Artikel ini disalin daripada harian metro oleh Imam Muda Mohd Hassan Adli Yahaya
HARI ini genap seminggu umat Islam menunaikan ibadat puasa dan hanya tinggal lagi baki tiga minggu untuk meneruskan perjuangan dan cabaran Ramadan.
Saya juga mengalami impak Ramadan, di mana kebanyakan masa dipenuhi dengan pelbagai undangan bagi program semarak Ramadan dan solat tarawih selain perlu menguruskan diri sendiri.
Namun, dalam kesibukan ini, saya sebenarnya sedih kerana pada hari ini juga genap 19 tahun ayah saya (Allahyarham Yahaya @ Yahuza Omar) meninggal dunia. Mohon doa daripada pembaca sekalian untuk menghadiahkan al-Fatihah kepada arwah ayah saya, semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT.
Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan umat Islam digalakkan banyak berdoa kerana Ramadhan adalah bulan Allah membuka kesempatan dan ruang luas kepada kita untuk berdoa kepada-Nya, lebih-lebih lagi ketika hendak berbuka.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu, tatkala waktu berbuka adalah waktu doa yang tidak ditolak.” (riwayat Ibn Majah)
Kelaziman kita apabila tiba waktu berbuka, kita sibuk membeli juadah di bazar Ramadhan. Habis bazar Ramadhan di satu kawasan, kita pergi pula ke bazar Ramadhan di tempat lain.
Kita sibuk membazir masa melihat-lihat juadah dan kemudian balik ke rumah hingga sampai waktu berbuka. Kalut dengan aktiviti lain sehingga terlupa untuk berdoa. Kadangkala sampai doa makan dan berbuka puasa pun kita lupa hendak baca.
Maka, marilah kita sama-sama berazam untuk berubah tahun ini selaras dengan konsep Ramadhan sebagai bulan menguji keimanan, seterusnya berubah ke arah kebaikan.
Jika diimbas waktu kanak-kanak, rata-rata kita dilatih berpuasa oleh ibu bapa kita. Itu asas latihan pertama. Lazimnya, kalau tahan, kita berpuasa sehingga waktu berbuka tetapi kalau tidak, kita puasa separuh hari.
Puasa separuh hari ini kita biasa panggil sebagai “puasa yang yok... tengah hari buka periuk.” Alhamdulillah, berkat latihan ini, apabila dewasa, kita boleh istiqamah berpuasa penuh 30 hari.
Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak sedar konsep ‘puasa separuh’ ini masih dipraktikkan dan terbawa- bawa walaupun usia menjengah dewasa. Mengapa? Terlebih dulu, saya ingin mengulas bahawa puasa separuh ini adalah keadaan di mana seseorang hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga. Sebaliknya mulut, mata, telinga dan panca indera yang lain tidak turut berpuasa.
Seawal pagi, masuk kerja aktiviti seharian kita tetap sama seperti sewaktu tidak berpuasa kerana keadaannya cuma tolak sarapan pagi. Begitu juga waktu rehat tengah hari kita habiskan dengan aktiviti yang mengurangkan pahala puasa.
Waktu petang pula kita sambung ‘cuci mata’ di bazar Ramadhan. Sudahnya, mata, hati, lidah dan anggota badan kita tidak ditahan daripada melakukan dosa.
Menyentuh mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya.” (riwayat Al-Bukhari) Tibanya waktu malam selepas berbuka, kita keletihan dan tidak bermaya untuk pergi solat Tarawih berjemaah. Alasan biasa kita beri ialah seharian di pejabat penuh dengan tugasan kerja dan melayan kerenah pelanggan... berpuasa pulak tu.
Pastinya malam badan penat dan perlukan rehat. Dalam rehat-rehat, mata tetap ‘terjegil’ menonton perlawanan bola sepak di kaca televisyen sampai pagi. Jadi, macam mana pula keadaannya itu? Benarlah sabda junjungan besar kita Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berapa ramai di kalangan kamu yang berpuasa hanya mendapat lapar dan dahaga.” (Riwayat Bukhari) Jadi, sama-samalah kita berazam dalam diri untuk berubah pada tahun ini.
Pada zaman Rasulullah SAW, antara sahabat baginda yang alim mengenai al-Quran ialah Abu Musa Al- Asya’ari. Abu Musa dianugerahkan Allah SWT mempunyai suara lunak merdu sehingga kemerduan suaranya mampu menembusi tirai hati orang mukmin.
Masa itu, apabila ditanya mengenai al-Quran, orang akan tunjuk Abu Musa Al-Asya’ari.
Hari ini apabila kita ditanya mana al-Quran, kita akan tunjuk... itu dia, atas almari. Berhabuk dan hanya dijadikan ‘tangkal’ penghalau hantu syaitan.
Tidak seperti nabi yang menjadikan amalan membaca al-Quran dan bersedekah sebagai amalan utama apabila tiba Ramadan.
Imam Zuhri berkata: “Sesungguhnya Ramadan itu bulan membaca al-Quran dan menyediakan makanan untuk orang berpuasa.” Sebenarnya, dalam kesempatan dan ruang masa yang ada, kita boleh ajak dua tiga rakan di pejabat dan buat projek tadarus sewaktu rehat tengah hari. Konsepnya sama saja macam kita dulu-dulu di sekolah buat ‘study group’. Cuma jangan terlalu ramai.
Kalau hendak mula dan mengajak ramai-ramai, nanti banyak pula bunyinya kerana seorang mungkin kata begitu, seorang kata begini. Ramai pula ustaz tidak bertauliah yang memberikan ‘fatwa’ dan pendapat.
Akhirnya semua lemah semangat dan langsung tidak buat apa-apa. Siapa yang berjaya dan siapa yang rugi di sini? Kalau sikit ahlinya, sempat ke khatam sebelum akhir Ramadhan? Sebenarnya ramai tidak tahu, perkara paling penting bukan bagaimana akhirnya tetapi bagaimana memulakannya. Insya-Allah, apabila amalan ini sudah bermula, kita tahu untuk mengendalikannya.
Dalam keberkatan Ramadhan iaitu bulan al-Quran diturunkan, sebaik-baiknya kita ambil al-Quran atas almari yang kita simpan sejak sekian lama untuk kembali dibaca dan diamalkan.
Bukan setakat Ramadhan saja tetapi selepas ini kita cuba cari lokasi lebih praktikal untuk meletakkan al-Quran supaya ia lebih senang dicapai pada bila-bila masa. Kita sama-sama niat dalam diri untuk berubah tahun ini. Semoga selepas ini kita boleh dikenali sebagai Abu Musa Al-Asya’ari.
Dalam kesibukan tugas harian, beberapa hari lalu saya singgah di sebuah pasar raya mencari barang keperluan diri. Boleh dikatakan, kebanyakan pasar raya yang saya singgah mula mendendangkan lagu raya walaupun puasa belum seminggu.
Saya masih ingat sewaktu kecil dulu, lagu raya hanya didendangkan di corong radio pada minggu terakhir Ramadan. Bukannya apa, saya khuatir lagu raya yang berkumandang di sana sini sedikit sebanyak ‘membenam’ semangat Ramadhan.
Kita bimbang Ramadhan hanya jadi penyebab untuk kita menyambut Aidilfitri. Atau Ramadhan hanya bulan mencari ‘duit segera’ dan berbelanja mewah ketika raya.
Tukar kereta baru, langsir baru, perabot rumah baru, pakaian baru malah kalau boleh, semuanya serba baru. Akhirnya roh Ramadhan hilang dek keghairahan kita menyambut raya.
Walhal kita disaran lebih fokus dan melebihkan amalan serta menghidupkan Ramadhan berbanding bulan lain.
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa pada Ramadhan semata-mata kerana iman dan mengharap perubahan dirinya, nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Bukhari)
Akhir kalam, marilah kita sama-sama berazam pada diri kita untuk berubah dan memperbaiki amalan Ramadan kita pada tahun ini. Marilah kita sama-sama manfaatkan waktu di bulan yang penuh berkat ini dengan berbagai macam kebaikan dan jauhilah pelbagai macam maksiat.
1 comment:
The Lucky Club | Best Casino Site in the UK - LuckyClub.live
The Lucky Club is one of the UK's most popular online luckyclub.live casinos. Join today to claim your welcome bonus and explore the world's top betting site!
Post a Comment