Followers

Saturday, April 17, 2010

Leptospirosis (virus kencing tikus)


KEBELAKANGAN ini, kisah mengenai virus kencing tikus (leptospirosis) kembali menjadi bualan ramai. Sememangnya kes ini jarang berlaku di Malaysia. Namun kita perlu berwaspada kerana musibah itu tidak mengira siapa dan bila.

Menyingkap perangkaan Kementerian Kesihatan Malaysia, pada 2007 sahaja kes leptospirosis meningkat secara mendadak kepada 929 berbanding 527 kes pada tahun sebelum itu. Sejauh manakah berbahayanya penyakit ini dan apakah tindakan yang harus dilakukan untuk mencegahnya? Kesihatan minggu ini mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya.

Simptom-simptom:


Masa pengeraman di antara dua hingga 26 hari (anggaran 10 hari). Ia boleh berlaku dalam dua fasa:

1. Pesakit mengalami simptom-simptom penyakit yang pelbagai. Antara 75 hingga 100 peratus pesakit bermula dengan demam secara tiba-tiba, menggigil, sakit-sakit badan, sakit kepala. Manakala 25 hingga 35 peratus kes melibatkan batuk tidak berkahak dan 50 peratus kes mengalami sakit perut, muntah, loya, cirit-birit. Pesakit akan pulih sebelum mereka kembali jatuh sakit.

2. Keadaan pesakit menjadi lebih teruk hingga menyebabkan organ-organ dalaman gagal berfungsi.

Kebanyakan kes sembuh, bagaimanapun kematian boleh berlaku dalam kes-kes yang serius dan tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Pesakit boleh mendapat kegagalan fungsi buah pinggang, hati, masalah pernafasan, pendarahan yang teruk, sel darah merah pecah hingga menyebabkan penyakit kuning dan infeksi di bahagian otak (meningitis)

Persekitaran


Penyakit ini boleh berlaku kepada mereka yang berkerja di ladang-ladang, sawah, penternakan binatang, di kawasan setinggan, tapak pembinaan kawasan perumahan di mana kuman itu didapati hidup di tanah atau air kotor kerana sistem saliran yang kurang memuaskan seperti air bertakung.

Mereka yang berkunjung di tempat-tempat air kotor seperti air sungai atau tasik yang tercemar turut berisiko tinggi. Ia juga boleh berleluasa semasa musim banjir apabila seseorang meredah air banjir yang telah dicemari dengan kuman Leptospira. Kuman ini memasuki badan seseorang jika terdapat luka di kaki atau di mana-mana bahagian badan.

Mereka yang mempunya risiko untuk mendapat penyakit ini adalah mereka yang melakukan pekerjaan seperti pekerja rumah penyembelihan, doktor haiwan, pekerja sistem pembentungan, pesawah, peladang, penternak dan anggota tentera.

Diagnosis jangkitan


Dikesan melalui ujian darah. Darah pesakit akan diambil dan ujian serologi ELISA (antibodi) akan dilakukan. Ujian air kencing biasanya positif pada minggu kedua selepas serangan penyakit dan kekal selama 30 hari.

Rawatan


Kebanyakan jangkitan yang disebabkan oleh kuman ini akan sembuh dengan sendirinya. Pesakit yang mendapat jangkitan leptospira yang lebih serius akan dirawat dengan ubat antibotik seperti Doxycycline, Erythromycin, Penicillin, Cefotaxime dan Ceftriaxone untuk memendekkan tempoh penyakit dan mengurangkan pengeluaran kuman leptospirosis di dalam air kencing pesakit. Jangka masa rawatan selalunya antara lima hingga tujuh hari.

Penjagaan sokongan perlu diberikan kepada pesakit yang mengalami komplikasi seperti pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Mereka mungkin memerlukan rawatan untuk mencuci buah pinggang melalui dialisis, bantuan sokongan pernafasan, pemindahan darah dan lain-lain.

3 comments:

Rainbow said...

berinfo dan bermaklumat... thnX for the sharing..

penyakit tidak mengenal manusia, tapi manusia yang berakal dan berpancaindera sempurna sifatnya perlu berhati2 dan mengambil langkah berjaga2 bagi mengelak jangkitan. mengelak lebih baik dri berubat, dan berubat lebih baik dari berserah diri bulat2 tanpa berusaha..

wallahualam..

shefa said...

Salam Rainbow.

Ya, mencegah lebih baik daripada mengubati, terima kasih atas nasihat yang diberikan.

Ainil Hawa said...

kawan saya baru meninggal sbb ni :(
sbb mandi sungai huhu
bahaya sgt

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails