Soalan dan Jawapan Berkaitan Tayammum dan Solat Pesakit
1. Soalan :
Bolehkah orang lain (ahli keluarga) yang mahram mentayammumkan pesakit? Dan bagaimanakah caranya?
Jawapan:
Diharuskan dan caranya ialah sama seperti bertayammum untuk diri sendiri. Pesakit hendaklah berniat tayammum ketika memindahkan debu ke muka.
2 Soalan:
Bolehkah bertayammum dengan cara menepuk tangan di meja atau di dinding dan di mana-mana tempat untuk bertayammum?
Jawapan:
Harus bertayammum jika terdapat tanah yang berdebu padanya.
3. Soalan :
Apakah hukum mengelap anggota wudhu’ dengan tujuan untuk bertayammum?
Jawapan:
Harus.
4. Soalan :
Adakah wajib menyapu dengan air di atas balutan anggota wudhu’ ketika hendak bertayammum?
Jawapan :
Wajib jika tidak mendatangkan kemudharatan
5. Soalan :
Bagaimanakah seorang berhadas besar hendak menunaikan solat, di mana ia disahkan oleh doktor tidak boleh terkena air ?
Jawapan:
Wajib ia bertayammum bagi menggantikan mandi hadas besar dengan niat mengharuskan fardhu sembahyang.
6. Soalan:
Bagaimanakah caranya pesakit yang berhadas besar hendak mendirikan solat sedangkan salah satu anggota wudhu’nya berbalut dan tidak boleh terkena air?
Jawapan:
Wajib mandi dan bertayammum bagi menggantikan anggota yang tidak boleh terkena air dan wajib menyapu dengan air ke atas pembalut.
7. Soalan:
Adakah terangkat hadas besar dengan bertayammum sahaja disebabkan sakit? Adakah masih wajib mandi mengangkat hadas janabah setelah pesakit itu sihat?
Jawapan:
Terangkat hadas besar dengan bertayammum dan tidak lagi wajib mandi janabah apabila sihat .
8. Soalan:
Adakah pesakit boleh mendirikan sembahyang jamak?
Jawapan:
Harus pesakit tersebut menjamak solat taqdim atau ta’khir jika timbul masyaqqah ( kesulitan ) solat di waktunya .
9. Soalan
Bilakah waktu bertayammum untuk mendirikan solat fardhu?
Jawapan:
Bertayammum hendaklah dilakukan setelah di yakini masuk waktu solat.
10. Soalan:
Bolehkah pesakit mengambil wudhu’ dengan cara mengelap anggota wudhu’ menggunakan tuala yang basah?
Jawapan:
Tidak sah wudhu’ kerana air tidak mengalir.
11. Soalan:
Sahkah berwudhu’ dengan merenjiskan air atau menggunakan “spray” pada anggota wudhu’ ?
Jawapan:
Sah apabila air tersebut rata dan mengalir.
12. Soalan:
Bolehkah orang yang bertayammum mendirikan solat jamak?
Jawapan:
Harus solat jamak dengan syarat 2 kali tayammum.
13. Soalan:
Pada awal memindahkan tanah ke muka tidak berniat tayammum tetapi apabila hampir tangannya ke muka barulah dia berniat berkekalan sehingga sampai tangan kena muka. Sahkah tayammum?
Jawapan:
Maka sah pemindahan tersebut dan niat ketika itu.
14. Soalan
Apakah sah bertayammum dalam keadaan terbuka aurat?
Jawapan:
Sah.
15. Soalan
Pesakit yang berwudhu’ dan bertayammum kemudian dia solat fardhu. Wajibkah pesakit memperbaharui wudhu’ dan bertayammum sekiranya dia tidak berhadas kecil?
Jawapan:
Tidak wajib dia mengulangi wudhu’ tetapi wajib mengulangi tayammum sahaja.
16. Soalan
Bagaimana cara mandi wajib dan tayammum bagi anggota yang sakit?
Jawapan:
Boleh mandi dahulu kemudian bertayammum atau sebaliknya.
17. Soalan
Adakah wajib tertib pada membasuh anggota wudhu’ dan tayammum bagi menggantikan membasuh anggota yang sakit?
Jawapan:
Wajib tertib dalam erti kata tayammum perlu dilakukan ketika membasuh anggota yang berkenaan.
3 comments:
Adakah kita perlu meneruskan solat apabila hujan turun dengan lebatnya selepas bertayamum
Batalkan solat itu dan ambil wuduk dengan air hujan tersebut kerana telah terbatal tayamum itu disebabkan ada air...air hujan salah satu air mutlak
ahirnya nemu Tata Cara Tayamum yang benar, sukron
Post a Comment