MANGSA-mangsa gempa bumi dan tsunami Jepun beratur dengan penuh sabar dan tertib di luar sebuah pasar raya untuk membeli barangan makanan di Sendai, Miyagi, semalam. - AFP |
KAMAISHI 20 Mac - Insiden terpencil kegiatan mencuri oleh mangsa tsunami yang terdesak mula dilaporkan di Jepun, negara yang rakyatnya telah mendapat pujian meluas kerana disiplin mereka sekalipun menghadapi malapetaka bertimpa-timpa.
Negara lain melahirkan rasa kagum dan sedikit cemburu kerana kekacauan tidak berlaku berikutan gempa bumi kuat disusuli tsunami pada 11 Mac lalu yang menyebabkan hampir 20,000 orang terbunuh atau hilang.
Berlainan dengan huru-hara dan keganasan yang menyusuli gempa bumi di Haiti pada tahun lepas atau Taufan Katrina di New Orleans, Amerika Syarikat (AS) pada 2005, tindak balas rakyat Jepun terhadap bencana terburuk di negara ini sejak 1923 memperlihatkan kesabaran dan ketabahan sebuah masyarakat paling stabil di dunia.
Meskipun kekurangan bekalan makanan dan air sangat meruncing di kawasan paling teruk dilanda bencana itu, mesin penjualan makanan pun tidak disentuh, malah kandungannya yang jelas kelihatan di sebalik penutupnya masih tidak diusik.
Namun lebih seminggu selepas tsunami melanda kawasan pantai timur laut Jepun, polis berkata, beberapa insiden mencuri dan pecah masuk dilaporkan dari rumah dan kedai yang rosak teruk dan ditinggalkan.
Fenomena itu jarang berlaku di Jepun kerana polis di negara ini bertindak tegas ke atas jenayah kecil manakala penduduk mendapat ganjaran kerana memulangkan barang yang hilang atau dicuri.
"Disebabkan kami begitu sibuk dengan operasi mencari dan menyelamat dan kemudahan kerja pembersihan, sukar untuk kami mengesan mereka yang mencuri," kata timbalan ketua polis di bandar pelabuhan Kamaishi, Hironori Kodashima di wilayah Iwate.
Katanya, pihak polis baru mula menerima laporan mengenai jenayah itu dan melakukan penangkapan.
"Kami memandang berat perkara ini dan mahu menghentikannya," kata Kodashima yang menyebut kes seorang lelaki yang ditangkap ketika cuba memecahkan sebuah mesin juruwang automatik (ATM).
Beliau berpendapat penduduk mencuri kerana ketiadaan makanan dan wang tetapi mangsa bencana mendakwa, semakin ramai orang luar datang ke kawasan pantai timur laut untuk mengambil kesempatan daripada situasi tidak menentu dan kemusnahan yang berlaku. - AFP
No comments:
Post a Comment