Followers

Saturday, April 17, 2010

Leptospirosis (virus kencing tikus)


KEBELAKANGAN ini, kisah mengenai virus kencing tikus (leptospirosis) kembali menjadi bualan ramai. Sememangnya kes ini jarang berlaku di Malaysia. Namun kita perlu berwaspada kerana musibah itu tidak mengira siapa dan bila.

Menyingkap perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, pada 2007 sahaja kes leptospirosis meningkat secara mendadak kepada 929 berbanding 527 kes pada tahun sebelum itu. Sejauh manakah berbahayanya penyakit ini dan apakah tindakan yang harus dilakukan untuk mencegahnya? Kesihatan minggu ini mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.

Simptom-simptom:


Masa pengeraman di antara dua hingga 26 hari (anggaran 10 hari). Ia boleh berlaku dalam dua fasa:

1. Pesakit mengalami simptom-simptom penyakit yang pelbagai. Antara 75 hingga 100 peratus pesakit bermula dengan demam secara tiba-tiba, menggigil, sakit-sakit badan, sakit kepala. Manakala 25 hingga 35 peratus kes melibatkan batuk tidak berkahak dan 50 peratus kes mengalami sakit perut, muntah, loya, cirit-birit. Pesakit akan pulih sebelum mereka kembali jatuh sakit.

2. Keadaan pesakit menjadi lebih teruk hingga menyebabkan organ-organ dalaman gagal berfungsi.

Kebanyakan kes sembuh, bagaimanapun kematian boleh berlaku dalam kes-kes yang serius dan tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Pesakit boleh mendapat kegagalan fungsi buah pinggang, hati, masalah pernafasan, pendarahan yang teruk, sel darah merah pecah hingga menyebabkan penyakit kuning dan infeksi di bahagian otak (meningitis)

Persekitaran


Penyakit ini boleh berlaku kepada mereka yang berkerja di ladang-ladang, sawah, penternakan binatang, di kawasan setinggan, tapak pembinaan kawasan perumahan di mana kuman itu didapati hidup di tanah atau air kotor kerana sistem saliran yang kurang memuaskan seperti air bertakung.

Mereka yang berkunjung di tempat-tempat air kotor seperti air sungai atau tasik yang tercemar turut berisiko tinggi. Ia juga boleh berleluasa semasa musim banjir apabila seseorang meredah air banjir yang telah dicemari dengan kuman Leptospira. Kuman ini memasuki badan seseorang jika terdapat luka di kaki atau di mana-mana bahagian badan.

Mereka yang mempunya risiko untuk mendapat penyakit ini adalah mereka yang melakukan pekerjaan seperti pekerja rumah penyembelihan, doktor haiwan, pekerja sistem pembentungan, pesawah, peladang, penternak dan anggota tentera.

Diagnosis jangkitan


Dikesan melalui ujian darah. Darah pesakit akan diambil dan ujian serologi ELISA (antibodi) akan dilakukan. Ujian air kencing biasanya positif pada minggu kedua selepas serangan penyakit dan kekal selama 30 hari.

Rawatan


Kebanyakan jangkitan yang disebabkan oleh kuman ini akan sembuh dengan sendirinya. Pesakit yang mendapat jangkitan leptospira yang lebih serius akan dirawat dengan ubat antibotik seperti Doxycycline, Erythromycin, Penicillin, Cefotaxime dan Ceftriaxone untuk memendekkan tempoh penyakit dan mengurangkan pengeluaran kuman leptospirosis di dalam air kencing pesakit. Jangka masa rawatan selalunya antara lima hingga tujuh hari.

Penjagaan sokongan perlu diberikan kepada pesakit yang mengalami komplikasi seperti pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Mereka mungkin memerlukan rawatan untuk mencuci buah pinggang melalui dialisis, bantuan sokongan pernafasan, pemindahan darah dan lain-lain.

Thursday, April 15, 2010

Selaraskan kesukaan kita dengan kesukaan Allah

Bismillahirrahmanirrahim.

Hadith :

Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah meredhakan tiga perkara bagi kamu dan membenci tiga perkara bagi kamu. Allah redha supaya kamu mengabdikan diri kepadaNya dan janganlah kamu menyekutukanNya dengan sesuatu dan supaya kamu semua berpegang teguh dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Dan Allah membenci bagi kamu berkata begini begitu, banyak bertanya dan mensia-siakan harta.” (Muslim)

Huraian:

Selaku hamba, kesukaan kita hendaklah selari dengan kesukaan Allah. Apa sahaja yang kita lakukan jika Allah menyukainya, maka kita hendaklah menjadikannya sebagai satu amalan.

Sama ada kecil atau besar, wajib atau sunat asalkan Allah menyukainya, kita mestilah melakukannya.

Itulah manifestasi daripada cinta kita yang mendalam terhadap Allah SWT. Samalah juga keadaannya dengan seseorang yang tentu akan menyukai apa sahaja yang disukai oleh orang yang dicintainya.

Ia bukan soal mendapat pahala atau fadhilat tetapi lebih kepada hasrat untuk menyatakan dan membuktikan cinta dan kehambaan kita kepada Allah.

Begitu juga dengan aspek kebencian. Ia hendaklah selari dengan kebencian Allah dengan maksud bahawa kita meninggalkan apa sahaja perbuatan dan amalan yang dibenci oleh Allah.

Dalam hal ini tidak dinafikan bahawa nafsu pasti mendorong kita untuk berbuat apa yang Allah benci kerana nafsu suka kepada apa yang Allah benci dan benci kepada apa yang Allah suka.

Tetapi iman yang kuat dan teguh akan dapat melawan nafsu disebabkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam dalam diri. Itulah antara ciri-ciri taqwa yang sejati.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Tentang Wanita


Salam Semua.

Dikatakan oleh para ulama' bahawa; Doa wanita itu lebih makbul daripada doa lelaki kerana wanita lebih kuat sifat penyayangnya berbanding lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, baginda menjawa; “Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia.”

Di bawah ini disenaraikan 20 kelebihan wanita.

1. Wanita yang solehah lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.

"....Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama mereka.......(An-Nisaa [4] : 34)

2. Sesiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Dan orang yang takutkan Allah SWT; akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

3. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga.

4. Sesiapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah.

5. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka sesiapa yang menggembirakan anak perempuannya seolah-olah dia telah memerdekakan anak Nabi Ismail as.

6. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

7. Sesiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan (baik) dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta sikap bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

8. Apabila memanggil akan dirimu dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

9. Daripada Aisyah r.a “Barang siapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pun pintu yang dia kehendaki tanpa dihisab.

11. Wanita yang taat pada suaminya, maka semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya.

12. Aisyah r.a berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?” Jawab Rasullullah SAW “Suaminya.” “Siapa pula berhak terhadap lelaki?” Jawab Rasullah SAW, “Ibunya.”

13. Perempuan apabila mendirikan solat lima waktu, puasa pada bulan Ramadan, memelihara kehormatannya serta memelihara aib suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dia kehendaki.

14. Setiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun)

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihd pada jalan Allah.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia daripada dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu kebajikan.

19. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.

20. Rasulullah SAW menjelaskan betapa istimewanya nasib wanita yang hamil jika dia meninggal dalam masa hamilnya. Allah memberikan jaminan kepada yang berkenaan mendapatkan syurga sebagaimana janji yang Allah berikan kepada kaum lelaki yang mati syahid di medan perang untuk membela agama Allah. Kedudukan yang demikian tinggi bagi wanita yang meninggal saat melahirkan anak menunjukkan betapa besar barakah yang Allah dan RasulNya berikan kepada kaum wanita.

Mudah2an kita sebagai wanita dapat berusaha menjadi wanita yang solehah agar janji Allah dan RasulNya dapat kita raih. Allahua'lam.

Wednesday, April 14, 2010

Kiamat Sudah Dekat


Gambar hiasan..
sesungguhnya tak tergambar akan kedahsyatan hari kiamat

Hadith:

Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud : "Belum akan terjadi kiamat sebelum banyak ‘haraj’. Bertanya para sahabat, : "Apakah itu haraj ya Rasulullah?” Jawab baginda : "Pembunuhan! Pembunuhan!” (Muslim)

Huraian:

Kejadian-kejadian seperti pembunuhan sudah sering sangat berlaku dan boleh dikatakan hari-hari dilaporkan dalam berbagai-bagai media. Kadangkala perkara ini amat membimbangkan kita.

Manusia sekarang suka bunuh-membunuh, berlaku perzinaan tanpa mempedulikan halal haram dan sebagainya. Dan apabila berlaku perzinaan berlku pula kelahiran luar nikah. Akibatnya ramai pula yang membunuh bayi-bayi yang tidak berdosa. Seperti yang diramalkan oleh Rasulullah SAW; dirasakan bahawa masa sudah mendekati hari kiamat dan tanda-tandanya adalah seperti yang disebutkan di atas.

Ini adalah kebenaran. Bagaimanakah nanti sekiranya umat Islam juga terjebak dalam perkara yang sama (suka melakukan pembunuhan tanpa hak) sedangkan Islam menyarankan agar umatnya hidup dalam keamanan dan menyarankan kedamaian antara sesama manusia.

Oleh itu sebaik-baik amal pada ketika dan saat ini adalah menyeru agar masing-masing sentiasa melakukan kebaikan dan mencegah daripada berlakunya kemungkaran kerana masa yang kian bergerak pantas akan menjadikan kita lemas di celah-celah kekalutan manusia yang haru biru tanpa arah tujuan sedangkan manusia yang benar-benar beriman sudah tentu tidak akan dapat bertahan tanpa melakukan sesuatu bagi merubah keadaan.

P/S: Jenayah berlaku di mana-mana, terdapat banyak laporan seperti di sini, sini, sini, sini dan banyak lagilah selain yang tersiar di Star Online ini.

Hati-hati.. ada penyamun ala James Bond pula


Sindiket tawar cenderahati dipasang alat kesan pergerakan mangsa.

Macam-macam hal sekarang ini. Kita diminta agar berhati-hati agar jika ada sesiapa yang menawarkan cenderahati percuma ketika berhenti mengisi minyak di stesen minyak. Cenderahati itu mungkin menimbulkan masalah yang besar.

Ada sindiket dikesan menawarkan cenderahati percuma dalam bentuk rantai kunci atau patung kecil yang dipasang alat pengesan dipercayai digunakan untuk mengesan pergerakan mangsa hingga ke rumah sebelum merompak mereka. Taktik terbaru sindiket ini terbongkar susulan beberapa kes dilaporkan sebelum ini membabitkan pelanggan stesen minyak dan pusat servis kenderaan.

Sumber memberitahu Berita Harian, siasatan mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi menawarkan hadiah percuma, terutama menjelang musim perayaan dan sambutan acara tertentu.

Selebihnya boleh baca di sini

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails