Susanne Eman bersama adiknya Cassie |
Susanne memerlukan 20,000 kalori sehari bagi mencapai berat yang diidamkan. |
JAGA KESIHATAN... walaupun gemuk Susanne tetap melakukan senaman ringan sebelum membuat timbangan. |
KETIKA orang lain bertungkus-lumus mahukan bentuk badan kurus, Susanne Eman memilih sebaliknya.
Kini memiliki berat 330 kilogram, Susanne masih belum mencapai impiannya menjadi wanita paling gemuk di dunia.
Matlamat akhir Susanne ialah mencapai berat badan 730 kilogram dengan mengambil pelbagai makanan sekurang-kurangnya 20,000 kalori sehari.
Berasal dari Arizona, Amerika Syarikat, Susanne, 32, berharap mencapai separuh daripada berat impiannya itu menjelang akhir tahun ini.
Ibu tunggal yang kini membesarkan dua anak itu percaya, dia kini benar-benar bersedia mengambil alih tempat Donna Simpson, 43, dari New Jersey, sebagai wanita paling gemuk di dunia. Berat Donna yang dicatat dalam rekod dunia ialah 317.5 kilogram.
Tindakan Susanne mahu terus menambah berat badannya memang mencetuskan polemik kepada peminat wanita berbadan besar.
Kata Susanne, dia tertanya-tanya jika ada manusia mampu mencapai berat badan satu tan.
“Rekod wanita paling berat di dunia ialah 730 kilogram.
“Untuk mencapai impian, saya perlu mendapatkan sekurang-kurangnya berat sama seperti itu,” katanya.
Menurut Susanne, berdasarkan perkembangan semasa, dia yakin berjaya mencapai berat 730 kilogram ketika berusia 41 atau 42 tahun kelak.
Disebabkan keadaan tubuhnya itu, Susanne hanya keluar ke pasar raya membeli barang keperluan rumah sekali sebulan.
Itu pun, ditemani anak lelakinya, Gabriel, 16, dan Brendin, 12.
Mereka biasanya menghabiskan masa sehingga lapan jam di sesebuah pasar raya bagi memenuhkan enam troli yang dibawa.
“Ia memang penat - seperti bekerja seharian,” katanya.
Di sebalik tubuh badannya yang besar itu, Susanne percaya dia mampu kekal sihat walaupun mengambil makanan berkalori tinggi.
“Semakin saya gemuk, semakin saya rasa yakin dan seksi.
“Mengapa tidak saya mencuba ke tahap maksimum dan melihat sejauh mana saya mampu pergi dan kekal sihat,” katanya.
Menceritakan pengalamannya, Susanne berkata, dia mula memikirkan impian menjadi wanita paling gemuk di dunia selepas gagal mengawal dirinya daripada terus membesar secara semula jadi.
“Dua tahun lalu saya mencapai berat 222 kilogram selepas gagal dalam usaha menguruskan badan.
“Sejak itu, saya mula perasan - dengan berat badan begitu, semakin ramai lelaki tertarik dan ia memang menyeronokkan,” katanya.
Kini menganggur disebabkan berat badannya, Susanne mendakwa, dia kekal aktif dengan melakukan senaman ringan setiap hari dan kerap menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Otot perlu dikuatkan bagi menampung berat badan,” katanya.
Setiap minggu, kata Susanne, dia memeriksa tekanan darahnya, manakala setiap hari selepas bersenam, dia meluangkan masa membaca.
Dia juga menggunakan alat tertentu bagi menyukat kadar oksigen dalam darahnya.
“Saya juga memeriksa kadar gula dalam darah seperti seorang penghidap diabetes.
“Jika ada bacaan mencatatkan kadar tinggi, serta-merta saya menghubungi doktor untuk mendapatkan nasihat,” katanya.
Pada ketika tertentu, Susanne berkata, dia memang mengalami masalah kesihatan.
Ketika itu, katanya, dia meminta bantuan adik-beradiknya bagi menjaga dua anaknya.
Walaupun menerima amaran demi amaran daripada doktor supaya memikirkan kesan tindakannya menaikkan berat badan melampau, Susanne tetap bertegas mahu memecahkan rekod dunia.
Menurut Dr Patrick Flite, Susanne mengambil risiko sangat besar apabila menetapkan matlamat mahu mendapatkan berat badan lebih 700 kilogram.
“Ada banyak bukti menunjukkan obesiti membawa pelbagai komplikasi kepada seseorang,” katanya.
Doktor peribadi Susanne itu berkata, setakat ini memang wanita terbabit tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
“Susanne boleh berfikir sendiri untuk masa depannya dan dia tidak menghadapi masalah psikologi,” katanya.
Menyedari ada risiko yang dihadapi, Susanne berkata, dia mengambil langkah perlu untuk masa depan dua anak lelakinya.
“Saya memberitahu Gabriel, dan Brendin, setiap seorang sukakan sesuatu yang berbeza.
“Jika saya memasak makanan yang berlemak dan mereka mahukan hidangan lebih sihat, saya menyiapkan masakan khas untuk mereka,” katanya.
Pada masa sama, Susanne berkata, dia mahu mengubah tanggapan masyarakat bahawa gemuk adalah sesuatu yang buruk.
“Mesej yang mahu saya sampaikan ialah - tidak ada salahnya jika berbadan besar dan kita perlu menerima keadaan orang lain seadanya,” katanya.
Boleh klik SINI untuk berita lain