Followers

Tuesday, December 22, 2009

Ar-Rubai mendoakan kebaikan anaknya

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

AR-RUBAI binti An-Nadhr ialah seorang wanita yang baik. Beliau mempunyai adik-beradik iaitu Anas dan Ummu Hakim. Dia juga mempunyai seorang bapa saudara yang bernama Anas bin Malik. Beliau adalah pembantu kepada Nabi Muhammad.

Ar-Rubai merupakan wanita yang awal memeluk agama Islam. Ar-Rubai berkahwin dengan Suraqah bin al-Haris an-Najjari. Hasil perkahwinan mereka lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Harisah.

Ar-Rubai atau dikenali dengan panggilan Ummu Harisah adalah seorang ibu yang pandai mendidik anaknya. Ar-Rubai selalu mendoakan agar anak lelakinya itu menjadi seorang pahlawan Islam yang handal.

"Harisah, sekarang awak sudah besar. Ibu mahu awak ikut Nabi Muhammad dalam siri peperangan," kata Ummu Harisah.

"Ibu, saya belum biasa memegang pedang. Apatah lagi menunggang kuda atau memanah," balas Harisah pula.

"Itu tidak menjadi masalah. Nabi Muhammad boleh menolong awak. Ibu percaya Nabi Muhammad boleh menyelesaikan masalah awak ini," kata Ummu Harisah.

"Baik ibu. Saya akan belajar bersungguh-sungguh teknik dan cara peperangan yang betul," jelas Harisah dengan bersemangat.

Harisah seorang anak yang baik dan taat kepada ibunya. Berkat nasihat dan doa dari ibunya, Harisah akhirnya menjadi seorang pemuda yang gagah berani.

Anaknya itu tidak gentar menghadapi musuh. Bahkan anaknya sering mengharapkan agar dirinya mati syahid di medan perang.

Pada suatu hari Nabi Muhammad berjumpa dengan Harisah lalu bertanya, "apa khabar awak sekarang?"

Lalu Harisah menjawab, "Saya sihat dan sejahtera. Saya kini sudah benar-benar merasakan betapa agungnya nikmat yang Allah berikan kepada saya. Hidup dan mati saya hanya kerana Allah," kata Harisah.

Nabi Muhammad pun berkata lagi, "hati awak kini sudah dipenuhi dengan keimanan kepada Allah".

Harisah bertambah semangat mendengar kata-kata Nabi Muhammad lalu dia menyambung lagi, "wahai Nabi Muhammad tolong doakan semoga saya berjaya mengalahkan musuh di medan perang. Sekiranya saya gugur di medan perang, doakan saya gugur sebagai seorang pahlawan Islam yang syahid".

Nabi Muhammad pun mendoakan semoga Harisah menjadi seorang yang syahid dalam peperangan melawan musuh Islam. Tiba masanya tentera Islam menghadapi musuh di Perang Badar pada tahun 2 Hijrah. Ummu Harisah tidak mahu anaknya melepaskan peluang keemasan itu.

Tenang

"Wahai Harisah, pergilah ikut Nabi Muhammad dan tentera Islam yang lain ke medan perang Badar. Berjuang sehabis-habisan demi menegakkan agama Islam," kata Ummu Harisah kepada anaknya.

"Doakan semoga tentera Islam berjaya di medan perang Badar," kata Harisah sambil berjabat tangan lalu mencium tangan ibunya.

Harisah pun berangkat bersama angkatan tentera Islam ke medan Perang Badar. Perang Badar berlaku kerana umat Islam ingin mempertahankan keselamatan orang Islam. Pihak Quraisy Mekah tidak serik menindas dan mengancam orang Islam Makkah pada masa itu.

Berkat doa Nabi Muhammad akhirnya Harisah mati syahid di medan Perang. Berita kematian anaknya sampai kepadanya. Ummu Harisah menerima berita itu dengan tenang. Dia berdoa semoga anaknya dimasukkan ke syurga.

Ummu Harisah terus berjumpa dengan Nabi Muhammad lalu berkata, "wahai tuan, bagaimana keadaan Harisah. Sekiranya dia kini berada di syurga alangkah gembiranya saya. Tetapi jika sebaliknya saya amat sedih mendengar kematiannya".

Nabi Muhammad tersenyum lebar lalu berkata, "wahai Ummu Harisah, anak awak kini sedang berseronok di syurga Firdaus".

Alangkah gembiranya Ummu Harisah apabila Nabi Muhammad membawa berita itu.

"Alhamdulillah. Cita-cita Harisah untuk mati syahid akhirnya tercapai. Harisah kini bahagia di syurga yang paling tinggi," kata Ummu Harisah sendirian.

Ummu Harisah tidak ketinggalan melaporkan hadis dari Nabi Muhammad. Anak saudaranya yang bernama Anas bin Malik juga turut melaporkan hadis darinya.

Sepanjang hidupnya Ummu Harisah banyak menghabiskan masanya dengan melakukan amal ibadah kepada Allah.

Sumber: Sini

Saturday, December 19, 2009

Jadilah Anak yang Soleh

Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.

Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".

Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.

Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh keheranan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa.

"Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam.

"Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."

Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.

Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.

Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Orang Yang Berjaya : Orang Yg Khusyuk Dalam Solat

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

JAMINAN Allah s.w.t di dalam ayat surah al-Mukminun; (surah 23) yang bermaksud:

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya". (2)

Nabi Muhammad s.a.w serta sahabat berjaya mengubah lembah hina di Makkah daripada sifat jahiliyah hasil daripada roh solat kepada kawasan paling popular .

Perkataan kejayaan di dalam al-Quran ada tiga:

Pertama: an-Nasru, iaitu kejayaan di dalam peperangan.

Kedua: al-Fauz (kemenangan) yang membawa nikmat syurga.

Ketiga al-Falah: berjaya di dunia dan akhirat.

Umat Islam diseru kepada kejayaan sebanyak 15 kali sehari semalam; 10 kali dalam azan dan 5 kali dalam iqamah.

Itulah suara motivasi yang berkumandang saban waktu sehari semalam.

Kita acap kali bersolat tetapi tetap malas. Kita solat tetapi masih ponteng kerja, curi tulang, bergaduh dan mengumpat seolah-olah ia tidak dapat 'dipisahkan'.

Kenapa kita masih tidak berjaya? Sebenarnya apa sudah jadi dengan solat kita? Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud; Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu lihat aku sembahyang.

Sifat solat nabi antara lainnya adalah solat pada awal waktu. Adakah kita menjaga waktu solat?

Bagaimana kita mengisi waktu? Membuang masa bererti kita membunuh keseluruhan kehidupan.

Bagaimana hendak menjadi insan cemerlang jika kita hanya menjaga masa pada bulan puasa sahaja. Itu pun waktu Maghrib kerana tidak sabar hendak berbuka.

Sifat solat Nabi Muhammad s.a.w yang lain ialah khusyuk. Khusyuk bermakna memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pekerjaan yang dilakukan. Hal ini berkaitan dengan penumpuan/fokus yang tinggi apabila melakukan sesuatu, dan bukannya dibuat sambil lewa.

Kita banyak melakukan kerja tidak betul. Kerja yang betul pula dibuat dengan tidak betul. Apabila tidak dibuat dengan sepenuh perhatian, kerja yang betul menjadi tidak betul.

Manakala jika buat kerja yang tidak betul pun jadi betul. Sesuatu perkara hanya akan berhasil dan terlaksana jika kita memberi penumpuan sepenuhnya terhadapnya. Cuba kita lihat kanta, kalau dipancar ke atas kertas, cahaya matahari boleh menembusi lalu membakarnya.

Ulama dulu sangat fokus dalam pekerjaan yang mereka sehingga lahirlah pakar perubatan seperti Ibnu Sina, pakar astronomi seperti al-Khawarizmi dan ramai lagi cendikiawan yang bekerja dengan betul.

Sifat solat Nabi Muhammad s.a.w yang lain lagi ialah solat berjemaah. Maknanya jika hendak cemerlang, kita kena melakukan solat secara berjemaah.

Solat berjemaah akan memupuk jalinan kerjasama antara kita. Kekuatan itu jelas kerana apabila bersembahyang, kita berdiri bersebelahan jemaah lain yang mana bahu akan bertemu dengan jemaah di kanan dan kiri.

Jangan cemburu dengan kejayaan orang lain. Selepas selesai solat berjemaah, jangan bercakaran sesama sendiri. Perkara terbaik adalah dengan mendoakan kejayaan jemaah lain supaya terus berjaya.

Terbukti orang yang bersolat pasti akan berjaya. Ini kerana ketika bersolat kita berasa diri kita sentiasa diperhatikan serta diawasi. Kita tidak pernah melakukan solat empat rakaat kemudian dipotong menjadi dua walaupun kita bersolat berseorangan di dalam gelap.

Masalahnya, apabila berada di luar solat kita lupa kepada tuntutan di dalam amalan solat. Contohnya di luar solat kita menjual dan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya. Yang rosak dicampur dengan yang baru malah makanan yang sudah basi juga kita sanggup menjual.

Solat melatih kita membuat kerja ibarat dipantau audit dalaman dan luaran. Teguran mengajar kita supaya jangan mengulangi kesalahan lampau. Jiwa orang cemerlang bukannya tidak membuat kesilapan tetapi orang cemerlang tidak akan mengulangi kesilapan sama.

Sumber: Sini

Sunday, December 13, 2009

مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ‌ۚ

Bismillahirrahmanirrahim.


Assalamu'alaikum.


مَا شَآءَ ٱللَّهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّهِ‌ۚ


SEMUANYA adalah kehendak Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah. (al-Kahfi [18] : 39)


Keterangan Ayat


Daripada Anas r.a. bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang melihat sesuatu yang mengagumkan, maka hendaklah dia membaca ayat di atas ini. Nescaya dia tidak akan memudaratkannya." (riwayat Ibnu Sunni)


Al-Imam Abu Muhammad al-Qadhi al-Hussein menceritakan dalam kitabnya al-Taliq Fil Mazhab bahawa, pada zaman dahulu, seorang nabi yang merasa kagum dengan bilangan umatnya yang ramai lalu dalam sekelip mata seramai 70,000 umatnya telah meninggal dunia.


Lantaran itu, Allah SWT telah mewahyukan kepadanya: "Jika kamu meminta perlindungan Allah dengan membaca doa seperti di atas tentulah Allah akan memelihara mereka."


Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, amatlah dituntut ke atas setiap individu yang merasa kagum terhadap nikmat Allah yang dianugerahkan kepadanya seperti kebun, tanah, rumah, harta, keluarga dan anak-anaknya agar membaca doa ini. Semoga dipelihara Allah daripada segala bencana. (al-Wabil al-Sayyib, Bab Zikir dan yang dibaca untuk terus mendapat nikmat)


Khasiat dan Kaifiat Beramal


Amalkan membaca ayat di atas apabila melihat sesuatu yang mengagumkan agar terpelihara daripada kejahatan mata yang tidak disengajakan. (Fathul Bari, baba Memohon Perlindungan Allah daripada Mata yang Jahat. Al-Azkar, Bab Apabila Melihat Sesuatu Yang Menakjubkan pada Diri, Anak atau Harta, Lalu Dia Merasa Takut akan Pandangan Mata yang Jahat)

Friday, December 11, 2009

Kesengsaraan Di Padang Mahsyar

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Hadith :


Rasulullah s.a.w bersabda: "Didekatkan matahari pada hari kiamat kepada makhluk-makhluk sehingga matahari itu menjadi dekat kepada mereka sejarak satu mil; maka pada saat itu manusia berada dalam peluh masing-masing mengikut kadar amal jahatnya; ada di antara mereka yang peluhnya sampai ke mata kakinya, ada yang sampai ke lututnya, ada yang sampai ke pinggangnya, dan ada yang sampai peluhnya masuk ke mulutnya". Miqdad bin al-Aswad r.a


Huraian:


Rasulullah s.a.w bersabda: "Didekatkan matahari pada hari kiamat kepada makhluk-makhluk sehingga matahari itu menjadi dekat kepada mereka sejarak satu mil; maka pada saat itu manusia berada dalam peluh masing-masing mengikut kadar amal jahatnya; ada di antara mereka yang peluhnya sampai ke mata kakinya, ada yang sampai ke lututnya, ada yang sampai ke pinggangnya, dan ada yang sampai peluhnya masuk ke mulutnya". Sumber : Sini


Anda ingin bayangkan bagaimana keadaan di Padang Mahsyar?? Sila klik SINI

Wednesday, December 09, 2009

Rahsia Kejadian Manusia Mengikut Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Allah SWT menerangkan di dalam kitab suci al-Quran, Proses kejadian manusia mempunyai beberapa peringkat iaitu :

PERINGKAT PERTAMA :

NUTFAH : iaitu peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Insan : 2 yang bermaksud :

”Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”

Menurut Ibn Jurair al-Tabari, asal perkataan nutfah ialah nutf ertinya air yang sedikit yang terdapat di dalam sesuatu bekas samada telaga, tabung dan sebagainya. Sementara perkataan amsyaj berasal daripada perkataan masyj yang bererti percampuran.

Berasaskan kepada makna perkataan tersebut maksud ayat di atas ialah sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia daripada air mani lelaki dan air mani perempuan.

Daripada nutfah inilah Allah menciptakan anggota-anggota yang berlainan, tingkahlaku yang berbeza serta menjadikan lelaki dan perempuan. Daripada nutfah lelaki akan terbentunya saraf, tulang dan fakulti , manakala dari nutfah perempuan akan terbentuknya darah dan daging.

PERINGKAT KEDUA :

‘ALAQAH : Peringkat pembentukan alaqah ialah pada hujung minggu pertama / hari ketujuh . Pada hari yang ketujuh telor yang sudah disenyawakan itu akan tertanam di dinding rahim (qarar makin). Selepas itu Kami mengubah nutfah menjadi alaqah. Firman Allah SWT yang bermaksud :

” Kemudian Kami mengubah nutfah menjadi alaqah”. Surah al-Mukminun : 14 Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan alaqah dengan makna segumpal darah. Ini mungkin dibuat berasaskan pandangan mata kasar. Alaqah sebenarnya suatu benda yang amat seni yang diliputi oleh darah. Selain itu alaqah mempunyai beberapa maksud :

sesuatu yang bergantung atau melekat pacat atau lintah suatu buku atau ketulan darah Peringkat alaqah adalah peringkat pada minggu pertama hingga minggu ketiga di dalam rahim.

PERINGKAT KETIGA :
MUDGHAH : Pembentukan mudghah dikatakan berlaku pada minggu keempat. Perkataan mudghah disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran iaitu surah al-Hajj ayat 5 dan surah al-Mukminun ayat 14. Firman Allah yang bermaksud :

“lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging”. Surah al-Mukminun : 14 Diperingkat ini sudah berlaku pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain. Selain itu sistem pernafasan bayi sudah terbentuk.Vilus yang tertanam di dalam otot-otot ibu kini mempunyai saluran darahnya sendiri. Jantung bayi pula mula berdengup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi kesitu bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya. Menjelang tujuh minggu sistem pernafasan bayi mula berfungsi sendiri.

PERINGKAT KEEMPAT :

IZAM DAN LAHM : Pada peringkat ini iaitu minggu kelima, keenam dan ketujuh ialah peringkat pembentukan tulang yang mendahului pembentukan oto-otot. Apabila tulang belulang telah dibentuk, otot-otot akan membungkus rangka tersebut. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Mukminun : 14 yang bermaksud :

“Lalu Kami mengubahkan pula mudghah itu menjadi izam da kemudiannya Kami membalutkan Izam dengan daging” Kemudian pada minggu ketujuh terbentuk pula satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini perut dan usus, seluruh saraf, otak dan tulang belakang mula terbentuk. Serentak dengan itu sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga ke pau-paru mula kelihatan. Begitu juga dengan organ pembiakan, kalenjar, hati, buah penggang, pundi air kencing dan lain-lain terbentuk dengan lebih sempurna lagi. Kaki dan tangan juga mula tumbuh. Begitu juga mata, telinga dan mulut semakin sempurna. Pada minggu kelapan semuanya telah sempurna dan lengkap.

PERINGKAT KELIMA :

NASY’AH KHALQAN AKHAR : Pada peringkat ini iaitu menjelang minggu kelapan , beberapa perubahan lagi berlaku. Perubahan pada tahap ini bukan lagi embrio tetapi sudah masuk ke peringkat janin. Pada bulan ketiga, semua tulang janin telah terbentuk dengan sempurnanya Kuku-kukunya pun mula tumbuh. Pada bulan keempat, pembentukan uri menjadi cukup lengkap menyebabkan baki pranatel bayi dalam kandungan hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud. Walaupun perubahan tetap berlaku tetapi perubahannya hanya pada ukuran bayi sahaja

PERINGKAT KEENAM :
NAFKHUR-RUH : Iaitu peringkat peniupan roh. Para ulama' Islam menyatakan bilakah roh ditiupkan ke dalam jasad yang sedang berkembang? Mereka hanya sepakat mengatakan peniupan roh ini berlaku selepas empat puluh hari dan selepas terbentuknya organ-organ tubuh termasuklah organ seks. Nilai kehidupan mereka telah pun bermula sejak di alam rahim lagi. Ketika di alam rahim perkembangan mereka bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telahpun mempunyai hubungan dengan Allah SWT melalui ikatan kesaksian sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran surah al-A’raf : 172. Dengan ini entiti roh dan jasad saling bantu membantu untuk meningkatkan martabat dan kejadian insan disisi Allah SWT.
Dalam surah Al-Hajj ayat 5, Allah Ta’ala berfirman.Yang bermaksud: Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan;(Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi);
Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.

Klik Sini Untuk menonton Kejadian Manusia

Sumber: Anaklaut Blog

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails