Followers

Thursday, October 28, 2010

Persoalan dan Jawapan Tayammum

Soalan dan Jawapan Berkaitan Tayammum dan Solat Pesakit

1. Soalan :

Bolehkah orang lain (ahli keluarga) yang mahram mentayammumkan pesakit? Dan bagaimanakah caranya?

Jawapan:

Diharuskan dan caranya ialah sama seperti bertayammum untuk diri sendiri. Pesakit hendaklah berniat tayammum ketika memindahkan debu ke muka.

2 Soalan:

Bolehkah bertayammum dengan cara menepuk tangan di meja atau di dinding dan di mana-mana tempat untuk bertayammum?

Jawapan:

Harus bertayammum jika terdapat tanah yang berdebu padanya.

3. Soalan :

Apakah hukum mengelap anggota wudhu’ dengan tujuan untuk bertayammum?

Jawapan:

Harus.

4. Soalan :

Adakah wajib menyapu dengan air di atas balutan anggota wudhu’ ketika hendak bertayammum?

Jawapan :

Wajib jika tidak mendatangkan kemudharatan

5. Soalan :

Bagaimanakah seorang berhadas besar hendak menunaikan solat, di mana ia disahkan oleh doktor tidak boleh terkena air ?

Jawapan:

Wajib ia bertayammum bagi menggantikan mandi hadas besar dengan niat mengharuskan fardhu sembahyang.

6. Soalan:

Bagaimanakah caranya pesakit yang berhadas besar hendak mendirikan solat sedangkan salah satu anggota wudhu’nya berbalut dan tidak boleh terkena air?

Jawapan:

Wajib mandi dan bertayammum bagi menggantikan anggota yang tidak boleh terkena air dan wajib menyapu dengan air ke atas pembalut.

7. Soalan:

Adakah terangkat hadas besar dengan bertayammum sahaja disebabkan sakit? Adakah masih wajib mandi mengangkat hadas janabah setelah pesakit itu sihat?

Jawapan:

Terangkat hadas besar dengan bertayammum dan tidak lagi wajib mandi janabah apabila sihat .

8. Soalan:

Adakah pesakit boleh mendirikan sembahyang jamak?

Jawapan:

Harus pesakit tersebut menjamak solat taqdim atau ta’khir jika timbul masyaqqah ( kesulitan ) solat di waktunya .

9. Soalan

Bilakah waktu bertayammum untuk mendirikan solat fardhu?

Jawapan:

Bertayammum hendaklah dilakukan setelah di yakini masuk waktu solat.

10. Soalan:

Bolehkah pesakit mengambil wudhu’ dengan cara mengelap anggota wudhu’ menggunakan tuala yang basah?

Jawapan:

Tidak sah wudhu’ kerana air tidak mengalir.

11. Soalan:

Sahkah berwudhu’ dengan merenjiskan air atau menggunakan “spray” pada anggota wudhu’ ?

Jawapan:

Sah apabila air tersebut rata dan mengalir.

12. Soalan:

Bolehkah orang yang bertayammum mendirikan solat jamak?

Jawapan:

Harus solat jamak dengan syarat 2 kali tayammum.

13. Soalan:

Pada awal memindahkan tanah ke muka tidak berniat tayammum tetapi apabila hampir tangannya ke muka barulah dia berniat berkekalan sehingga sampai tangan kena muka. Sahkah tayammum?

Jawapan:

Maka sah pemindahan tersebut dan niat ketika itu.

14. Soalan

Apakah sah bertayammum dalam keadaan terbuka aurat?

Jawapan:

Sah.

15. Soalan

Pesakit yang berwudhu’ dan bertayammum kemudian dia solat fardhu. Wajibkah pesakit memperbaharui wudhu’ dan bertayammum sekiranya dia tidak berhadas kecil?

Jawapan:

Tidak wajib dia mengulangi wudhu’ tetapi wajib mengulangi tayammum sahaja.

16. Soalan

Bagaimana cara mandi wajib dan tayammum bagi anggota yang sakit?

Jawapan:

Boleh mandi dahulu kemudian bertayammum atau sebaliknya.

17. Soalan

Adakah wajib tertib pada membasuh anggota wudhu’ dan tayammum bagi menggantikan membasuh anggota yang sakit?

Jawapan:

Wajib tertib dalam erti kata tayammum perlu dilakukan ketika membasuh anggota yang berkenaan.

JAKIM

Kisah Keteguhan Iman Abu Darda'

ABU Darda' ialah seorang sahabat yang akrab dengan Nabi Muhammad. Beliau bersikap rendah diri dan bertakwa kepada Allah. Beliau banyak mendapat hadis daripada Nabi Muhammad.

Antara hadis yang terkenal adalah mengenai manusia dianggap gagah apabila dapat menahan perasaan marah.

Hadis ini dilaporkan oleh Imam Tabrani dan Ibin Abid Dunya. Pada suatu hari, Abu Darda' bertanya kepada Nabi Muhammad: "Wahai nabi, tunjukkanlah kepada saya amalan yang dapat membawa saya ke syurga."

Kemudian Nabi Muhammad menjawab, "Janganlah kamu marah. Mereka yang dapat menahan perasaan marah adalah orang yang mengawal diri sendiri supaya patuh dan taat kepada Allah dan Nabi Muhammad".

Abu Darda' mendengar dengan teliti jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad. Kemudian Abu Darda' mengangguk-anggukkan kepalanya dan berkata: "Tahulah saya sekarang, orang yang dapat menahan perasaan marah adalah orang yang mulia dan dapat masuk syurga."

Abu Darda' juga ahli fikah yang masyhur antara para sahabat Nabi Muhammad. Beliau digelar 'Hakimul ummah' iaitu orang yang pandai dan bijak dalam hal berkenaan agama Islam.

Pada suatu hari, Abu Darda' mendapat berita mengenai kebakaran yang berlaku di kawasan rumahnya. Pada masa itu, Abu Darda' berada di tempat kerjanya. Perjalanan dari rumah ke tempat kerjanya agak jauh.

Kemudian, datang seseorang memberitahunya. "Ada rumah terbakar! Ada rumah terbakar! Semua rumah di kawasan tempat tinggal di kampung sebelah sana semua sudah terbakar!"

Abu Darda' mahu mendapat kepastian mengenai berita kebakaran itu. Beliau menghampiri lelaki yang menyampaikan berita itu.

"Betulkah apa yang kamu cakap ini?" tanya Abu Darda' kepada orang itu.

"Ya. Saya baru sahaja datang dari kawasan rumah itu. Api semakin marak dan menjilat rumah-rumah yang berada di kawasan itu!" terang orang itu.

Tidak lama kemudian, orang itu perasan Abu Darda' adalah salah seorang penghuni di kawasan itu.

"Bukankah kamu tinggal di kawasan rumah itu? Mungkin rumah kamu juga turut terbakar. Segeralah pulang dan lihat keadaan rumah kamu itu. Mungkin ada apa-apa yang dapat diselamatkan," kata orang itu kepada Abu Darda'.

"Terima kasih kerana memberitahu saya mengenai berita kebakaran ini," kata Abu Darda'.

"Pergilah segera pulang ke rumah kamu. Selamatkan barang-barang kamu," ulang orang itu lagi.

"Saya tidak dapat pulang ke rumah sekarang. Lagi pula, sekarang saya bekerja. Kerja ini sudah diamanahkan kepada saya. Saya perlu menyelesaikan kerja ini terlebih dahulu," bisik Abu Darda' sendiri.

Abu Darda' langsung tidak terkejut dengan berita kebakaran itu. Malah, beliau tidak risau sekiranya rumah beliau sendiri yang terbakar. Lagi pula, rumah beliau berada jauh dari tempat beliau bekerja. Sebaliknya, Abu Darda' segera menyelesaikan tugasnya.

"Saya bertawakal kepada Allah atas apa yang berlaku," bisik Abu Darda' lagi.

Abu Darda' terus menyelesaikan pekerjaannya. Bagi Abu Darda', beliau hanya dapat bertawakal kepada Allah. Sekiranya rumahnya musnah dijilat api, itu adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah. Beliau dapat menerima kenyataan itu dengan tenang.

"Alhamdulillah, kerja saya hari ini sudah selesai. Saya mahu pulang ke rumah segera," katanya sendiri.

Petang itu, selepas selesai bekerja, Abu Darda' pulang ke rumahnya seperti biasa. Perjalanan ke rumahnya agak jauh.

Sampai sahaja di kawasan tempat tinggalnya, beliau melihat rumah-rumah yang ada di sana habis musnah terbakar. Tidak ada satupun rumah yang berdiri teguh dan terselamat daripada kebakaran itu.

"Habis semua rumah di sini terbakar di jilat api," bisik Abu Darda' selepas melihat rumah-rumah yang hangus terbakar itu.

Abu Darda' meneruskan perjalanannya sehingga sampai ke rumahnya. Tiba-tiba, beliau melihat keadaan rumahnya masih elok.

"Subhanallah. Saya bersyukur kepada Allah. Rumah saya tidak terbakar," kata Abu Darda' gembira. Beliau terkejut dan gembira melihat rumahnya terselamat dan tidak terbakar sedikit pun.

Beginilah sifat orang yang sentiasa bertawakal kepada Allah atas setiap pekerjaan yang dilakukannya. Allah lebih mengetahui mengenai sesuatu perkara. Sekiranya Allah mahu sesuatu perkara itu berlaku, pasti ia berlaku dengan izin Allah juga.

Sumber : Utusan

Tuesday, October 26, 2010

Tip-Tip Berguna untuk Pencarum KWSP

TIDAK kira dalam kategori apa dan sektor mana anda bekerja, berikut adalah tips berguna yang perlu diketahui oleh setiap ahli KWSP:

1. Semak status keahlian anda.

KWSP adalah skim tabungan wajib kepada:

  • pekerja di sektor swasta dan
  • pekerja tidak berpencen di sektor awam.

Jika anda adalah pekerja di kedua-dua sektor di atas, mestilah memastikan majikan anda mendaftarkan diri anda sebagai ahli KWSP.

Caranya ialah:

Bertanya kepada majikan sama ada anda sudah didaftarkan sebagai ahli KWSP atau tidak,

ATAU

Boleh menyemak status keahlian anda dengan cara paling mudah, iaitu menghubungi Pusat Panggilan KWSP.

2. Pastikan majikan anda mencarum bagi pihak anda.

Majikan mesti mencarum untuk anda pada setiap bulan.

Jumlah potongan bulanan bergantung kepada kadar yang termaktub dalam Jadual 3 Akta KWSP 1991.

Pada masa ini, kadar wajib carum ialah 8 peratus potongan daripada gaji pekerja dan 12 peratus caruman majikan.

3. Anda boleh mencarum lebih daripada kadar wajib yang ditetapkan.

Anda hanya perlu mengisi Borang KWSP 17 A dan maklumkan kepada majikan peratus atau jumlah wang yang anda ingin tambah kepada caruman wajib bagi membolehkan majikan membuat potongan gaji yang lebih tinggi untuk dibayar ke KWSP bagi pihak anda.

4. Semak Penyata Kira-Kira Ahli anda.

Anda perlu menyemak akaun anda dari semasa ke semasa. KWSP akan menghantar Penyata Kira-kira Ahli kepada anda setiap tahun selepas dividen diisytiharkan. Bagimanapun, anda boleh menyemaknya lebih kerap sama ada melalui Kios Pintar ataupun i-Akaun yang terdapat dalam laman web KWSP. Ini penting bagi memastikan akaun anda sentiasa teratur. Sekiranya akaun anda tidak teratur seperti tiada caruman dimasukkan untuk bulan tertentu atau jumlah caruman bulanan tidak seperti yang sepatutnya, anda perlu merujuk hal ini kepada majikan anda atau menghubungi KWSP untuk menyelesaikan masalah anda.

5. Jangan lupa buat penamaan.

Simpanan KWSP anda perlu dibuat penamaan. Anda hanya perlu mengisi Borang KWSP 4 (AHL) untuk membuat penamaan.

6. Ingat!!! Simpanan KWSP pasti akan dibayar dividen.

KWSP menjamin dividen sekurang-kurangnya 2.5 peratus setahun akan dibayar kepada ahli walaupun keuntungan pelaburan tidak memberangsangkan pada tahun berkenaan.

7. Ketahuilah bahawa pendapatan daripada pelaburan simpanan ahli tidak dikenakan cukai.

8. Ketahuilah juga bahawa pengeluaran simpanan ahli juga tidak dikenakan cukai.

9. Bantuan Hilang Upaya bagi yang layak.

Selain daripada semua simpanan, ahli atau penjaga kepada ahli yang hilang upaya sebelum berusia 55 tahun juga layak untuk mendapat Bantuan Hilang Upaya berjumlah RM5,000. Bantuan ini adalah bayaran tambahan sebagai tanda simpati KWSP kepada ahli yang ditimpa musibah dalam bentuk hilang upaya sama ada fizikal mahupun mental. Ia merupakan sumbangan yang ditanggung oleh semua ahli KWSP.

10. Bantuan Kematian kepada waris.

Waris kepada ahli yang meninggal dunia sebelum berusia 55 tahun juga layak mendapat Bantuan Kematian berjumlah RM2,500. Sama seperti Bantuan Hilang Upaya, bantuan ini juga merupakan bayaran tambahan sebagai tanda simpati KWSP yang ditanggung oleh semua ahli KWSP.

11. Rancang pengeluaran simpanan anda.

Rancang pengeluaran dengan baik sama ada pengeluaran persaraan mahupun pengeluaran prapersaraan.

Sebaik-baiknya elakkan pengeluaran secara sekali gus ketika berusia 55 tahun bagi mengelakkan simpanan habis dalam tempoh yang singkat.

12. Jangan lupa!!!: Semak dan kemas kini maklumat anda dari semasa ke semasa.

Ini mustahak bagi memastikan sebarang urusan surat menyurat antara anda dengan KWSP tidak hilang di tengah jalan atau jatuh ke tangan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab.

Jadilah ahli yang prihatin kerana ia mungkin lebih menggembirakan kehidupan persaraan anda kelak.

BH

Saturday, October 23, 2010

Masjid tertua di Melaka


MASJID Kampung Hulu adalah masjid tertua di Melaka.

MASJID Kampung Hulu terletak di persimpangan Jalan Masjid Kampung Hulu dan Jalan Masjid di tengah bandar Melaka.

Masjid tertua di negeri Melaka ini dibina sekitar 1720 hingga 1728 ketika penjajahan Melaka oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC)

MASJID Kampung Hulu terletak di persimpangan Jalan Masjid Kampung Hulu dan Jalan Masjid di tengah bandar Melaka.

Masjid tertua di negeri Melaka ini dibina sekitar 1720 hingga 1728 ketika penjajahan Melaka oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC).

Seorang pendatang dari China yang memeluk Islam, Datuk Samsuddin Arom, ditugaskan pemerintah Belanda membina masjid ini. Binaan asal masjid ini diubahsuai oleh Wazir Al-Sheikh Omar Hussain Al-Attas. Seni reka masjid yng menampakkan ciri masjid dari tanah Jawa ini mempunyai bumbung berlapis tiga dengan bentuk seakan piramid.

Sumber: Seksyen Dokumentasi, Arkib Negara Malaysia

Monday, October 18, 2010

Diracik, dimandi dan dikebumi

Bismillahirrahmanirrahim.

EMPAT tahun lalu, Rahmat Mahdan, 52, sedih apabila melihat taburan kertas yang tertera ayat-ayat suci al-Quran di sebuah pusat pengumpulan barang kitar semula.

Perasaan sayu itu lantas membuatkannya terdetik untuk melakukan sesuatu.

Demi mengelakkan keadaan tersebut daripada terus berulang, dia berazam untuk mendapatkan ruang sempurna bagi mengurus dan menyelamatkan wahyu Allah itu daripada dibiarkan sebegitu.

Nalurinya ternyata gusar apabila memikirkan tentang sikap tidak peduli segelintir umat Islam mengenai perkara itu.

Memang adakalanya, ayat- ayat al-Quran yang sudah terkoyak daripada kitabnya atau daripada petikan bahan bacaan ilmiah lain tidak lagi boleh disimpan atau dimanfaatkan. Namun, membuang dengan sesuka hati bukanlah jawapannya.

“Masyarakat pada hari ini mudah menyerahkan segala urusan kitar semula menggunakan khidmat pengumpul surat khabar lama yang selalu datang ke kawasan kediaman dengan lori.

“Lebih menyayat hati apabila bahan bacaan yang hendak dilupus itu terkandung ayat-ayat suci al-Quran.

“Adakah mereka terfikir tentang ‘nasib’ kesucian wahyu Allah itu?” keluh pemilik dan peneraju syarikat Percetakan Saufi Sdn. Bhd. tersebut.

Dia bagaimanapun tidak menafikan faktor kesibukan urusan kerja menjadikan segolongan orang terlupa akan hal itu.

Rahmat mula berfikir panjang untuk berbakti atas matlamat melindungi kandungan al-Quran dan hadis Rasulullah.

Sebagai langkah awal, Rahmat mengumpulkan pandangan daripada beberapa orang tokoh agama seperti Imam Satu masjid Wilayah Persekutuan, Ustaz Moghni Israri dan Pengetua Darul Quran Selangor, Ustaz Azahari Othman.

Malah, kunjungan tenaga pengajar dari Masjidil Haram, Mekah, Dr. Syeikh Md. Idrees Al-Mashrafe ke Malaysia juga menjadi peluang buat Rahmat merujuk kepadanya mengenai hal tersebut.

Selanjutnya, Rahmat mengambil inisiatif dengan melihat sendiri cara terbaik pelupusan al-Quran di beberapa buah negara terpilih.

“Tiga tahun lalu saya berkesempatan ke beberapa lokasi seperti Hanoi, Singapura, Indonesia dan Syria untuk menimba pengalaman kerana saya sangat berhajat untuk membuka tapak khas bagi pengurusan pelupusan ayat-ayat suci.

Memelihara dan melupus

“Ayat suci al-Quran ini tidak akan dicampurkan dengan sebarang bahan bacaan lain. Saya mahu memeliharanya sebaik mungkin dan melupuskannya dengan cara betul,” terangnya.

Rahmat juga memberitahu, kebiasaannya sesetengah orang Islam memilih untuk membakar dan menanam ayat-ayat suci itu.


LAMBAKAN al-Quran dan buku ilmiah menunggu waktu dilupuskan.

Bagaimanapun, jika diamati, helaian kertas yang terdapat ayat al-Quran tidak mampu hancur sepenuhnya apabila ia dibakar dengan cara biasa.

Malah ketika dibakar, serpihan itu mudah berterbangan dengan kesan petikan ayat yang masih tertera. Jadi, proses itu tidak mampu melupuskannya dengan sempurna.

“Ramai yang pilih untuk membuat cara begitu, kemudian ditanam. Tetapi jika ia ditanam di kawasan yang cenderung menjadi laluan orang ramai, ia tetap meragukan kerana kalimah al-Quran tidak boleh dilangkah,” jelasnya yang antara lain mengingatkan orang ramai tentang ‘nasib’ potongan ayat al-Quran yang turut terdapat dalam sesetengah kad jemputan perkahwinan.

Hajat terlaksana

Berkat kesungguhan mengejar matlamatnya, Rahmat kini mampu menarik nafas lega kerana dikurniakan rezeki untuk menyediakan sebidang tanah sebagai tapak pelupusan al-Quran.

Terletak di Batu 10 Cheras, Kajang, Selangor, lokasi itu menempatkan sebuah gudang yang dipenuhi timbunan al-Quran lama, hadis dan buku pembelajaran agama.

Di situ, kelihatan dua orang pekerja wanita tekun mengoyakkan helaian buku satu persatu.

“Kertas-kertas itu diasingkan mengikut kategori. Helaian al-Quran tidak dicampur dengan helaian bahan bacaan lain. Proses itu perlu dipastikan dahulu sebelum ia dimasukkan ke dalam mesin peracik khas,” ujarnya yang ketika ini menghadapi cabaran mendapatkan tenaga kerja yang mencukupi.

“Saya kadangkala terpaksa menolak jika ada pihak yang mahu menghantar bahan untuk dilupuskan dalam kuantiti yang banyak. Bukannya tidak mahu terima tetapi kapasiti gudang dan tenaga kerja saya belum mengizinkan.

“Tetapi kalau setakat sekotak dua, saya masih terima,” ujar Rahmat yang mempunyai pengalaman selama 23 tahun dalam bidang percetakan.

Sementara itu, sebuah mesin pembakar khas (insinerator) ditemui krew Kosmo! di luar gudang tersebut. Diperbuat daripada keluli tahan karat, rekaannya mendapat sentuhan idea Rahmat sendiri dan ditempah khas setelah menimba pengetahuan sepanjang lawatannya ke beberapa buah negara sebelum ini.

“Maaf, kos mesin ini tidak boleh saya dedahkan. Yang pasti, apabila kita mereka sendiri, ia lebih murah. Nilainya tidak penting, paling utama saya mahu mendapat sokongan masyarakat untuk sama-sama berkongsi menyelamatkan al-Quran,” katanya.

Suhu 700 darjah Celsius


INSINERATOR rekaan Rahmat perlu dipanaskan terlebih dahulu sebelum proses pelupusan dimulakan.

Proses pembakaran dilakukan secara berkala iaitu dua kali seminggu. Setiap kali sesi membakar, mesin itu dipanaskan terlebih dahulu dan ia mengambil masa selama enam jam.

Tempoh itu diperlukan bagi mencapai tahap suhu sehingga 700 darjah Celsius dan ketika itu barulah kertas-kertas dimasukkan dan dapat dibakar sepenuhnya sehingga hancur. Untuk proses pembakaran yang selesai dalam masa 30 minit itu sahaja, sebanyak empat tong gas diperlukan.

“Hasil daripada pembakaran itu, bahan bakar itu menjadi abu yang kemudian terkumpul di bahagian bawah dan belakang mesin pembakar itu,” terang Rahmat yang lazimnya akan menyudahkan sendiri proses tersebut.

Menurutnya, pendekatan seperti membuang abu ke laut tidak digunakan kerana ia mungkin berhadapan dengan masalah. Antaranya adalah abu tersebut tidak tenggelam atau mengalir dengan teratur.

“Faktor cuaca seperti angin juga boleh menolak haluan abu tersebut. Silap perhitungan, habis muka dan badan melekat dengan abu itu,” selorohnya sambil tergelak kecil.

Maka, langkah seterusnya adalah dengan meletakkan abu tersebut di dalam bekas dan ‘dimandikan’. Abu terbabit digaul rata dengan air untuk memudahkannya dimasukkan ke dalam tong.

Tanpa perlu tong-tong itu dibawa jauh, Rahmat telah pun menyediakan telaga khas di kawasan yang sama. Dibina sedalam 3.5 meter, telaga itulah tempat ‘persemadian’ akhir bagi abu tersebut.

“Kita akan ‘kebumikan’ abu tadi ke dalam telaga ini. Proses ini menjimatkan masa, tenaga dan pengangkutan kerana pengurusan satu tan abu boleh disiapkan dalam masa 20 minit,” jelasnya.

Sumber daripada Kosmo Online.

Boleh juga baca tentang cara betul lupus ayat a-Quran

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails