Followers

Thursday, February 11, 2010

Stategi Lahirkan Generasi Cemerlang.

Bismillahirrahmanirrahim.

Artikel ini di copy paste dp Berita Harian

Ibu bapa, pendidik bersama laksana strategi lahirkan generasi cemerlang

Ibu bapa perlu mengenal pasti tahap kecenderungan anak-anak dan memantau prestasi supaya mereka tetap pendirian dan tahu keutamaan. Tambahan pula, pendidikan pertama bermula dari rumah, tetapi ia tidak berlanjutan begitu kerana sistem pendidikan rasmi menjadualkan setiap orang wajib bersekolah apabila berusia tujuh tahun.


Waktu berkualiti yang sedikit ketika berada di rumah tentulah tidak mengizinkan proses pembelajaran berlaku dengan sempurna. Malah, ramai ibu bapa mempunyai komitmen kepada kerjaya, lantas mengharapkan pengorbanan guru di sekolah atau pusat pendidikan lainnya mentarbiyah anak-anak mereka sebaik mungkin, sehingga mereka berjaya dan cemerlang.

Setiap pelajar mengharapkan diri mereka berjaya, malangnya ada yang tidak menyedari bagaimana caranya untuk mencapai cita-cita. Segelintir mereka diserahkan bulat-bulat kepada guru untuk dibimbing, dididik menjadi orang berguna, sehinggalah apabila mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapalah orang yang paling gembira dan mendabik dada sehingga terlupa bagaimana anak mereka dicanai berguna.

Tetapi malangnya apabila tidak lagi menghuni 'sekolah', anak begini akan membawa haluan sendiri, mencorak masa depan sesedap hati, sehingga akhirnya mempertaruhkan ilmu yang dicari dengan apa juga yang mengulit diri tanpa ada 'guru' yang membimbing lagi.

Ada ramai pula ibu bapa yang menyedari pentingnya perhatian dan keprihatinan mereka terhadap setiap anak-anak, mereka membantu guru memperkasakan sekolah dan persatuan, mengambil tahu kegiatan dan aktiviti anak-anak di sekolah serta tidak lokek masa untuk menjengok anak dan teman mereka di sekolah.

Pusat tarbiah insan ini tentunya tidak sama dengan tempat lain, yang mungkin infrastrukturnya sama, organisasinya hampir sama, pentadbirannya juga tidak jauh berbeza tetapi hasil yang akan dikeluarkan adalah tidak sama, kerana sekolah melahirkan manusia yang terdidik dan berilmu, tidak sama seperti kilang pengeluaran yang menitikberatkan penghasilan menepati piawai yang boleh diukur dengan standard kualiti zahirnya, iaitu mesti tiada cacat cela yang boleh dikategorikan sebagai kualiti kelas kedua.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud:

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara buruk dan keji, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benarnya)"

Tetapi manusia tidak boleh diukur dengan keserupaan fizikal mereka untuk menentukan mereka berkualiti. Cacat cela zahirnya pula tidak mengesahkan mereka bodoh dan tidak berakhlak. Itulah susahnya menjadi pendidik yang perkasa di pusat pentarbiahan insan, kerana mereka mesti melahirkan manusia yang mempunyai mental dan peribadi berkualiti tinggi, yang tidak boleh diukur dengan pandangan mata.

Firman Allah yang dalam Surah al-Alaq, ayat 1-5 bermaksud:

"Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang menjadikan sekalian makhluk. Tuhan yang menjadikan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan-Mu yang maha pemurah. Tuhan yang mengajar manusia menulis dengan kalam. Tuhan yang mengajar manusia apa yang manusia tidak mengetahuinya."
Daripada ayat di atas, jelaslah bahawa dalam konteks manusiawi, pendidikan bermula daripada proses penerokaan (mengguna akal) yang perlu disertai dengan asas agama yang kukuh. Orang yang mencari ilmu atau melakukan apa juga perbuatan, jika dimulakan dengan nama Allah SWT, insya-Allah akan dapat mengelak terpesong daripada matlamat sebenar mereka.

Kesedaran ibu bapa dalam memulakan pendidikan anak pada peringkat awal mereka mengenali dunia dengan mengenalkan mereka kepada Yang Maha Mencipta adalah sebaik-baik cara yang sepatutnya mereka lakukan. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Menuntut ilmu itu adalah fardhu kepada semua orang Islam." Justeru, kefardhuan itu perlu dimulakan dengan sesempurna mungkin supaya diberkati Allah SWT.

Guru yang bakal meneruskan tarbiyah kepada anak yang terdidik dengan permulaan yang baik tentunya tidak mempunyai masalah kerana cabaran kehidupan dan sosial yang semakin meruntun tidak akan menggugat peribadi dan sikap yang baik.

Tambahan pula, mencari ilmu adalah tuntutan besar agama kerana ia adalah aset dan bekalan kepada setiap individu dalam mengharungi kehidupan yang penuh liku. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin kebahagiaan di dunia, maka perlu berilmu. Sesiapa yang inginkan akhirat, maka perlu dia berilmu. Dan sesiapa yang inginkan dunia dan akhirat, maka perlulah dia berilmu." (Hadis riwayat Muslim).

Sumber: berita harian

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails