Followers

Saturday, January 22, 2011

Nabi, rasul diutus bimbing umat dunia

RASULULLAH SAW Bersabda yang bermaksud: “Kaum Bani Israel biasanya dipimpin oleh nabi. Setiap kali meninggal seorang nabi akan diganti pula seorang nabi yang berikutnya.

“Sesungguhnya tiada nabi sesudahku. Ada beberapa orang pemerintah sebagai penggantiku dan banyaklah bilangan mereka itu. 

Baginda bersabda lagi: Lakukanlah baiah yang pertama dan hendaklah patuh kepada pemerintahan mereka. Kamu juga hendaklah memerangi mereka yang menentang mereka, dan mohonlah kepada Allah apa-apa yang menjadi hak bagimu, Allah akan bertanya kepada khalifah itu mengenai cara mereka mentadbir pemerintahan mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 

Allah tidak akan membiarkan umatnya hidup di dunia tanpa bimbingan daripada nabi dan rasul. Nabi dibangkitkan mengikut giliran ditetapkan Allah kepada kaum tertentu.

Nabi Muhammad SAW adalah nabi dan rasul terakhir diutuskan untuk seluruh umat. Umat Islam hendaklah taat dan setia kepada pemerintah yang dilantik selagi pemerintahan itu tidak bertentangan dengan syiar Islam.

Sumber: e-Hadith Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Ada ganjaran bagi umat sabar, reda ditimpa penyakit

Ada ganjaran bagi umat sabar, reda ditimpa penyakitOleh Mohd Yaakub Mohd Yunus2011/01/22

Setiap musibah terselindung nikmat serta menyedarkan manusia kelemahan diri sendiri

APABILA seseorang ditimpa penyakit yang pastinya akan menyebabkan dia merasa tidak selesa, lemah dan hilang selera makan, ramai yang mengeluh mengenangkan nasib. Tidak ramai memandang penyakit sebagai satu nikmat serta anugerah Allah kepada hamba-NYA. 

Sebagai mukmin sejati, seseorang itu tidak hanya merasa gembira dan bersyukur kepada Allah ketika dikurniakan kesenangan dalam kehidupannya, dia juga reda serta bersabar saat ditimpa musibah termasuk penyakit. 


Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh aneh bagi seseorang mukmin itu, seluruh keadaan yang menimpa dirinya dianggap sebagai sesuatu kebaikan bagi dirinya. Keadaan seperti ini tidak akan ditemui pada sesiapapun kecuali seorang yang beriman. Jika dia mendapat kesenangan lalu dia bersyukur, maka perkara itu akan mendatangkan kebaikan bagi dirinya. Jika mendapat kesusahan lalu dia bersabar, maka perkara itu akan mendatangkan sebuah kebaikan bagi dirinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sifat sabar ketika ditimpa penyakit antara ciri golongan yang ber-iman dan kesabaran itu akan mendatangkan kebaikan berupa ganjaran baik daripada Allah antaranya penghapusan dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu.

Abu Hurairah pernah bersama Rasulullah SAW menziarahi seorang yang menderita penyakit demam. Rasulullah bersabda kepada pesakit itu yang bermaksud: “Beritakanlah khabar gembira, sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla pernah berfirman: Penyakit itu adalah api-Ku yang Aku timpakan kepada hamba-Ku yang mukmin di dunia ini supaya dia dapat selamat dari api neraka pada hari akhirat nanti.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Ujian sering menyedarkan manusia terhadap kelalaian mereka selain menjadi bukti lemahnya diri kerana tidak mampu mengelak penyakit dikurniakan Allah. Ada ketikanya, sakit mengingatkan kita akan dosa dilakukan kerana ujian Allah juga disebabkan kesilapan dilakukan.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan apa musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (dari kesalahanmu).” (Surah Asy-Syura, ayat 30)

Ketika sakit, tubuh badan menjadi lemah dan ada kalanya menyebabkan terhalang daripada melakukan amal ibadat. Namun, antara keistimewaan diberikan Allah kepada mereka yang sedang sakit, mereka tetap menerima ganjaran pahala bagi amalan biasa dilakukan ketika sihat.

