Followers

Monday, December 27, 2010

Menu mudarat

pix_gal0

Makanan berkolesterol tinggi punca lesu, mudah letih

TIDAK lengkap beraya tanpa hidangan pelbagai menu enak. Namun, keenakan juadah dalam bentuk lauk pauk mahu pun biskut, tidak berakhir setakat dalam mulut. Sebaliknya, seperti yang diketahui ramai, makanan yang berminyak, kaya lemak dan berkolesterol tinggi ini turut mengundang pelbagai masalah kesihatan berkaitan.

Hakikatnya, lemak dan kolesterol ada peranan tersendiri dalam sistem badan. Tanpa lemak tubuh tidak boleh bertahan. Malah setiap sel mengandung bahan lemak penting dalam membran. Lemak juga berfungsi dalam membekalkan asid lemak perlu (EFA) yang tidak boleh dihasilkan oleh tubuh. Selain itu lemak juga menyumbangkan lebih tenaga berbanding karbohidrat dan protein serta meningkatkan penyerapan vitamin larut lemak.

Kolesterol misalnya sangat penting dalam pembentukan sel membran dan hormon. Ia berfungsi dalam penghasilan hormon steroid (estrogen, testosterone), mengangkut lemak sekitar tubuh, menghasilkan vitamin D yang penting untuk menjadikan tulang dan gigi kuat) dan membina sel membran. Namun, sebanyak mana keperluan itu?
Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan, Norlaily Md Nasir, berkata sebenarnya tidak banyak kolesterol diperlukan oleh tubuh. Ini kerana sistem badan secara semula jadi turut menghasilkan 700-1000 mg kolesterol sehari, jumlah yang cukup untuk melakukan proses metabolisme.

Justeru, pengambilan lemak dan kolesterol berlebihan memudaratkan kesihatan. Misalnya, pengambilan lemak tepu secara berterusan terutama daripada sumber haiwan bukan saja boleh meningkatkan kandungan kolesterol darah malah turut meningkatkan pembekuan lemak dalam saluran darah.

Seterusnya, ia boleh menyebabkan serangan sakit jantung. Sementara lemak yang berlebihan akan terkumpul di dalam badan dan menyebabkan obesiti.

“Apabila lemak dan kolesterol terkumpul, organ utama yang terjejas adalah jantung. Ini kerana apabila lemak terkumpul dalam salur darah, ia menyebabkan kesukaran pada jantung mengepam darah. Fungsi jantung terganggu. Bayangkan jika keadaan ini berterusan setiap hari,” katanya.
Jelas Norlaily, umumnya hidangan pada hari raya penuh kolesterol dan lemak, tetapi ramai orang percaya, memakannya sebanyak mungkin dan bersenam kemudian membantu menghilangkan kesan buruk pada kesihatan.

Bagaimanapun, pendapat ini tidak benar kerana pengambilan makanan perlu seimbang, sederhana dan sihat.

“Senaman sangat perlu bagi mengimbangi tenaga yang diambil dan tenaga yang digunakan. Keseimbangan ini penting bagi memastikan tiada lebihan tenaga terutama lemak dalam tubuh badan. Bagaimanapun, kalau makan terlalu banyak dan makanan itu tidak berkhasiat pula ia akan memudaratkan. Lebih malang, kebanyakan individu hanya melakukan senaman ringan dan tidak konsisten,” katanya.

Norlaily berkata, senaman membantu tubuh membakar kalori yang diperoleh daripada makanan yang diambil. Senaman juga membantu kita kekal cergas sepanjang Ramadan dan Syawal.

Sekiranya tiada senaman yang dilakukan, tiada pembakaran kalori yang berlaku. Ini bermakna semakin cepat lemak dan kolesterol ini terkumpul di dalam tubuh dan semakin pantas ia akan menjejaskan kesihatan kita. Situasi ini akan bertambah teruk jika seseorang itu berlebihan berat badan dan obesiti.

“Kebanyakan mereka yang berhadapan dengan masalah lemak atau kolesterol yang tinggi cepat berasa lesu, tidak bermaya dan mudah letih. Ini disebabkan lemak terkumpul di dalam salur darah dan mengganggu fungsi jantung serta menyukarkan pengaliran darah dan ini sekali gus mengganggu pengangkutan oksigen ke dalam sistem tubuh,” katanya.

Hidangan Aidilfitri tinggi lemak dan kolesterol
  • 1) Biskut raya (yang kebanyakannya menggunakan mentega)
  • 2) Rendang
  • 3) Lemang
  • 4) Ketupat
  • Dodol
  • 6) Makanan berasaskan coklat

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails