Followers

Tuesday, October 26, 2010

Tip-Tip Berguna untuk Pencarum KWSP

TIDAK kira dalam kategori apa dan sektor mana anda bekerja, berikut adalah tips berguna yang perlu diketahui oleh setiap ahli KWSP:

1. Semak status keahlian anda.

KWSP adalah skim tabungan wajib kepada:

  • pekerja di sektor swasta dan
  • pekerja tidak berpencen di sektor awam.

Jika anda adalah pekerja di kedua-dua sektor di atas, mestilah memastikan majikan anda mendaftarkan diri anda sebagai ahli KWSP.

Caranya ialah:

Bertanya kepada majikan sama ada anda sudah didaftarkan sebagai ahli KWSP atau tidak,

ATAU

Boleh menyemak status keahlian anda dengan cara paling mudah, iaitu menghubungi Pusat Panggilan KWSP.

2. Pastikan majikan anda mencarum bagi pihak anda.

Majikan mesti mencarum untuk anda pada setiap bulan.

Jumlah potongan bulanan bergantung kepada kadar yang termaktub dalam Jadual 3 Akta KWSP 1991.

Pada masa ini, kadar wajib carum ialah 8 peratus potongan daripada gaji pekerja dan 12 peratus caruman majikan.

3. Anda boleh mencarum lebih daripada kadar wajib yang ditetapkan.

Anda hanya perlu mengisi Borang KWSP 17 A dan maklumkan kepada majikan peratus atau jumlah wang yang anda ingin tambah kepada caruman wajib bagi membolehkan majikan membuat potongan gaji yang lebih tinggi untuk dibayar ke KWSP bagi pihak anda.

4. Semak Penyata Kira-Kira Ahli anda.

Anda perlu menyemak akaun anda dari semasa ke semasa. KWSP akan menghantar Penyata Kira-kira Ahli kepada anda setiap tahun selepas dividen diisytiharkan. Bagimanapun, anda boleh menyemaknya lebih kerap sama ada melalui Kios Pintar ataupun i-Akaun yang terdapat dalam laman web KWSP. Ini penting bagi memastikan akaun anda sentiasa teratur. Sekiranya akaun anda tidak teratur seperti tiada caruman dimasukkan untuk bulan tertentu atau jumlah caruman bulanan tidak seperti yang sepatutnya, anda perlu merujuk hal ini kepada majikan anda atau menghubungi KWSP untuk menyelesaikan masalah anda.

5. Jangan lupa buat penamaan.

Simpanan KWSP anda perlu dibuat penamaan. Anda hanya perlu mengisi Borang KWSP 4 (AHL) untuk membuat penamaan.

6. Ingat!!! Simpanan KWSP pasti akan dibayar dividen.

KWSP menjamin dividen sekurang-kurangnya 2.5 peratus setahun akan dibayar kepada ahli walaupun keuntungan pelaburan tidak memberangsangkan pada tahun berkenaan.

7. Ketahuilah bahawa pendapatan daripada pelaburan simpanan ahli tidak dikenakan cukai.

8. Ketahuilah juga bahawa pengeluaran simpanan ahli juga tidak dikenakan cukai.

9. Bantuan Hilang Upaya bagi yang layak.

Selain daripada semua simpanan, ahli atau penjaga kepada ahli yang hilang upaya sebelum berusia 55 tahun juga layak untuk mendapat Bantuan Hilang Upaya berjumlah RM5,000. Bantuan ini adalah bayaran tambahan sebagai tanda simpati KWSP kepada ahli yang ditimpa musibah dalam bentuk hilang upaya sama ada fizikal mahupun mental. Ia merupakan sumbangan yang ditanggung oleh semua ahli KWSP.

10. Bantuan Kematian kepada waris.

Waris kepada ahli yang meninggal dunia sebelum berusia 55 tahun juga layak mendapat Bantuan Kematian berjumlah RM2,500. Sama seperti Bantuan Hilang Upaya, bantuan ini juga merupakan bayaran tambahan sebagai tanda simpati KWSP yang ditanggung oleh semua ahli KWSP.

11. Rancang pengeluaran simpanan anda.

Rancang pengeluaran dengan baik sama ada pengeluaran persaraan mahupun pengeluaran prapersaraan.

Sebaik-baiknya elakkan pengeluaran secara sekali gus ketika berusia 55 tahun bagi mengelakkan simpanan habis dalam tempoh yang singkat.

12. Jangan lupa!!!: Semak dan kemas kini maklumat anda dari semasa ke semasa.

Ini mustahak bagi memastikan sebarang urusan surat menyurat antara anda dengan KWSP tidak hilang di tengah jalan atau jatuh ke tangan pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab.

Jadilah ahli yang prihatin kerana ia mungkin lebih menggembirakan kehidupan persaraan anda kelak.

BH

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails