Diceritakan dalam sebuah kisah yang berlaku pada zaman Ibnu Taimiyah.
Seorang lelaki dirasuk seekor jin dan Ibnu Taimiyah berbisik ke telinga lelaki berkenaan dengan membaca ayat al-Quran dari Surah Al-Mukminun ayat 10, yang bermaksud: “Adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan bahawa kamu tidak akan kembali kepada Kami?”
Tiba-tiba roh itu menjawab: “Ya.” Kemudian, Ibnu Taimiyah mengambil sebatang tongkat dan memukul lelaki (orang dirasuk) itu di lehernya hingga berasa penat.
Tiba-tiba roh halus itu bersuara menjawab: “Aku mencintainya.”
Lantas Ibnu Taimiyah menjawab: “Dia tidak mencintaimu.”
Maka jawab roh itu: “Jika demikian, aku akan pergi meninggalkannya sebagai penghormatan kepadamu.”
Namun, Ibnu Taimiyah berkata: “Tidak. Kamu harus keluar daripada jasad ini kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.” Keluarlah roh halus berkenaan, dan lelaki yang dirasuk tadi beransur-ansur pulih.
Selain itu, kes sebegini sebenarnya berpunca daripada manusia. Antaranya apabila kita secara tidak sengaja masuk ke rumah yang lama dibiarkan kosong dan menjadi tempat kediaman jin.
Kerana itu, Islam mengajar kita memberi salam iaitu: “Assalamu ‘alaina wa’ala ‘ibadillahis saalihin” serta membaca ayat Kursi ketika masuk ke rumah kosong kerana khuatir ia ‘berpenghuni’.
Roh halus juga mudah mendampingi manusia pada saat seseorang itu lemah dan tidak di dalam ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul, seperti lalai melakukan amal ibadah kepada Allah, ketika di puncak kemarahan, terlalu mengikut hawa nafsu dan dendam.
Perkara ini dinyatakan dalam surah An-Nahl, ayat 99-100, yang bermaksud:
“Sesungguhnya syaitan tidak mempunyai pengaruh terhadap orang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh syaitan hanya terhadap orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.”
Allah SWT juga berfirman dalam surah Al-Araf ayat 27, yang bermaksud:
“... Sesungguhnya Kami menjadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman.”
Oleh itu, berwaspada selalu kerana syaitan dan jin gemar mendampingi manusia ketika manusia lemah iman dan takwanya kepada Allah.
Ingat, sesungguhnya hidup kita didampingi pelbagai jenis manusia, syaitan dan jin yang mempunyai pelbagai ragam. Kadangkala manusia, jin serta syaitan berpakat untuk mengkhianati manusia lain.
Kita tidak tahu apa yang difikirkan manusia sekeliling kita mengenai diri kita. Mungkin ada sesuatu dendam atau iri hati yang terbuku di hati mereka apabila melihat kita. Ada juga yang dengki apabila melihat jodoh kita bersama pasangan kita. Tidak ada yang mustahil.
Kerana itu, berbanyaklah membaca al-Quran, mengamalkan ayat Kursi ketika hendak tidur dan selepas solat, amalkan juga membaca tiga surah iaitu An-Nas, Al-Ikhlas dan Al-Falaq.
Namun yang lebih penting, peliharalah solat kita. Insya-Allah, Allah akan memelihara hamba-Nya yang memelihara hak serta kewajipan kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment