Oleh Muhammad Asyraf
2011/03/29
Ia mendidik jiwa manusia mentaati hukum-Nya, beri peluang manusia perbaiki kesalahan
PERUNDANGAN Islam diturunkan bukan untuk menghukum tetapi untuk mendidik. Disebabkan itu Islam amat menitikberatkan perlindungan terhadap insan yang mula mencari pintu taubat. Dalam Islam, keaiban manusia bukan dianggap sesuatu yang perlu diketengahkan. Malah ia ditutup serapat mungkin kerana itu rahmat Allah SWT. Setiap orang mempunyai keaiban dan tidak ada seorang pun terlepas daripada melakukan kesalahan. Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui”. (Surah An-Nuur: 19) ni bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Setiap daripada kamu ialah orang yang berbuat salah dan sebaik-baik orang yang berbuat salah ialah orang yang bertaubat.” (HR Ahmad)
Setiap manusia tidak terlepas daripada keaiban. Sama ada diketahui orang lain mahupun menjadi rahsia sendiri. Namun, Allah itu berkuasa menutup dan membuka keaiban hamba-Nya.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. (Hadis riwayat at-Tirmidzi).
Segala maksiat di sekeliling kita perlu dicegah. Kita membenci segala perbuatan maksiat. Namun, kita tidak membenci orang yang melakukan maksiat. Apatah lagi melaknat orang berkenaan. Ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam menghadapi sesuatu kemungkaran membezakan antara perbuatan dan si pembuat.
Diterangkan bahawa perbuatan itu adalah salah supaya pembuatnya berhenti dan tidak diikuti orang ramai. Ada pun terhadap pembuatnya, Ahli Sunnah Wal-Jamaah menangguhkan sebarang hukuman sehingga diperhatikan tiga syarat berikut;
Ditegakkan hujah kepadanya, iaitu mengemukakan dalil dan hujah bahawa apa yang dilakukan adalah kemungkaran. Kemudian dibersihkan salah fahamnya iaitu dalil dan hujah diberi dalam bentuk penerangan jelas bagi membersihkan kekeliruan yang mungkin dihadapi olehnya apabila melakukan kemungkaran itu.
Akhirnya, Islam mempertimbangkan sama ada dia melakukan kemungkaran itu dalam suasana sedar dan rela atau terpaksa, tersilap atau tidak mampu untuk mengelaknya.
Demikian sikap hati-hati AhliSunnah Wal-Jamaah dalam membezakan antara perbuatan dan pembuat.
Umar al-Khathab menerangkan bahawa pada zaman Rasulullah SAW terdapat seorang lelaki yang bernama Abd Allah. Dia lazim (berjenaka) sehingga membuat Rasulullah SAW tertawa. Nabi pernah merotannya (sebagai hukum hudud) kerana kesalahan minum arak.
Pada suatu hari dia dibawa menghadap Baginda atas kesalahan yang sama, lalu dikenakan hukuman rotan. Berkata seorang lelaki: “Ya Allah! Laknatlah dia! Betapa banyak kali dia dibawa menghadap Rasulullah atas kesalahan sama!” Namun Nabi menjawab:
“Jangan melaknatnya! Demi Allah! Aku tidak tahu bila ternyata dia mengasihi Allah dan rasul-Nya. (Riwayat al-Bukhari)
Berlaku beberapa kes pada zaman Nabi yang menunjukkan bahawa perundangan Islam bukan sekadar untuk menghukum. Namun ia juga sebagai produk mendidik jiwa. Manusia yang paling arif berkenaan hukum Allah SWT ialah nabi. Namun, terdapat kisah bagaimana proses berlaku pelaksanaan hukum hudud yang melalui proses menutup keaiban terlebih dulu.
Hadis daripada Nu’aim Hazzal: “Ma’iz Malik adalah seorang yatim di bawah asuhan bapakku. Lalu dia berzina dengan seorang budak daripada suku itu. Maka bapakku berkata kepadanya: “Pergilah kepada Rasulullah SAW, lalu beritahulah kepada Baginda apa yang sudah engkau lakukan. Semoga beliau memohonkan ampun untukmu”. Bapakku menghendaki hal itu kerana berharap Ma’iz mendapat penyelesaian.
Maka Ma’iz mendatangi Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku.” Lalu Baginda berpaling daripadanya. Kemudian Ma’iz mengulangi:
“Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”. Maka baginda berpaling darinya. Kemudian Ma’iz mengulangi dan berkata, “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah berzina. Maka tegakkanlah kitab Allah atasku”.
Rasulullah SAW bersabda: “Engkau sudah mengatakannya empat kali. Lalu dengan siapa? Dia menjawab, “Dengan si Fulanah”. Lalu Baginda bersabda, “Apakah engkau berbaring dengannya?” Dia menjawab, “Ya” Lalu Baginda bersabda, “Apakah engkau menyentuh kulitnya?” Dia menjawab, “Ya” Lalu beliau bersabda, “Apakah engkau bersetubuh dengannya?” Dia menjawab, “Ya” Maka Rasulullah SAW memerintahkan untuk merejamnya.
Kemudian dia dibawa keluar ke Harrah. Tatkala dia direjam, lalu merasakan lemparan batu. Dia berkeluh kesah, lalu keluar dan melarikan diri. Maka Abdullah Unais mengekorinya. Sedangkan sahabatnya lain sudah penat.
Kemudian Abdullah mengambil tulang betis unta, lalu melemparkannya, sehingga dia membunuhnya. Lalu dia mendatangi Rasulullah SAW dan menceritakannya kepada Baginda.
Maka Baginda bersabda: “Tidakkah kamu membiarkannya, kemungkinan dia bertaubat, lalu Allah menerima taubatnya!” (kisah lengkap pada Sahih Muslim)
Menurut Syeikh Islam Ibn Taimiyyah, Nabi sebenarnya sedang berusaha agar hukuman rejam ke atas Ma’iz tidak berlaku. (Majmu Fatawa 16/31) Ini menunjukkan kepada kita banyak ruang yang boleh ditutup keaiban berkenaan, maka hendaklah kita menutupnya. Disebabkan kita sendiri yang membukanya, maka berlakulah pengadilan Allah SWT terhadap hamba-Nya.
Sabda Rasulullah SAW: “Jauhilah perkara keji yang dilarang oleh Allah. Sesiapa yang melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi).
Maksiat itu bukan suatu yang perlu dipromosikan. Jika sering dicanang merata maka ia menjadi suatu kebiasaan. Maksiat ada bezanya. Ada maksiat secara tertutup dan ada juga maksiat secara terbuka. Maksiat secara tertutup perlu ditutup serapatnya. Namun maksiat secara terbuka perlulah digerakkan tindakan dalam mencegahnya.
Kita bimbang apabila maksiat itu dianggap biasa, maka ia sebenarnya sedang memanggil azab Allah. Maksiat secara terbuka adalah satu dosa purba dulu kala yang sudah dimodenkan.