Followers

Tuesday, March 30, 2010

Bertugaslah Secara Sistematik

BIJAK pandai ada mengatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu manusia mengakui emas begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan turut menjadi kebanggaan.

Melihat mahalnya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar serta usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahalnya, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya tidak sama.

Emas dan masa sama berharga serta tidak ternilai tetapi masa tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit kerana masa tidak boleh ditukar ganti, dibeli dan dikembalikan jika ia sudah berlalu. Hukama mengibaratkan masa sebagai pedang.

Jika manusia tidak berusaha untuk mendahului masa dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat pada setiap masa, maka masa pasti akan mendahului menyebabkan manusia mengalami kerugian membiarkan masa berlalu tanpa diisi perkara bermanfaat.

Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa memainkan peranan penting kerana setiap saat dilalui, akan ada tugasan serta urusan harus diselesaikan.

Majikan akan menilai keberkesanan tugasan pekerja dengan memperuntukkan tempoh waktu tertentu untuk menyiapkan tugasan.
Jika tugasan disiapkan pada tempoh ditetapkan, maka pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati pentingnya mengikut ketetapan masa kerana setiap detik masa berlalu, tidak akan dapat diulang kembali.

Islam mengajar cara menjaga dan mengurus masa dengan baik serta berkesan antaranya ialah membuat perancangan teliti. Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu. Justeru, penjadualan penting bagi mengelakkan berlakunya pembaziran masa.

Kerja perlu disiapkan mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelak kerja bertangguh dan tidak sistematik.

Nabi Allah Ibrahim menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah, bermuhasabah diri, berfikir mengenai ciptaan Allah serta memenuhi keperluan hidup seperti makan dan minum.

Umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan untuk diri, masyarakat, bangsa dan negara hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa untuk mengelak hal negatif berpunca daripada kecuaian menepati masa. Kata-kata hikmat: “Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok”.

Jangan membazir masa kerana orang yang benar-benar menghargai masa akan sentiasa memenuhkan harinya melakukan perkara bermanfaat serta mengelak terjebak dalam aktiviti negatif yang merugikan.

Menjaga kualiti masa juga antara cara mengendalikan masa dengan berkesan. Kualiti masa bagi seseorang tentunya berbeza namun Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat muslimin.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati.”

Berdasarkan hadis itu, manusia dituntut berlumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Firman Allah dalam surah al-Maidah yang bermaksud: “Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.”

Selain itu hendaklah istiqamah dalam melakukan pekerjaan. Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan usaha untuk beristiqamah apabila diberi tugasan akan lahir dengan sendiri dalam diri apabila seseorang itu menganggap apa yang dilakukan adalah ibadat kepada Allah.

Setiap pekerjaan atau tugasan dilakukan tidak semuanya akan menghasilkan kejayaan seperti diharapkan, namun Islam menuntut supaya sentiasa menjadikan masa silam sebagai guru dan pengalaman untuk menilai kembali kekuatan serta persediaan menghadapi tugasan.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya telah berlaku sunnah Allah sebelum dari kamu, kerana itu berjalanlah kamu di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Rasul-Nya.” – (Surah al-Imran, ayat 137)

Martabat manusia dinilai melalui cara mereka memenuhi masa seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik pula pekerjaannya, manakala sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya tetapi buruk pula amalannya.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang yang beriman dan beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-Asr)

Golongan manusia yang tidak akan rugi ini adalah yang melakukan kerja dan tugasan hidup menepati kehendak syariat. Oleh itu, orang beriman dan beramal salih akan berusaha memenuhi masa melakukan pekerjaan bermanfaat demi mendapat keredaan Allah.

Manusia yang untung ini juga akan sentiasa memohon kepada Allah untuk menguatkan semangat menghadapi kehidupan serta berusaha membantu saudara mereka dengan memberi pesanan berguna untuk sentiasa patuh kepada suruhan Allah.

Orang yang sentiasa dalam keuntungan ialah:

  • Orang yang beriman dengan mengikrarkan lidahnya dan membenarkan hatinya bahawa semua ajaran dibawa junjungan Rasulullah adalah benar belaka.

  • Dia juga membuat kebajikan yang mendatangkan manfaat kepada umum serta membawa orang lain ke arah jalan diredai.

  • Sentiasa berpesan dengan kebenaran, berpegang kepada ajaran al-Quran yang menjadi asas kepada sebarang tindakan orang mukmin dan sunnah Rasulullah yang menjadi penerang kepada ketetapan kalamullah.

  • Orang beriman juga berpesan supaya dirinya dan orang lain sentiasa teguh hati dan bersabar dalam hidup kerana orang kurang sabarnya akan mudah dihasut syaitan yang membawa manusia ke jalan kesesatan

  • Sumber : myMetro

    No comments:

    Anda Juga Mungkin Meminati

    Related Posts with Thumbnails