Contohnya, seseorang yang konsisten mengerjakan solat tahajud tetapi terhalang mengerjakannya kerana kesihatannya terganggu, dia tetap menerima pahala solat tahajud itu sepanjang tempoh dia sedang sakit.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang hamba itu sakit atau dalam perjalanan (musafir), maka akan dicatat baginya pahala perbuatannya seperti yang dia kerjakan ketika mukim dan dalam keadaan sihat.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Demikianlah beberapa ganjaran Allah kurniakan kepada hamba-Nya yang sakit. Imam Ibnu Qayyim dalam kitabnya Syifa al-‘Alil Masa’al al-Qadha’ wa al-Qadr wa al-Hikmah wa at-Ta’lil, mengkaji keistimewaan bagi mereka yang sakit dan mendapati ada lebih seratus faedah dapat mereka kecapi.

Oleh itu, tidak hairanlah jika sesetengah generasi salaf melihat ditimpa musibah seperti sakit sebagai satu nikmat menggembirakan seperti gembiranya umat zaman ini ketika mendapat kemewahan hidup.

Wahab Munabih berkata: “Sesungguhnya umat sebelum kamu, apabila salah seorang di antara mereka tertimpa bala, dia menganggapnya sebagai kemewahan dan apabila dia mendapat kemewahan, dia menganggapnya sebagai bala.”

Semoga pendedahan ini dapat menjadi penawar hati bagi mereka yang sedang berduka kerana penyakit menimpa mereka. Kini jelas bagi semua bahawa penderitaan sedang dialami sebenarnya ada nikmat serta anugerah besar pemberian Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 

Mencontohi tabiat, cara makan Rasulullah

Mencontohi tabiat, cara makan Rasulullah
Oleh Mohd Amri Abdullah

2011/01/22

Diet seimbang, amalan pemakanan sihat pelihara Muslim daripada serangan penyakit

KESEMPURNAAN Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah tiada tolok banding yang menjadi ikutan Muslim sedunia termasuk diet makanan Baginda. 

Rahsia Rasulullah SAW menjaga kesihatan rohani dan jasmani untuk menyampaikan seruan Allah kepada umatnya ialah sabda Baginda bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan melainkan apabila sudah terasa lapar dan apabila kami makan, tidak pernah sampai kenyang.” 

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan gaya hidup mewah masa kini (makan makanan tinggi lemak dan kurang bersenam) menyebabkan peningkatan penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, diabetes dan kanser.

Pertubuhan Jantung Amerika Syarikat menyarankan, semua kanak-kanak dan orang dewasa perlu mengumpulkan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti fizikal sederhana pada kebanyakan hari atau sebaik-baiknya setiap hari dalam seminggu.

Daripada Aisyah, “Bala yang pertama sekali berlaku kepada umat ini sesudah kepergian Nabi SAW ialah kekenyangan perut, sebab apabila sesuatu kaum kenyang perutnya, gemuk badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan bermaharajalela syahwatnya.” (Hadis riwayat Bukhari ).

Selain menjaga kebersihan, Rasulullah SAW makan makanan seimbang, makan perlahan-lahan, sederhana dan berkongsi makanan. Rasulullah SAW suka makan susu, buah-buahan, tamar, daging, madu, sayur dan bubur kerana makanan itu mempunyai khasiat yang tinggi.
Susu adalah makanan lengkap, kaya dengan protien, kalsium, vitamin A dan B, zat protien berkualiti tinggi penting untuk membina dan membaiki tisu badan serta membentuk antibodi melawan jangkitan penyakit.

Zat kalsium dalam susu mudah diserap oleh badan, penting untuk elak ‘osteoporosis’. Susu juga mengandungi zat fosforus, magnesium, potassium, Vitamin B2 (riboflavin) dan Vitamin D. Susu lembu mempunyai 87 peratus air dan 13 peratus pepejal.

Firman Allah bermaksud: “Dan sesungguhnya pada binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang yang meminumnya.” (Surah An-Nahl, ayat 66)

Buah kurma (serasi dengan tubuh badan manusia), anggur, zaitun, delima mengandungi serat semula jadi yang tinggi (penting untuk mengelak sembelit), Vitamin A (penting untuk mata/penglihatan), gula, berbagai vitamin dan mineral serta air penting bagi kesihatan badan.

Siti Maryam menggoncangkan pohon kurma selepas melahirkan anaknya Nabi Isa untuk dijadikan ubat berkhasiat dan memulihkan tenaga.

Firman Allah bermaksud: “Dan goyangkanlah pangkal pokok kurma itu ke arah mu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenanglah kamu.” (Surah Maryam, ayat 25)

Daging juga menjadi sumber zat protien yang utama untuk tumbesaran manusia, membekal lemak, vitamin dan mineral (zat besi dan zink). Lantaran itu Rasulullah SAW menggemari makanan rendah lemak dan kolesterol.

Sementara, madu kaya dengan gula, sedikit air, vitamin dan mineral penting untuk kesihatan. Selepas subuh, Rasulullah SAW memulakan sarapannya dengan segelas air dicampur sesenduk madu asli. Di tinjau dari ilmu kesihatan, madu berfungsi membersihkan lambung, mengaktifkan usus, menyembuhkan sembelit dan peradangan.

Masuk waktu dhuha, Rasulullah SAW selalu makan tujuh biji kurma ajwa’ untuk menghindari keracunan. Ketika seorang wanita Yahudi meletakkan racun dalam makanan Rasulullah ketika perang Khaibar, bisa racun itu kembali tawar oleh zat-zat terkandung dalam kurma. Sebab itu Rasulullah SAW mengibaratkan orang yang rumahnya tiada kurma sebagai orang miskin.

Rasulullah SAW tidak makan dua jenis makanan panas atau dua jenis makanan dingin secara bersamaan. Beliau juga tidak makan ikan dan daging dalam satu waktu dan tidak tidur selepas makan kerana tidak baik untuk jantung.

Jika terlalu banyak makan daging akan memberi kesan kepada sendi dan ginjal. Saidina Umar memperingatkan: “Jangan kau jadikan perutmu sebagai kuburan bagi haiwan ternak.”

Rasulullah SAW melarang (makruh) meniup atau menghembus nafas ke dalam bekas air kerana akan berlaku tindak balas yang merubah kadar kealkalian (pH) air itu.

Sayur-sayuran menjadi pilihan Rasulullah SAW kerana secara umumnya sayur-sayuran memiliki kandungan zat dan fungsi memperkuat daya tahan tubuh dan melindungi daripada serangan penyakit serta mencegah penyakit berpunca daripada gula.

Rasulullah SAW makan cuka dan minyak zaitun yang dicampurkan dengan makanan asasi seperti roti. Ia bermanfaat mencegah lemah tulang, melancarkan sembelit, menghancurkan kolestrol, melancarkan pencernaan dan menjaga suhu tubuh pada musim sejuk.

Baginda melebihkan makanan berasaskan bijirin dan ubi kerana ia membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin, mineral dan serat. Mengikut piramid makanan, kita disarankan mengambil 8 hingga 12 hidangan makanan berasaskan bijirin dan ubi dalam sehari.

Ini bermakna Rasulullah SAW meninggalkan tatacara makanan yang lengkap untuk diteladani. Namun, umat Islam masih dibelenggu pelbagai penyakit yang menyebabkan perbelanjaan orang Islam dihabiskan untuk perubatan serta makanan tambahan.

Oleh itu, untuk membentuk kesinambungan generasi Islam, maka tabiat dan cara makan harus mencontohi Rasulullah SAW.

Sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang sedikit makan, maka perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya barang siapa yang banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.” (Hadis riwayat Huzaifah).

Humaka’ ada berkata: “Kesihatan itu adalah mahkota di atas kepala orang yang sihat dan ia tidak dapat dilihat melainkan orang yang sakit dan perut adalah kepala segala penyakit dan pencegahan itu adalah kepala segala ubatan.”

Penulis ialah Penolong Pengarah Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Monday, January 17, 2011

Ittiba’ Rasulullah SAW

Kelazatan iman ini boleh dirasa. Mendengar cerita manisnya gula, tidak akan sama dengan dapat mencicipi rasa gula itu sendiri. Namun begitu, ada masanya, dengan mendengar cerita mereka yang telah merasai lazatnya manisan, membuatkan kita seolah-olah turut merasai sama kelazatannya.

Jika kita dapat bersama Saidina Bilal r.a, mungkin kita akan dapat mendengar bagaimana Bilal memerikan betapa manis dan lazatnya iman, sehingga semasa batu yang besar dihimpitkan ke dadanya, hati dan mulutnya masih tega menyatakan, “Ahad! Ahad!”.

Kita tidak dapat mengecapi kemanisan yang dirasai oleh Khansa’ r.ha ketika diberitahu kepadanya berita tentang kesyahidan keempat-empat puteranya, lalu berkata, “Segala puji bagi Allah, yang telah menjadikan aku ibu kepada empat orang syuhada”. Alam rasa adalah alam yang amat dalam. Kesannya melampaui alam nyata.

Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (ali-‘Imran: 31)

Imam Ibnu Kathir memberikan komentarnya mengenai ayat ini, “Yakni, akan terhasil bagi kamu melebihi apa yang kamu harapkan, iaitu daripada kasih kamu kepada Nya, kepada kasih-Nya kepada kamu; sedangkan ia (yakni kasih Allah kepada kamu) adalah lebih agung berbanding (perkara) yang pertama tadi (yakni kasih kamu kepada Allah).

Sebagaimana kata sebahagian ulama lagi hukamak: “Bukanlah perkara yang hebat kamu mengasihi, tetapi perkara yang hebat itu ialah kamu dikasihi”!

Maka untuk ittiba’ Rasulullah SAW, dengan penuh minat dan cinta, kita cuba semampu yang mungkin mengikuti ‘3P’ yang ada pada Rasulullah SAW: Paparan, Perjalanan dan Perasaan Rasulullah SAW.

Paparan

Paparan zahiriah yang ada pada Rasulullah SAW kita ikuti dengan penuh cinta. Merupakan fitrah manusia, apabila meminati seseorang, dia akan berusaha untuk meniru dan menyerupai orang yang diminati itu. Maka siapakah yang lebih layak untuk dicintai dan diminati oleh seorang muslim melebihi Baginda Rasulullah SAW? Allah SWT berfirman: Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isteri baginda adalah ibu-ibu mereka. (al-Ahzab: 6)

Maka, jika ada seorang muslim yang berserban, bukan kerana dia terpesona dengan budaya bangsa Arab, tetapi kerana minat dan cintanya kepada apa yang dipakai oleh Nabi Muhammad SAW yang berbangsa Arab.

Jika seorang muslim itu berjanggut, bukan kerana dia rasa berjanggut itu akan menampakkan dia lebih macho atau hebat, tetapi kerana minat dan cintanya untuk memiripkan penampilannya sehampir mungkin dengan seseorang yang amat diminatinya, iaitu baginda SAW. Dan segala perasan minat dan cintanya ini, mempunyai manfaat dan nilai yang tinggi pada hari kita semua amat mengharapkan syafaat Rasulullah SAW!

Perjalanan

Perjalanan atau sirah Rasulullah SAW. Kita perlu jadikan pagi kita, seperti paginya Rasulullah SAW. Petang kita, seperti petangnya Rasulullah SAW. Siang kita seperti siangnya Rasulullah SAW. Malam kita seperti malamnya Rasulullah SAW. Setiap panduan, tuntunan, perintah dan arahan yang lahir daripada Baginda perlulah kita ikuti. Keimanan kita, ibadah, muamalat, musyarakat dan akhlak kita perlulah mengikuti seperti yang diteladani dan dikehendaki oleh Rasulullah SAW. Allah SWT mengingatkan:

Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah… (al-Hasyr:7)

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (al-Qalam: 4)

Perasaan

Apa yang bergelora di dalam hati Rasulullah SAW juga perlu bergelora di dalam hati kita. Sebagaimana syafaqah (kasih sayang) Rasulullah SAW kepada umat Baginda tidak berbagai dalamnya, begitu jugalah hati kita juga mempunyai syafaqah itu terhadap saudara kita. Allah SWT menggambarkan: Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. (at-Taubah: 128)

Syafaqah ini membuahkan kerisauan. Kerisauan yang amat suci, kerisauan untuk melihat setiap orang diselamatkan daripada tangkapan neraka Allah, dan dimasukan ke dalam syurga Allah lalu memperoleh kejayaan yang hakiki lagi kekal.

Kerisauan Rasulullah SAW tentang perkara ini dipersaksikan oleh Allah SWT sendiri melalui firman-Nya: Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (al-Quran). (al-Kahfi: 6)

lBoleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka tidak beriman. (asy-Syu’araa: 3)

Begitu indah Allah SWT menggambarkan, betapa kasih sayang dan fikir-risau Rasulullah SAW terhadap umat baginda. Dan bersumber daripada fikir-risau inilah, lahirnya usaha dan pengorbanan. Rasullulah SAW dan para sahabat telah bangun dan melakukan perjuangan yang amat besar.

Perasaan syafaqah dan kerisauan yang sempurna inilah yang perlu wujud di dalam hati kita. Lalu mendorong kita untuk bangun atas usaha yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat, iaitu usaha dakwah ilallah, lantas melayakkan kita untuk menyandang gelar sebagai pengikut Rasulullah SAW, sebagaimana firman Allah: Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. (Yusuf: 108)

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails