Followers

Friday, April 06, 2012

Bencana ganjaran golongan tak tahu bersyukur


Oleh Amran Zakaria

2012/04/06

Nikmat kesenangan patut dibalas dengan tingkatkan keimanan 

ADA empat kategori manusia di akhirat:


1) orang yang berjaya di dunia dan tidak berjaya di akhirat, 
2) orang yang tidak berjaya di dunia dan tidak berjaya di akhirat, 
3) orang yang tidak berjaya di dunia dan berjaya di akhirat dan 
3)orang yang berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. 

Mungkin ramai yang terpedaya dan hanyut ketika hidup di dunia. Hanyut dalam kelalaian dan kemewahan. Itu yang ditakuti Rasulullah SAW iaitu Baginda Rasul takut umatnya diuji dengan kemewahan. Sebab itu dalam apa juga keadaan, sama ada mewah atau susah kita hendaklah bersyukur kepada Allah.

Tidak ada lafaz yang mengesankan melainkan rasa syukur dan terus bersyukur atas nikmat yang diberikan-Nya. 

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah? Malah kita perlu merasa bimbang dan takut, setelah sekian banyak menikmati rezeki kurniaan Allah yang kita gunakan sekiranya kita tidak tergolong di kalangan hamba-hamba yang bersyukur. 

Allah memberi amaran keras terhadap mereka yang tidak tahu bersyukur atau tidak mahu bersyukur, dengan amaran azab yang dijanjikan. Lihatlah apa yang sudah berlaku kepada kaum terdahulu supaya menjadi pengajaran kepada kita. 


Kaum Ad, umat Nabi Hud diberi tanah yang subur untuk dijadikan ladang pertanian. Rezeki mereka melimpah ruah, tetapi kerana tidak bersyukur dan bertindak melampaui batas, Allah menurunkan angin puting beliung yang memusnahkan kampung dan harta benda mereka. Kaum Thamud, umat Nabi Saleh dianugerahkan kekayaan dan kemewahan hidup, tetapi kekayaan menjadikan mereka bangga dan menyombong diri. Mereka tetap tidak bersyukur dan tidak beriman kepada Allah. Akhirnya Allah menurunkan halilintar yang kuat dan gempa bumi yang dahsyat menyebabkan kaum itu mati bergelimpangan. 

Kaum Lut di Sodom pula diberikan Allah kehidupan yang sangat mewah. Kemewahan ini juga menyebabkan mereka lupa peringatan Allah dengan bertindak keterlaluan iaitu melakukan hubungan sejenis. Bumi kaum Nabi Lut diterbalikkan dan penempatan mereka musnah ditimpa hujan batu berapi. 

Begitu juga dengan kisah kaum Nabi Syuib dikenali sebagai Madyan. Mereka bermewah hasil daripada perniagaan yang menjadi budaya hidup tetapi terkenal dengan sikap menipu dalam timbangan dan sukatan. Mereka ingkar amaran Allah dan akhirnya mati dalam gempa bumi yang dahsyat. Kaum Nabi Nuh juga tidak pernah bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan. Sebaliknya segala ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh menjadi ejekan mereka. Mereka ingkar dan enggan menurut apa yang diajarkan oleh Nabi Nuh, termasuk anak dan isterinya. Akhirnya Allah menurunkan banjir besar dan kaum itu lenyap dari muka bumi. 

Sesungguhnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia tidak terhitung banyaknya termasuk nikmat kesihatan. Apabila badan dan akal fikiran seseorang mukmin sihat, maka kehidupan mereka akan bahagia dan sejahtera. Mereka akan bekerja dan berusaha dengan penuh semangat, lebih berdaya saing serta hasilnya akan terus meningkat. Pembinaan sahsiah, pengukuhan kualiti insan dan kerohanian, perlu ditunjangi dengan akidah dan keimanan kepada Allah SWT. 

Selain daripada keimanan yang boleh menjadi benteng kukuh, pembinaan sahsiah atau peribadi seseorang itu, perlu dihiasi dengan akhlak atau sifat terpuji seperti sabar, reda, merendah diri dan sebagainya. 

Namun hakikatnya manusia mudah lupa dan senang alpa dengan nikmat yang diberikan Allah untuk menguji sejauh mana keimanan manusia. Sejarah Bani Israel boleh dijadikan bandingan walaupun pernah menjadi bangsa yang dimuliakan Allah. Namun kerana terlalu leka dan lalai dengan nikmat yang Allah kurniakan, mereka bertindak melampaui batas yang Allah tetapkan. 

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Bani Israel, ingatlah akan nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat. (Surah Al-Baqarah, ayat 47). 

Mereka, yakni puak Yahudi dan Nasrani ini telah hanyut dengan nikmat Allah sehingga mereka lupa diri dan menjadi sombong dan angkuh. Daripada Abu Sa’id Al-Khudri berkata: “Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim) 

Sepatutnya kita menerima nikmat dan pemberian Allah dengan penuh syukur di sebalik kegembiraan yang terpancar itu. Allah mengurniakan nikmat keamanan, nikmat kesenangan, nikmat ekonomi yang melimpah, terhindar daripada bala bencana gempa bumi, banjir, puting beliung dan kemarau dan banyak lagi. Sedangkan Allah tidak pernah lalai daripada mengingati kita. Allah sering memperingati kita atas kelalaian kita mengingati limpah kurnia-Nya. Allah teramat mengasihi dan menyayangi kita lalu diberikan peringatan sebelum terlambat. 

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada Tuhan selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?” (Surah Fathir, ayat 3) 

Antara wasiat yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Muadz bin Jabal: "Aku berwasiat kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau meninggalkan doa setelah solat dengan doa: “Ya Allah berilah pertolongan kepadaku untuk sentiasa mengingatimu (zikir), dan mensyukurimu (syukur), serta beribadah dengan baik kepadamu."( Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan An-Nasai’e) 

Syukur kepada Allah bererti kita mengingat segala nikmat yang telah kita terima daripada Allah SWT dan menampakkan-Nya (tidak melupakan-Nya), manakala lawan bagi syukur ialah kufur, yakni melupakan nikmat Allah dengan menutup akan nikmat itu. Syukur sangatlah mudah untuk diucapkan tetapi berat untuk diamalkan. Begitulah apa yang berlaku kepada kaum Saba yang pernah mencapai puncak kegemilangannya. 

Firman Allah Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: “Sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah As-Saba’, ayat 13).


Wednesday, April 04, 2012

Siapakah yang digemari jin dan syaitan?



Diceritakan dalam sebuah kisah yang berlaku pada zaman Ibnu Taimiyah. 

Seorang lelaki dirasuk seekor jin dan Ibnu Taimiyah berbisik ke telinga lelaki berkenaan dengan membaca ayat al-Quran dari Surah Al-Mukminun ayat 10, yang bermaksud: “Adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan bahawa kamu tidak akan kembali kepada Kami?” 

Tiba-tiba roh itu menjawab: “Ya.” Kemudian, Ibnu Taimiyah mengambil sebatang tongkat dan memukul lelaki (orang dirasuk) itu di lehernya hingga berasa penat. 

Tiba-tiba roh halus itu bersuara menjawab: “Aku mencintainya.” 

Lantas Ibnu Taimiyah menjawab: “Dia tidak mencintaimu.” 

Maka jawab roh itu: “Jika demikian, aku akan pergi meninggalkannya sebagai penghormatan kepadamu.” 

Namun, Ibnu Taimiyah berkata: “Tidak. Kamu harus keluar daripada jasad ini kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.” Keluarlah roh halus berkenaan, dan lelaki yang dirasuk tadi beransur-ansur pulih.

Selain itu, kes sebegini sebenarnya berpunca daripada manusia. Antaranya apabila kita secara tidak sengaja masuk ke rumah yang lama dibiarkan kosong dan menjadi tempat kediaman jin.


Kerana itu, Islam mengajar kita memberi salam iaitu: “Assalamu ‘alaina wa’ala ‘ibadillahis saalihin” serta membaca ayat Kursi ketika masuk ke rumah kosong kerana khuatir ia ‘berpenghuni’.


Roh halus juga mudah mendampingi manusia pada saat seseorang itu lemah dan tidak di dalam ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul, seperti lalai melakukan amal ibadah kepada Allah, ketika di puncak kemarahan, terlalu mengikut hawa nafsu dan dendam.


Perkara ini dinyatakan dalam surah An-Nahl, ayat 99-100, yang bermaksud: 


“Sesungguhnya syaitan tidak mempunyai pengaruh terhadap orang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh syaitan hanya terhadap orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.” 

Allah SWT juga berfirman dalam surah Al-Araf ayat 27, yang bermaksud: 

“... Sesungguhnya Kami menjadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman.” 

Oleh itu, berwaspada selalu kerana syaitan dan jin gemar mendampingi manusia ketika manusia lemah iman dan takwanya kepada Allah.

Ingat, sesungguhnya hidup kita didampingi pelbagai jenis manusia, syaitan dan jin yang mempunyai pelbagai ragam. Kadangkala manusia, jin serta syaitan berpakat untuk mengkhianati manusia lain.


Kita tidak tahu apa yang difikirkan manusia sekeliling kita mengenai diri kita. Mungkin ada sesuatu dendam atau iri hati yang terbuku di hati mereka apabila melihat kita. Ada juga yang dengki apabila melihat jodoh kita bersama pasangan kita. Tidak ada yang mustahil.


Kerana itu, berbanyaklah membaca al-Quran, mengamalkan ayat Kursi ketika hendak tidur dan selepas solat, amalkan juga membaca tiga surah iaitu An-Nas, Al-Ikhlas dan Al-Falaq.


Namun yang lebih penting, peliharalah solat kita. Insya-Allah, Allah akan memelihara hamba-Nya yang memelihara hak serta kewajipan kepada-Nya.

Friday, March 30, 2012

Waspada syirik khafi


“UBAT tu memang bagus, kalau engkau makan, sekejap saja pening engkau tu hilang.” Itu antara dialog yang biasa kita dengar dalam perbualan kita bersama orang sekeliling.

Tidak kurang juga mengagumi seorang bomoh atau doktor yang disifatkan ‘pakar’ merawat penyakit tertentu. Lalu terkeluar pula ayat: “Aku dengan orang lain tak berapa serasi, bomoh tu saja yang faham penyakit aku.”

Dalam situasi lain, seorang lelaki ditinggalkan kekasih hatinya. Lalu terdetik di hatinya dan terungkap melalui kata-katanya: “Aku tak boleh teruskan hidup tanpa si dia. Aku lebih rela mati daripada melihat si dia berpacaran dengan lelaki lain.” 

Lebih malang lagi apabila si lelaki tadi mengamalkan apa yang dilafazkannya dengan membunuh diri. Sudahlah berdosa mensyirikkan Allah, kemudian melakukan dosa besar dengan membunuh diri pula.


Mungkin juga kita pernah mengungkapkan dialog di atas secara sedar atau tidak apabila berdepan situasi sebegini. Kedengaran seperti tiada apa salah silapnya, mungkin juga ia hanya perkara remeh yang tidak perlu dibincangkan.


Namun hakikatnya, perkara yang sering dipandang remeh inilah kadangkala menggoncang iman kita secara sedar atau tidak. Daripada sekecil-kecil bintik hitam, lama-kelamaan ia bertukar menjadi barah kepada iman dan akidah. 

Kebanyakan daripada kita memang menjaga perkara yang boleh mendatangkan syirik jali (syirik jelas). Kita sedaya upaya mengesakan Allah dengan tidak menyembah berhala yang zahir. 

Namun bagaimana pula penyembahan kepada ‘berhala ghaib’ yang mungkin kita lakukan secara tidak sedar dalam kehidupan seharian kita. Ini yang dinamakan sebagai syirik khafi atau dalam bahasa Melayunya disebut syirik tersembunyi. 

Penyembahan kepada berhala ghaib sebenarnya dapat dilihat dalam beberapa aspek seperti kebergantungan kepada sesuatu selain daripada Allah. 

Contoh mudah adalah dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa kesihatannya bergantung dengan ubat-ubatan. Jika tiada ubat, sakitlah dia. 

Tidak dinafikan, mencari ubat terbaik adalah satu ikhtiar dan usaha baik. Namun, perlu disematkan dalam hati bahawa ubat hanya wasilah dan ikhtiar untuk sembuh daripada penyakit, tetapi kepercayaan kepada yang menyembuhkan harus diiktikad kepada Allah SWT. 

Kerana itu, apabila bercerita mengenai kehebatan sesuatu ubat kepada seseorang, jangan lupa lafazkan insya-Allah. 

Sama juga seperti dalam kes seseorang yang baru putus cinta. Merasakan hidupnya tidak lagi bermakna selepas ditinggalkan kekasihnya, padahal ramai lagi wanita dan lelaki yang jauh lebih baik di luar sana

Ahli ibadah juga adakala tidak terlepas daripada ‘penyembahan’ kepada berhala ghaib. Penyakit sangat ditakuti menyerang secara tidak sedar ini tidak lain dan tidak bukan adalah sifat riak. 

Riak ketika melakukan amal ibadah membuatkan sesuatu ibadah itu tiada harga di sisi Allah. Contoh paling mudah ialah merasakan orang memerhatikannya sambil memuji: “Rajinnya si polan ini. Ada saja muka dia bersolat jemaah di masjid.” 

Allah berfirman di dalam surah An-Nisa ayat 176, yang bermaksud: “... Mereka (orang munafik) pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).” 

Dalam senario lain, penyembahan kepada pangkat dan kekayaan juga berlaku secara tidak sedar. Tidak dinafikan sebagai manusia kita digalakkan menghargai nikmat yang kita kecapi sekarang dengan mengimbau kesusahan yang pernah kita tempuhi pada zaman silam. 

Namun, berhati-hatilah dengan penyakit ‘ujub’ yang boleh menjadi parasit dalam hati. Ujub membuatkan manusia berasa bangga dengan diri sendiri atas hasil titik peluhnya. Merasakan semua adalah usahanya, lantas tidak pernah terdetik di hati untuk mensyukuri nikmat Allah. 

Lebih parah lagi, seolah-olah ada perasaan ‘dendam’ terhadap Allah kerana ‘membiarkan’ dia dalam kesusahan satu ketika dulu. 

Ujub juga boleh berlaku apabila kita bersendirian. Kadangkala merasakan dirinya paling mulia lantaran amal ibadah dilakukan. 

Jika diimbau kembali kisah penciptaan manusia, bagaimana iblis yang satu ketika dulu dimuliakan, akhirnya menjadi makhluk paling dilaknat Allah. 

Bermula dengan syirik kecil, dengan merasakan dia lebih mulia kerana diciptakan daripada api, sedangkan manusia daripada tanah. 

Lantas timbul perasaan ujub dan riak dalam diri iblis dan seterusnya enggan menuruti perintah Allah untuk sujud kepada penciptaan Allah ke atas manusia. 

Lalu terakamlah dialog antara Allah dengan iblis yang membuatnya tersingkir daripada makhluk yang dimuliakan sebagaimana firman Allah: “Hai iblis, apa sebabnya engkau tidak turut bersama mereka yang sujud itu?” 

Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya.” 

Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau dari sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir.” (Al-Hijr, ayat 32-34) 

Sebenarnya, banyak lagi contoh syirik khafi berada dalam amalan manusia. Namun ia selalunya dipandang kecil oleh manusia. 

Kita selalu sibuk menjaga diri daripada melakukan syirik jali (nyata), tetapi dalam diam rupa-rupanya syirik khafi menghakis keimanan kita dari hari ke hari. 
Sememangnya syirik khafi tidak membatalkan iman manusia. Namun, harus diingat, sebesar-besar sesuatu itu bermula daripada kecil. 

Kerana itu Rasulullah SAW menyatakan kegusaran baginda terhadap syirik yang tidak sedar ini melalui sepotong hadis bermaksud: “Syirik yang dilakukan oleh umatku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu besar.” 

Di dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, yang paling aku khuatir atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riak. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman: Pergilah kalian kepada orang- orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?” (Riwayat Imam Ahmad) 

Kerana itu, syirik khafi dikhuatiri boleh mencederakan tauhid kepada Allah jika tidak benar-benar diawasi.


Saturday, January 14, 2012

Tanpa Kita Sedar

alt
Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum dan selamat sejahtera.

Lama tak berblog.. 

Di bawah ni sebahagian petikan.......

Tanpa kita sedar masa terus berlalu meninggalkan kita dan kita pula asyik leka, alpa dan asyik dengan duniawi

Tanpa kita sedar sudah banyak wang ringgit kita habiskan untuk berfoya-foya namun sedikit sangat amal jariah kita terhadap mereka yang memerlukan

Tanpa kita sedar selama kita bercakap akan keburukan orang lain akan tetapi kita dibutakan dari melihat kelemahan dan kedaifan diri sendiri

Tanpa kita sedar peluang sudah diberi untuk berjaya namun kita angkuh dan meremehkannya lalu rebah tersungkur ke jalan kegagalan

Sambungannya klik di iluvislam

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails