Followers

Friday, February 19, 2010

Dunia ibarat permainan

Bismillahirrahmanirrahim.

DUNIA diibaratkan seperti ladang untuk bercucuk tanam dan hasilnya akan dituai di akhirat. Hasil yang akan dituai bergantung kepada apa yang diusahakan. Jika yang diusahakan itu baik maka baiklah hasilnya begitulah pula sebaliknya.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah (debu yang halus) nescaya dilihatNya. Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dilihatNya." (Surah Al-Zalzala [ 99 ] : 7-8)

Sesungguhnya setiap langkah, gerak geri dan tingkah laku kita di dunia dalam pengetahuan Allah. Segala amalan manusia semuanya akan direkodkandan akan dibentangkan di akhirat nanti.

Allah menegaskan dalam surah Qaf ayat 18; maksudnya:

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)".(Qaf [ 50 ] : 18).

Tiada satu ucapan atau perbuatan seorang hamba melainkan dicatat oleh malaikat pengawas (raqib atid). Malaikat ini tidak pernah berpisah dengan manusia kecuali ketika manusia melepaskan qadha hajat dan berjimak.

Ahli tasauf menganggap dunia seperti bangkai dan manusia seperti anjing. Sebab itulah manusia lebih sukakan dunia daripada akhirat. Al-Quran juga ada menerangkan yang dunia ini adalah permainan dan kelalaian.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan tidaklah penghidupan dunia itu melainkan permainan dan kelalaian. Dan sesungguhnya negeri akhirat adalah lebih baik bagi orang yang berbakti. Oleh itu tidakkah kamu mahu berfikir." (Surah Al-An'am, ayat 32)

Dunia ini diibaratkan sebagai permainan dan melalaikan. Permainan itu akan tamat apabila tiba masanya. Kesenangan dan kemewahan dalam erti kata sebenarnya ialah kesenangan dan kemewahan di akhirat yang kekal selama-lamanya.

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (Al-Hadid [ 57 ] : 20)

"Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan solat (dengan khusyuk). (Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian), bahkan kamu utamakan kehidupan dunia. Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal". (Al-A'la [ 87 ] : 15 - 17)

Allah mengingatkan supaya manusia sentiasa ingat kepada-Nya dengan mendirikan solat, mematuhi suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Namun, manusia lebih cenderung kepada penghidupan dunia.

Mungkin ini disebabkan dorongan syaitan dan hawa nafsu kerana syaitan itu sentiasa berusaha menyesatkan manusia di muka bumi ini, pada hal mereka sudah berkali-kali diberi peringatan bahawa akhirat itu lebih baik dan kekal.

Islam bukan melarang manusia mencari kemewahan dan kesenangan di dunia tetapi kemewahan itu biarlah sekadar memadai untuk menunaikan tanggungjawab serta kewajipan yang membawa kepada kebahagiaan hidup di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan carilah dalam kurniaan yang Allah berikan kepadamu itu (keselamatan) negeri akhirat. Tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu dari di dunia." (Al-Qasas [ 28 ] : 77)

Manusia disuruh mencari atau beramal untuk mendapatkan kebahagiaan akhirat. Di samping itu, Allah juga menegaskan bahawa dunia tidak boleh dilupakan langsung. Cuma antara dunia dan akhirat, Allah menguatkan supaya akhirat lebih diutamakan daripada dunia.

Bagaimana halnya mereka yang lebih mementingkan dunia daripada akhirat? Allah berfirman yang maksudnya:

"Mereka itu orang yang membeli kehidupan dunia dengan akhirat, maka tidak akan diringankan seksaan ke atas mereka dan mereka tidak akan diberi pertolongan." (Al-Baqarah [ 2 ] : 86)

Inilah balasan orang yang sanggup meninggalkan akhirat dan mengutamakan dunia. Mereka itu akan mendapat seksaan di akhirat kelak.

Sesungguhnya, untuk memperoleh kejayaan dan kesenangan sama ada di dunia atau akhirat, kita disuruh melakukan segala kebaikan dan mencegah segala larangan. Kita juga digalakkan membuat amal ibadat lebih banyak daripada urusan keduniaan.

Keadaan ini jelas daripada sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bekerjalah kamu untuk kepentingan di dunia ini seolah-olah kamu akan hidup buat selama-lamanya, tetapi beramallah untuk kepentinganmu di akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari."

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails