Bismillahirrahmanirrahim.
Dikatakan salah satu amalan mencegah bala ialah dengan berwudhuk zahir dan batin.
Dikisahkan bahawa ada seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk dalam solatnya. Namun, dia sentiasa bimbang jika ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, tujuannya supaya dapat memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.
Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya:
“Wahai Aba Abdurrahman (nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan mendirikan solat?”
Hatim berkata:
“Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin.”
Isam bertanya :
“Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu?”
Berkata Hatim:
“Wudhuk zahir sebagaimana biasa, membasuh anggota wuduhk dengan air. Manakala wudhuk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara iaitu:
- Bertaubat.
- Menyesali akan dosa yang telah dilakukan.
- Tidak tergila-gila dengan dunia.
- Tidak mencari atau mengharapkan pujian daripada manusia.
- Meninggalkan sifat bermegah-megahan.
- Meninggalkan sifat khianat dan menipu.
- Meninggalkan sifat dengki.
Seterusnya Hatim berkata lagi,
“Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di kananku, neraka di kiriku, malaikat maut berada di belakangku. Dan kubayangkan pula bahawa seolah-olah berdiri di atas titian Sirat dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku ( kerana aku rasa akan mati selepas solat ini), kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat aku faham maknanya, kemudian aku ruku’ dan sujud dengan tawadhuk (merasa hina), aku bertasyahud (tahiyyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku solat selama 30 tahun.
Apabila Isam mendengar menangislah dia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.
Dipetik daripada Buku 15 Amalan Penolak Bala terbitan Darul Nukman.
No comments:
Post a Comment