semua adalah usahanya, lantas tidak pernah terdetik di hati untuk mensyukuri nikmat Allah. 

Lebih parah lagi, seolah-olah ada perasaan ‘dendam’ terhadap Allah kerana ‘membiarkan’ dia dalam kesusahan satu ketika dulu. 

Ujub juga boleh berlaku apabila kita bersendirian. Kadangkala merasakan dirinya paling mulia lantaran amal ibadah dilakukan. 

Jika diimbau kembali kisah penciptaan manusia, bagaimana iblis yang satu ketika dulu dimuliakan, akhirnya menjadi makhluk paling dilaknat Allah. 

Bermula dengan syirik kecil, dengan merasakan dia lebih mulia kerana diciptakan daripada api, sedangkan manusia daripada tanah. 

Lantas timbul perasaan ujub dan riak dalam diri iblis dan seterusnya enggan menuruti perintah Allah untuk sujud kepada penciptaan Allah ke atas manusia. 

Lalu terakamlah dialog antara Allah dengan iblis yang membuatnya tersingkir daripada makhluk yang dimuliakan sebagaimana firman Allah: “Hai iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?” 

Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.” 

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.” (Al-Hijr, ayat 32-34) 

Sebenarnya, banyak lagi contoh syirik khafi berada dalam amalan manusia. Namun ia selalunya dipandang kecil oleh manusia. 

Kita selalu sibuk menjaga diri daripada melakukan syirik jali (nyata), tetapi dalam diam rupa-rupanya syirik khafi menghakis keimanan kita dari hari ke hari. 
Sememangnya syirik khafi tidak membatalkan iman manusia. Namun, harus diingat, sebesar-besar sesuatu itu bermula daripada kecil. 

Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan kegusaran baginda terhadap syirik yang tidak sedar ini melalui sepotong hadis bermaksud: “Syirik yang dilakukan oleh umatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu besar.” 

Di dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, yang paling aku khuatir atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riak. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman: Pergilah kalian kepada orang- orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?” (Riwayat Imam Ahmad) 

Kerana itu, syirik khafi dikhuatiri boleh mencederakan tauhid kepada Allah jika tidak benar-benar diawasi.


Saturday, January 14, 2012

Tanpa Kita Sedar

alt
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera.

Lama tak berblog.. 

Di bawah ni sebahagian petikan.......

Tanpa kita sedar masa terus berlalu meninggalkan kita dan kita pula asyik leka, alpa dan asyik dengan duniawi

Tanpa kita sedar sudah banyak wang ringgit kita habiskan untuk berfoya-foya namun sedikit sangat amal jariah kita terhadap mereka yang memerlukan

Tanpa kita sedar selama kita bercakap akan keburukan orang lain akan tetapi kita dibutakan dari melihat kelemahan dan kedaifan diri sendiri

Tanpa kita sedar peluang sudah diberi untuk berjaya namun kita angkuh dan meremehkannya lalu rebah tersungkur ke jalan kegagalan

Sambungannya klik di iluvislam

Wednesday, October 05, 2011

Berjalan tanpa rasa sakit

SELAIN mencari sepasang kasut yang cantik, sesuai dengan majlis, sedondon dengan warna pakaian dan berjenama, ada satu lagi perkara penting yang sering kita abaikan.

Menjadi rakan sejati ke mana sahaja anda bergerak, kasut tidak semestinya hanya menjadi pelindung kaki, tetapi ia juga haruslah mesra pengguna iaitu tidak membawa apa-apa masalah kepada kaki anda yang banyak berjalan.

ANTARA koleksi kasut Scholl 2011 yang menampilkan rekaan segar dan selesa untuk kegunaan individu yang mementingkan kesihatan tapak kaki.

Dengan harapan untuk membawa masyarakat Malaysia berjalan tanpa kaki yang sakit, jenama kasut sihat, Scholl memperkenalkan koleksi Scholl 2011 yang segar. Menitikberatkan rekaan dan gaya, Scholl koleksi 2011 itu menawarkan lebih 100 pilihan kasut untuk lelaki dan wanita.

Menariknya, ia mengutamakan pilihan tapak yang bersesuai mengikut tapak yang berbeza menggunakan teknologi padding selesa.

KEPELBAGAIAN warna turut menyumbang kepada rekaan kasut koleksi Scholl 2011

"Koleksi Scholl 2011 menawarkan kasut kasual, formal atau untuk ke kerja dan sukan dengan rekaan-rekaan yang segar untuk meraikan personaliti setiap individu. Pelanggan boleh memilih daripada pilihan slip on, sandal, flip flop, kasut berjalan dan kasut dres, semua pilihan untuk lelaki dan wanita," kata Pengurus Besar Reckitt Benckiser Malaysia, Veronika Rost.

Beliau menambah, menjadi tarikan Scholl koleksi 2011 ialah penggunaan teknologi lapisan tapak kasut yang berbeza seiring dengan pegangan Scholl yang mahu menawarkan keselesaan tapak kaki dan kesihatan kaki.

Scholl menawarkan tujuh jenis lapisan tapak kaki yang berbeza supaya pelanggan dapat memilih dan berasa selesa dengan setiap tawaran itu. Antara jenis padding ialah Memory Cushion, Bioprint, Galactiv, Arch Support, Sole Support, Massage dan Bio Mechanics yang semuanya mempunyai peranan tersendiri untuk keselesaan tapak kaki pengguna. - NIZHA PERIASWAMY

Thursday, September 29, 2011

Erti Kebahagian Hakiki

BAHAGIA adalah suatu perkataan yang abstrak dan subjektif.

Pengertiannya begitu luas dan relatif. Lantaran itu ramai manusia gagal mencari dan mengejar kebahagiaan. Mereka tidak mengerti apa itu bahagia dan di mana adanya bahagia. Keadaan ini menjadikan pentafsiran bahagia berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.

Beberapa persepsi berkaitan kabahagian;

Seorang fakir akan mengatakan bahawa bahagia itu terletak pada kekayaan.
Orang sakit pula akan mengatakan bahagia akan dirasai apabila dia sihat.
Orang yang terjerumus ke lembah dosa akan mengatakan berhenti daripada melakukan dosa itulah kebahagiaan.
Seorang karyawan akan merasa bahagia jika hasil karyanya diterima orang.

Zaid bin Tsabit, penyair Rasulullah saw mengatakan jika pagi dan petang seseorang itu berjaya membebaskan diri dan dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa daripada gangguan manusia maka ia boleh dianggap seorang yang bahagia.

Orang yang berpegang teguh kepada agama, kebahagiaan ialah meninggalkan perkara yang dilarang, mengikut yang disuruh, menjauhi yang jahat dan mendekati yang baik. Kebahagiaannya adalah mengerjakan suruhan agama semata-mata.

Ibn Khaldun pula berpendapat bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis ketentuan Allah dan berperikemanusiaan.

Imam Al Ghazali berpendapat bahagia dan kelazatan sejati ialah apabila kita dapat mengingati Allah
Kadangkala sesuatu yang dipandang bahagia oleh seseorang itu tidak begitu dipentingkan pihak lain. Oleh itu boleh dirumuskan kemahuan manusia yang tidak sama itulah yang menyebabkan kebahagiaan juga tidak dapat disamakan.


Namun sesuatu yang boleh disepakati ialah bahagia merupakan suatu keadaan dimana seseorang itu merasa tenang, merasa tenteram, merasa tiada tekanan, merasa mulia, merasa harga diri, merasa dihargai dan bermacam-macam perasaan lain walaubagaimana keadaan sekalipun, susah, sempit, senang , kaya, sibuk, banyak kerja dan lain-lain.

Justeru kebahagian adalah ukuran hati, kebahagian terletak dihati, kebahagian adalah perspektif hati. Oleh itu penting bagi hati untuk menanggapi sesuatu keadaan secara positif supaya hati menjadi tenang dan bahagia. Seterusnya tanggapan hati tetapi mestilah sesuai dan menepati tuntutan Syarak, melakukan segala kewajipan dan tuntutan agama serta meninggalkan segala larangan Allah. Oleh itu orang yang mencari ketenangan dan kebahagian dengan melakukan perkara-perkara yang dilarang bukanlah mendapat kebahagian yang sebenar.
Firman Allah swt;

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ.

Maksudnya; Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyu' dalam sembahyangnya, Dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, Dan orang-orang yang menunaikan zakat, Dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, Maka Sesungguhnya mereka dalam hal Ini tiada terceIa. Barangsiapa mencari yang di balik itu, Maka mereka Itulah orang-orang yang melampaui batas.Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya.Dan orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mereka Itulah orang-orang yang akan mewarisi, Orang-orang yang mewari syurga Firdaus dan mereka kekal didalamnya.

Sabda Rasulullah saw;

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أربع من السعادة المرأة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء وأربع من الشقاوة الجار السوء والمرأة السوء والمسكن الضيق والمركب السوء

Maksudnya; Empat perkara sebab kebahagian, isteri yang solehah, rumah yang selesa, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa, dan empat perkara sebab merana, isteri yang jahat, jiran yang jahat, rumah tidak selesa dan kenderaan yang teruk.

من خير الناس ؟ قال : أتقاهم للرب ، وأوصلهم للرحم ، وآمرهم بالمعروف ، وأنهاهم عن المنكر.

Maksudnya; Siapakah manusia yang paling baik? Iaitu orang yang paling bertaqwa kepada Allah, Menghubungkan silaturahim, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

مَنْ خَيْرُ النَّاسِ ؟ قَالَ : أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ.

Maksudnya; Siapakah manusia yang paling baik? Iaitu orang yang paling berguna kepada orang lain.
Daripada nas-nas di atas dapat difahami bahawa;

Kebahagian yang hakiki itu ialah kebahagian di akhirat dengan mendapat keredhaan dan magfirah Allah swt seterusnya berada dalam nikmat syurga Allah swt.

Kebahagian yang hakiki itu ialah apabila kita merasa tenang dan bahagia dapat menundukkan hawa nafsu kita dan digantikan dengan keimanan dan ketaqwaan.

Kebahagian yang hakiki itu ialah kita merasa tenang dan bahagia apabila kita dapat menunaikan segala hak dan tanggungjawab kita samada kepada Allah mahupun sesama manusia.

Kebahagian yang hakiki itu ialah apabila perasaan cinta kepada Allah dan Rasulnya melebihi dari yang lain.

Kebahagian yang yang sebenar itu ialah apabila redha dengan ketetapan yang Allah berikan kepada kita.




Seorang penyair mangatakan;

ولست أرى السعادة جمع مال ولكن التقي هو السعيد

Maksudnya; Aku tidak melihat bahagia itu dengan mengumpulkan harta tetapi orang yang bertaqwa itu adalah orang yang bahagia.

Monday, August 22, 2011

Susanne Eman Impikan Paling Gemuk di Dunia!


SI GEMUK & KURUS... bersama adiknya, Cassie yang membantunya menjaga anak.
Susanne Eman bersama adiknya Cassie

Foto
Susanne memerlukan 20,000 kalori sehari bagi mencapai berat yang diidamkan.
Foto
JAGA KESIHATAN... walaupun gemuk Susanne tetap melakukan senaman ringan sebelum membuat timbangan.

KETIKA orang lain bertungkus-lumus mahukan bentuk badan kurus, Susanne Eman memilih sebaliknya.
Kini memiliki berat 330 kilogram, Susanne masih belum mencapai impiannya menjadi wanita paling gemuk di dunia.

Matlamat akhir Susanne ialah mencapai berat badan 730 kilogram dengan mengambil pelbagai makanan sekurang-kurangnya 20,000 kalori sehari.


Berasal dari Arizona, Amerika Syarikat, Susanne, 32, berharap mencapai separuh daripada berat impiannya itu menjelang akhir tahun ini.

Ibu tunggal yang kini membesarkan dua anak itu percaya, dia kini benar-benar bersedia mengambil alih tempat Donna Simpson, 43, dari New Jersey, sebagai wanita paling gemuk di dunia. Berat Donna yang dicatat dalam rekod dunia ialah 317.5 kilogram.


Tindakan Susanne mahu terus menambah berat badannya memang mencetuskan polemik kepada peminat wanita berbadan besar.


Kata Susanne, dia tertanya-tanya jika ada manusia mampu mencapai berat badan satu tan.

“Rekod wanita paling berat di dunia ialah 730 kilogram.


“Untuk mencapai impian, saya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya berat sama seperti itu,” katanya.

Menurut Susanne, berdasarkan perkembangan semasa, dia yakin berjaya mencapai berat 730 kilogram ketika berusia 41 atau 42 tahun kelak.


Disebabkan keadaan tubuhnya itu, Susanne hanya keluar ke pasar raya membeli barang keperluan rumah sekali sebulan.


Itu pun, ditemani anak lelakinya, Gabriel, 16, dan Brendin, 12.


Mereka biasanya menghabiskan masa sehingga lapan jam di sesebuah pasar raya bagi memenuhkan enam troli yang dibawa.


“Ia memang penat - seperti bekerja seharian,” katanya.


Di sebalik tubuh badannya yang besar itu, Susanne percaya dia mampu kekal sihat walaupun mengambil makanan berkalori tinggi.


“Semakin saya gemuk, semakin saya rasa yakin dan seksi.


“Mengapa tidak saya mencuba ke tahap maksimum dan melihat sejauh mana saya mampu pergi dan kekal sihat,” katanya.


Menceritakan pengalamannya, Susanne berkata, dia mula memikirkan impian menjadi wanita paling gemuk di dunia selepas gagal mengawal dirinya daripada terus membesar secara semula jadi.


“Dua tahun lalu saya mencapai berat 222 kilogram selepas gagal dalam usaha menguruskan badan.


“Sejak itu, saya mula perasan - dengan berat badan begitu, semakin ramai lelaki tertarik dan ia memang menyeronokkan,” katanya.


Kini menganggur disebabkan berat badannya, Susanne mendakwa, dia kekal aktif dengan melakukan senaman ringan setiap hari dan kerap menjalani pemeriksaan kesihatan.


“Otot perlu dikuatkan bagi menampung berat badan,” katanya.


Setiap minggu, kata Susanne, dia memeriksa tekanan darahnya, manakala setiap hari selepas bersenam, dia meluangkan masa membaca.


Dia juga menggunakan alat tertentu bagi menyukat kadar oksigen dalam darahnya.


“Saya juga memeriksa kadar gula dalam darah seperti seorang penghidap diabetes.


“Jika ada bacaan mencatatkan kadar tinggi, serta-merta saya menghubungi doktor untuk mendapatkan nasihat,” katanya.


Pada ketika tertentu, Susanne berkata, dia memang mengalami masalah kesihatan.


Ketika itu, katanya, dia meminta bantuan adik-beradiknya bagi menjaga dua anaknya.


Walaupun menerima amaran demi amaran daripada doktor supaya memikirkan kesan tindakannya menaikkan berat badan melampau, Susanne tetap bertegas mahu memecahkan rekod dunia.


Menurut Dr Patrick Flite, Susanne mengambil risiko sangat besar apabila menetapkan matlamat mahu mendapatkan berat badan lebih 700 kilogram.


“Ada banyak bukti menunjukkan obesiti membawa pelbagai komplikasi kepada seseorang,” katanya.


Doktor peribadi Susanne itu berkata, setakat ini memang wanita terbabit tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.


“Susanne boleh berfikir sendiri untuk masa depannya dan dia tidak menghadapi masalah psikologi,” katanya.


Menyedari ada risiko yang dihadapi, Susanne berkata, dia mengambil langkah perlu untuk masa depan dua anak lelakinya.


“Saya memberitahu Gabriel, dan Brendin, setiap seorang sukakan sesuatu yang berbeza.


“Jika saya memasak makanan yang berlemak dan mereka mahukan hidangan lebih sihat, saya menyiapkan masakan khas untuk mereka,” katanya.


Pada masa sama, Susanne berkata, dia mahu mengubah tanggapan masyarakat bahawa gemuk adalah sesuatu yang buruk.


“Mesej yang mahu saya sampaikan ialah - tidak ada salahnya jika berbadan besar dan kita perlu menerima keadaan orang lain seadanya,” katanya.



Boleh klik SINI untuk berita lain

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails