Followers

Thursday, July 29, 2010

Kisah Nabi dan Pengemis Buta

Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya, “Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya”.

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahawa yang menyuapnya itu adalah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sehingga beliau wafat. Setelah wafatnya Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abubakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukan merupakan istri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu,

“Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?”

Aisyah RA menjawab, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja”

“Apakah Itu?” tanya Abubakar RA.

“Setiap pagi Rasulullah SAW selalu berkunjung ke pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada di sana” kata Aisyah RA.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu.

Abubakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abubakar RA mulai menyuapinya, si pengemis marah sambil menghardik, “Siapakah kamu ?”

Abubakar RA menjawab, “Aku orang yang biasa.”

“Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku” bantah si pengemis buta itu.

“Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut setelah itu ia berikan padaku” pengemis itu meneruskan perkataannya.

Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu,

“Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW”.

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abubakar RA, dan kemudian berkata,

“Benarkah demikian?

Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia…”

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah di hadapan Abu bakar RA dan saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.

Semoga kita dapat mengambil iktibar daripada kisah tersebut.

Marhaban ya Ramadhan

RAMADAN selama sebulan boleh menjadi kelas untuk umat Islam mendidik diri mencapai tahap insan Rabbani yang menunjukkan ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan ibadat puasa yang diwajibkan ke atas semua hamba-Nya.

Bagaimanapun, masih ada yang tidak memanfaatkan kedatangan bulan penuh berkat dan ganjaran berlipat ganda itu kerana masih lalai dengan sogokan dunia hingga terlupa memberi keutamaan kepada usaha memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Penceramah dan pendakwah, Ann Wan Seng, berkata Ramadan yang disambut dengan penuh kesyukuran dan semangat oleh sesetengah golongan, menjadi bulan yang tidak ada beza dengan bulan lain bagi segelintir yang melihatnya sebagai bulan puasa saja.

Katanya, disebabkan itu tiada perubahan berlaku kepada diri mereka sebaik Ramadan melabuhkan tirai sedangkan tanpa sedar mereka sebenarnya termasuk dalam golongan yang rugi kerana terlepas banyak peluang yang terbuka sepanjang Ramadan.

Seelok-eloknya ibadat yang kita lakukan mestilah secara istiqamah dan berterusan sepanjang tahun. Tetapi apabila Ramadan tiba, kita melipatgandakan usaha dan amalan baik seperti ini dituntut Allah dan Rasulullah SAW, katanya.

Beliau yang menjadi ahli panel forum bertajuk Di Ambang Ramadan dan Kelebihannya berkata, keindahan Ramadan turut tercemar apabila umat Islam gagal mengawal nafsu berbelanja terutama ketika membeli juadah berbuka puasa.

Forum anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Berita Harian, yang turut menampilkan pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Kamil Majid, dihadiri kira-kira 200 kakitangan PLUS.

Ann Wan Seng berkata, pentarbiahan Ramadan adalah untuk melahirkan insan bertakwa yang memiliki ciri sabar, pemaaf, sihat tubuh badan, tidak mengumpat keji orang lain dan tidak melakukan pembaziran, lebih banyak membaca dan menghayati al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Diharap janganlah kita cemarkan amalan puasa dan kebaikan yang ada dengan sikap suka membazir pula. Seharusnya bersederhana dan ikutlah amalan makan Rasulullah SAW yang tidak lebih daripada dua hidangan saja, katanya,

Sementara itu, Dr Kamil berkata, umat Islam digalakkan menghayati Ramadan dan menjadikan bulan ini seumpama bengkel untuk membaik pulih semua kerosakan hati, peribadi dan seterusnya mencapai kesempurnaan iman.

Kita hendaklah menggunakan Ramadan ini dengan sebaiknya. Jadikan ia seolah-olah Ramadan terakhir pada hayat kita ini. Diharapkan dengannya kita dapat bertemu dengan Allah SWT dengan hati yang bersih, katanya.

Beliau berkata, umat Islam paling cerdik ialah mereka yang memanfaatkan kehidupan di dunia demi mendapatkan keredaan Allah SWT.

Sumber : BH

Saturday, July 10, 2010

Israk Mikraj anugerah Allah untuk semua manusia


Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi.

Rasulullah lalui peristiwa luar biasa, terima pensyariahan ibadat solat secara langsung

MAJLIS memperingati Israk dan Mikraj yang menjadi catatan penting sejarah perkembangan Islam di negara ini disambut dengan menganjurkan ceramah supaya umat Islam dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa itu.

Israk dan Mikraj dilalui Rasulullah bukan peristiwa biasa atau hanya sekadar perjalanan untuk melihat kehebatan alam semesta. Perjalanan itu mempunyai makna dan hikmah cukup mendalam bagi Rasulullah secara peribadi serta umat Islam keseluruhan.

Israk dan Mikraj petanda bahawa risalah Islam disampaikan Rasulullah bukan untuk bangsa Arab saja tetapi seluruh alam maya yang terdiri daripada umat manusia dan jin, sebagai penghormatan kepada Rasulullah selaku rasul akhir zaman yang tidak dianugerahkan kepada rasul dan nabi sebelumnya.

Latar belakang sejarah perjalanan malam Rasulullah itu kerana kegelisahan dan kesedihan baginda akibat tentangan, ancaman, pemulauan, ejekan dan kecaman daripada kaum kafir musyrik terhadapnya.

Pada masa sama, Rasulullah kehilangan dua tonggak utama yang menjadi tulang belakang gerakan dakwah menyeru kaumnya kepada Islam iaitu isteri tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya dikasihi, Abu Talib.

Tahun itu akhirnya diabadikan oleh sejarawan Islam sebagai tahun dukacita dalam kehidupan Rasulullah. Untuk meredakan kesedihan Rasulullah dan mengendurkan ketegangan Baginda menghadapi dugaan itu, Allah mengundang Rasulullah untuk Israk dan Mikraj pada malam 27 Rejab.

Semasa dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Rasulullah diperlihatkan kejadian luar biasa yang mengungkapkan pelbagai hikmah dan iktibar kepada umat Islam hingga hari ini. Satu peristiwa penting sewajarnya diambil perhatian ialah disyariatkan ibadat solat lima waktu.

Jika diamati secara mendalam, ibadat solat difardukan kepada umat Islam secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah Sidratul Muntaha tanpa melalui wahyu dan perantaraan Jibril seperti puasa, zakat dan lain-lain lagi difardukan melalui perantaraan wahyu.

Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai ibadat solat. Dalam Islam, solat adalah tiang agama. Sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya, sesiapa meninggalkan solat bermakna dia meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai dipenuhi air yang mengalir di hadapan rumah. Kita akan mandi di sungai itu sebanyak lima kali sehari untuk membersihkan diri. Inilah perumpamaan yang dibuat Rasulullah bagi menggambarkan keistimewaan dan kelebihan ibadat solat dalam kehidupan Muslim.

Kepentingan ibadat solat dalam kehidupan Muslim dapat dilihat melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab yang pernah menulis satu surat pekeliling untuk dikirimkan kepada semua gabenornya:


“Wahai gabenor sekalian! Sesungguhnya tugas paling penting sekali pada pandanganku ialah mendirikan solat. Oleh itu, sesiapa yang tidak mendirikan solat seperti mana sepatutnya, maka dia adalah orang yang tidak dipercayai.” Sementara sesiapa yang mendirikan solat dengan sebaiknya, maka dia sudah memelihara agamanya. Dan sesiapa yang mensia-siakan ibadat solat bermakna dia sudah mensia-siakan urusan yang lainnya.”

Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan dan kemelesetan ekonomi mempunyai sebab musabab saling berkaitan.

Hujung pangkal keadaan musibah menimpa umat Islam ialah kerana lemahnya iman dan malas melaksanakan ibadat kepada Allah terutama solat. Seterusnya, Rasulullah dapat menghadap Allah melalui peristiwa Israk dan Mikraj maka setiap Muslim dapat berhubung secara terus ke hadrat Ilahi yang Maha Esa tidak memerlukan sebarang alat komunikasi walau secanggih macam mana sekalipun.

Memadailah seseorang Muslim bermunajat dan berhubung ke hadrat Allah pada bila-bila masa dan di mana juga keadaannya melalui solat. Hanya dengan solat maka jiwa dan raga seorang Muslim langsung tersangkut pada Yang Maha Agung.

Selain itu, Rasulullah bertemu dengan kaum yang memecahkan kepala mereka dengan batu yang keras. Setiap kali kepala mereka pecah, keadaan akan kembali seperti sedia kala dan mereka berterusan memecahkan kepala.Rasulullah bertanya kepada Jibril mengenai golongan itu, lalu dijelaskan bahawa mereka ialah sekumpulan orang yang berat kepala untuk mendirikan solat fardu.

Selain seksaan meninggalkan ibadat solat, Rasulullah diperlihatkan seksaan akibat tidak menunaikan zakat, memberi sedekah, memakan riba, meninggalkan jihad pada jalan Allah, tidak menjaga lidah dan memelihara anggota tubuh badan.

Rentetan kejadian demi kejadian ini menyingkap kewajipan agama sudah datang sekalipun masih belum difardukan dan mempamerkan corak kehidupan Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan umat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan lagi kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang sekali gus menunjukkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah.

Begitulah penghayatan menyeluruh yang seharusnya diselami, difahami dan dipraktikkan setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan lagi kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang sekali gus menunjukkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah.

Peristiwa itu berupaya menjadi pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadah secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji Muslim supaya dapat meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan di dunia serta akhirat.


Sumber : Berita Harian 10 Julai 2010

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails