Followers

Tuesday, November 30, 2010

Memelihara Kepentingan Sesama Muslim

Dedahkan keaiban orang bukan ikut syariat Islam
Oleh Mohd Shukri Hanapi

2010/11/30

Usaha memelihara kepentingan sesama Muslim tidak akan tercapai jika fitnah berleluasa


MEMALUKAN seseorang dengan mencari dan mendedahkan keaiban pada mata masyarakat adalah perbuatan mazmumah. Soal mencari dan mendedahkan keaiban orang lain ini dengan sesuka hati sangat dipandang berat oleh Islam.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya orang yang suka terhebahnya tuduhan yang buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).” (Surah al-Nur: 19)

Atas dasar ini maka dikehendaki setiap orang menyimpan rahsia atau menutup keaiban saudaranya lebih-lebih lagi jika ia hanya semata-mata prasangka atau tuduhan buruk yang tidak berasas.

Ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah dan perselisihan yang akibatnya amat berat ditanggung oleh orang itu sendiri dan juga masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Menjelaskan mengenai perkara mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan. Pertama, orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran.
Jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedah atau diperkatakan. Jika tetap diperkata atau didedahkan juga kemungkaran didengari itu maka ia menjadi ghibah (umpat) yang hukumnya haram dan berat dosanya.

Kedua, orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan malah tidak mempedulikan sebarang nasihat yang diberikan dan tidak malu dalam melakukan kejahatan secara terbuka.

Golongan ini harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat. Malah, ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya.

Sebab jika didiamkan tentulah ia akan bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah, sehingga membahayakan masyarakat.

Menurut sesetengah ulama pula, adalah sunat merahsiakan keaiban manusia dalam empat perkara iaitu keaiban berkaitan hak Allah, keaiban lampau yang tidak diketahui orang, keaiban orang berkedudukan dalam masyarakat dan keaiban dilakukan untuk melindungi kepentingan anak yatim.

Setiap manusia mempunyai kehormatan diri yang tidak boleh dinodai dengan diselidiki keaibannya, sekalipun ia berbuat dosa selama dilakukan secara bersembunyi.

Abu al-Haisam pegawai kepada Uqbah bin Amir (salah seorang sahabat Nabi) berkata: “Saya pernah memberitahu Uqbah bahawa saya mempunyai jiran yang suka minum arak dan saya akan melaporkannya kepada pihak berkuasa supaya mereka datang menangkapnya. Lantas Uqbah berkata: “Jangan! Tetapi nasihatilah mereka itu”. Abu al-Haisam menjawab: “Saya sudah melarang tetapi mereka masih berbuat demikian. Justeru, saya tetap akan melaporkannya kepada pihak berkuasa.”

Uqabah berkata lagi: “Jangan! Sebab saya pernah mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang menutupi suatu keaiban, maka ia seolah-olah menghidupkan anak yang ditanam hidup-hidup dalam kuburnya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Nasa’i).

Bagaimanapun, semua orang tetap ada keaibannya yang tertentu sama ada kecil atau besar dan tentu dia tidak suka diketahui orang. Apatah lagi jika ada orang sengaja mencari keaiban seterusnya menyebarkan ke sana-sini, tentu dia akan marah. Lebih buruk lagi jika ia membawa kepada perselisihan dan pergaduhan.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu sudah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Hibban)

Sebenarnya hal ini bertentangan dengan dasar Islam yang menganjurkan umat Islam supaya saling berkasih-sayang, hormat-menghormati, bantu-membantu dan tidak benci-membenci antara satu sama lain.

Bagi orang yang suka menyebarkan keaiban orang lain, seharusnya berfikir bahawa dirinya juga tidak sepi daripada aib dan cacat. Jika dia tidak suka keaibannya dicari dan didedahkan maka mengapa pula dia sanggup mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Tidakkah dia bimbang suatu hari nanti orang lain pula akan mencari dan mendedahkan keaibannya.

Diriwayatkan daripada Ibn Umar bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai orang yang telah menyatakan beriman dengan lidahnya, tetapi iman itu belum sampai ke dalam hatinya! Janganlah kamu menyakiti orang Islam dan janganlah pula mencari-cari keaiban mereka. Sebab sesiapa yang mencari keaiban saudaranya, nescaya Allah akan mencari pula keaibannya. Sesiapa yang telah dicari keaibannya oleh Allah, maka Dia akan mendedahkannya, meskipun ia berada dalam perjalanan yang jauh.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Segala bentuk perbuatan dan tindakan yang kita lakukan hendaklah berlandaskan syariat Islam. Jika syariat Islam tidak dipedulikan, usaha menghidupkan semangat kerjasama dalam masyarakat seperti bantu-membantu, hormat-menghormati dan memelihara kepentingan sesama Muslim tidak akan tercapai. Sebaliknya, akan wujud masyarakat yang penuh dengan kejahatan dan kemungkaran.

Berita Harian

Ucap Salam

Ucapan salam disertai berjabat tangan eratkan persaudaraan
Oleh Mohd Ali Muhamad Don

2010/11/30

UCAPAN ‘Assalamualaikum’ boleh jadi asing bagi segelintir masyarakat mungkin kerana sudah terbiasa mengucapkan ‘hello’ dan ‘bye-bye’ apabila bertemu serta berpisah sehingga ucapan salam yang mulia, dipinggirkan.

Bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Namun, perlu difahami ucapan salam yang disyariatkan mempunyai impak besar dalam memelihara hubungan ukhuwah sesama manusia. Malah, ucapan itu dinilai sebagai ibadah dalam konteks mempraktikkan sunnah Rasulullah.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Demi zat yang diriku berada di bawah kekuasaan-Nya, tidak akan masuk syurga selagi kamu tidak beriman, tidak akan beriman selagi kamu tidak saling cinta mencintai. Apakah kamu ingin ku khabarkan mengenai amalan yang apabila dilakukan pasti membuatkan kamu saling mencintai? Kalangan sahabat menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Nabi bersabda: Sebarkanlah salam dalam kalangan kamu.” (Hadis riwayat Muslim).

Selain itu, ucapan salam disertai perbuatan berjabat tangan juga sunnah yang dituntut. Walaupun begitu, ia masih tertakluk kepada hukum bersentuhan antara bukan mahram yang perlu dipelihara.

Amalan berjabat tangan antara lelaki dan perempuan ajnabi seakan menjadi perkara biasa walhal ia perbuatan dosa yang semestinya dijauhi. Justeru, jangan mudah menghulurkan tangan untuk berjabat dengan sesiapa saja kecuali selepas dipastikan segala ketetapan agama dipatuhi sepenuhnya.

Ataupun, jika terdesak untuk berjabat tangan berusahalah mengelak dengan cara bijaksana tanpa menjatuhkan maruah dan kehormatan orang lain.

Membongkokkan badan sambil berjabat tangan juga perbuatan dilarang bagi mengelak wujudnya unsur syirik penyembahan kepada sesama makhluk. Adapun perbuatan saling berpelukan dan berciuman ketika bertemu adalah diharuskan terutama apabila seseorang pulang daripada musafir seperti ketika menyambut kepulangan jemaah haji.
Perbuatan berdiri untuk mengagungkan seseorang yang lain juga adalah tidak disukai Nabi Muhammad. Justeru, sahabat tidak berdiri apabila melihat Baginda.

Bagaimanakah ucapan salam yang sebenar-benarnya disyariatkan. Diriwayatkan, bertandang seorang lelaki kepada Rasulullah seraya mengucapkan ‘Assalamualaikum’. Nabi bersabda: Sepuluh kebaikan. Kemudian datang yang lain sambil mengucapkan ‘Assalamualaikum warahmatullah’. Nabi bersabda: Dua puluh kebaikan. Kemudian datang yang lain dan mengucapkan ‘Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh’. Baginda bersabda: Tiga puluh kebaikan.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Disebabkan hebatnya ucapan salam dan pahala disediakan untuknya, umat Islam diseru tidak lagi memandang remeh amalan baik mengucapkan salam ketika bertemu dengan saudaranya.

Diriwayatkan, sekelompok orang Yahudi datang menemui Rasulullah sambil mengucapkan Assaamu alaikum’ yang bermaksud racun untuk kamu. Lalu dijawab Nabi: ‘Alaikum’. Saidatina Aisyah kemudian menambah lagi: Bahkan racun dan laknat buat kamu.”

Nabi kemudian bersabda lagi: “Wahai Aisyah sesungguhnya Allah mencintai kelembutan dalam segala hal. Aisyah membalas, apakah Tuan tidak mendengar apa yang mereka ucapkan. Nabi menjawab lagi sambil berkata: “Aku telah membalasnya dengan mengucapkan ‘alaikum’ yang bermaksud untuk kamu juga.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah kita mempraktikkan amalan salam dan menyebarluaskan amalan itu dalam kehidupan seharian supaya umat Islam akan sentiasa dilindungi dan dirahmati kerana kita saling mendoakan antara satu sama lain.

Penulis ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru - Berita Harian

Monday, November 29, 2010

Tak Dapat Lihat Kaabah Walaupun 7 Kali Ke Mekah

LAHAULAWALA QUWWATAILLABILLAH



Bacalah..... .sbg PERINGATAN kita bersama...

Sebagai seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya,Hasan (bukan nama sebenar)

mengajak ibunya iaitu Sarah (juga bukan nama sebenar) mengerjakan ibadah haji. Ibu mana yang tidak senang hati dengan ajakan anaknya itu. Sebagai seorang muslim yang mampu dari segi kewangan,mereka memang berkewajiban menunaikan ibadah Haji. Segala kelengkapan sudahpun disiapkan.

Ibu dan anak ini akhirnya berangkat ke tanah suci. Keadaan keduanya sihat walafiat,tidak kurang satu apapun. Tiba harinya mereka melakukan tawaf dengan hati dan niat yang ikhlas menyeru panggilan Allah, Tuhan Semesta Alam. "Labbaiq Allahumma labbaiq, aku datang memenuhi seruanmu ya Allah".

Hasan berbisik kearah ibunya, "Ummi undzur ila Ka'bah (Ibu,lihatlah itu Ka'bah)." Hasan menunjukkan bangunan empat persegi berwarna hitam itu. Ibunya yang berjalan di sisi anaknya hanya terdiam tanpa ada apa-apa reaksi. Perempuan itu sama sekali tidak melihat apa yang ditunjukkan oleh anaknya.

Hasan kembali membisikkan kearah ibunya. Ia kelihatan bingung melihat raut wajah ibunya. Di wajah ibunya jelas kelihatan kebingungan. Ibunya sendiri tak mengerti mengapa ia tak dapat melihat apapun selain kegelapan. Beberapakali ia mengusap-usap matanya, tetapi tetap sama,hanya kegelapan yang terpancar diruangan matanya.

Padahal, sebelum ini tidak ada masalah dengan kesihatan matanya. Beberapa minit yang lalu dia masih melihat segalanya dengan jelas,tetapi apabila memasuki Masjidil Haram segalanya menjadi gelap gelita. Tujuh kali Hasan bersimpuh di hadapan Allah memohon keampunan untuk ibunya. Hati Hasan begitu sedih. Siapapun yang datang ke Baitulah, mengharapkan rahmatnya. Terasa hampa menjadi tetamu Allah,tanpa menyaksikan segala kebesarannya,merasakan kuasanya dan mendapat rahmatnya.

Hasan tidak berputus asa,mungkin dengan ibadah dan taubatnya yang sungguh-sungguh,ibunya akan dapat merasakan anugerahnya,dapat menatap Ka'bah kelak. Hasan berniat akan membawa ibunya menunaikan haji pada tahun hadapan. Ternyata kejadian itu berulang lagi. Ibunya kembali dibutakan dihadapan Ka'bah, sehingga tidak dapat menyaksikan bangunan yang merupakan simbol perpaduan umat Islam. Wanita itu tidak dapat melihat Ka'bah.Hasan tidak berputus asa. Ia kembali membawa ibunya ke tanah suci tahun berikutnya. Anehnya, ibunya tetap tidak dapat melihat Ka'bah. Setiap berada di Masjidil Haram, yang kelihatan di matanya hanyalah permandangan yang gelap gelita.

Begitulah keajaiban yang terlaku pada diri Sarah. Kejadian itu berulang sampai tujuh kali menunaikan ibadah haji. Hasan merasa pelik,apa yang menyebabkan ibunya menjadi buta di hadapan Ka'bah.. Padahal,setiap kali berada jauh dari Ka'bah,penglihatannya kembali normal. Dia tertanya-tanya,apakah ibunya melakukan kesalahan sehingga mendapat azab dari Allah SWT ? Apa yang telah dilakukan ibunya,sehingga mendapat musibah seperti itu ? Segala pertanyaan bermain di dalam dirinya. Akhirnya diputuskan untuk mencari seorang ulama yang mungkin dapat membantu menyelesaikan masalah ini.

Beberapa hari kemudian ia terdengar ada seorang ulama yang terkenal kerana kesolehannya dan kebaikannya di Abu Dhabi (Uni Emirat). Akhirnya Hasan dapat bertemu dengan ulama yang dimaksudkan itu. Ia pun menceritakan masalah yang menimpa ibunya kepada ulama yang soleh itu.. Ulama itu mendengar segala cerita Hasan dengan teliti,kemudian meminta agar ibu Hasan menelefonnya. Hasan pun segera kembali ke negaranya. Setibanya di tanah kelahirannya, dia meminta ibunya itu menghubungi ulama di Abu Dhabi tersebut.

Ibunya memenuhi permintaan anaknya itu. Ia pun menelefon ulama itu, dan menceritakan kembali peristiwa yang dialaminya di tanah suci. Ulama itu kemudian meminta Sarah mengingatkan kembali,mungkin ada perbuatan atau peristiwa yang terjadi padanya di masa silam,sehingga ia tidak mendapat rahmat Allah itu. Sarah diminta untuk bersikap terbuka dan menceritakan secara jujur,apa yang telah dilakukannya."Kamu hendaklah berterus-terang kepada saya,kerana masalah kamu ini bukan masalah senang," kata ulama itu pada Sarah. Sarah terdiam sejenak. Kemudian dia meminta waktu untuk memikirkannya. Tujuh hari berlalu,ulama itu masih tidak mendapat sebarang khabar dari Sarah.

Pada minggu kedua setelah percakapan pertama mereka, akhirnya Sarah menelefon. "Ustaz,waktu masih muda,saya bekerja sebagai jururawat dihospital," cerita Sarah akhirnya.
"Oh,bagus..... Pekerjaan jururawat adalah pekerjaan yang mulia," potong ulama itu..

"Tapi saya mencari wang yang banyak dengan berbagai-bagai cara,tidak peduli,apakah cara saya itu halal atau haram,"ungkapnya terus terang. Ulama itu terkejut.. Ia tidak menyangka wanita itu akan berkata demikian.

"Disana....." sambung Sarah lagi,"Saya sering kali menukar bayi,kerana tidak semua ibu senang dengan bayi yang telah dilahirkan. Kalau ada yang menginginkan anak lelaki padahal bayi yang dilahirkannya adalah perempuan,dengan imbuhan wang yang banyak,saya akan tukar bayi-bayi itu sesuai dengan keinginan mereka."

Ulama tersebut sangat terkejut mendengar penjelasan dari Sarah."Astagfirullah. ....." betapa sanggup wanita itu menyakiti hati para ibu yang diberi amanah Allah untuk melahirkan anak bayangkan,betapa banyak keluarga yang telah dirosakkannya,sehingga tidak terkira banyaknya. Apakah Sarah tidak tahu,bahawa dalam Islam menjaga nasab atau keturunan sangat penting. Jika seorang bayi ditukar,tentu nasabnya menjadi tidak jelas. Padahal, nasab ini sangat menentukan dalam perkahwinan, terutama dalam masalah mahram atau muhrim, iaitu orang-orang yang tidak boleh dinikahi. "Cuma itu yang saya lakukan," ucap Sarah. "Cuma itu ?"tanya ulama terperanjat.

"Tahukah anda bahawa perbuatan anda itu adalah satu dosa yang sangat besar,betapa banyak keluarga yang sudah anda hancurkan!" ucap ulama dengan nada tinggi."Lalu apa lagi yang kamu kerjakan?" tanya ulama itu lagi sedikit kesal. "Di hospital juga, saya melakukan tugas memandikan orang mati."
"Oh bagus,itu juga pekerjaan yang mulia," kata ulama. "Ya,tetapi saya mandikan orang mati itu kerana saya bekerjasama dengan ahli sihir.."
Maksudnya?" tanya ulama itu tidak seakan tidak mengerti. "Apa yang saya maksudkan adalah menyengsarakan orang,baik membuatnya sakit ataupun mati,segala peralatan sihir itu hendaklah ditanam ke dalam tanah. Akan tetapi saya tidak menguburnya di dalam tanah, melainkan saya masukkan benda-benda itu ke dalam mulut orang yang mati."

"Suatu hari,ada seorang alim meninggal dunia. Seperti biasa,saya memasukkan berbagai-bagai barang tenung seperti jarum,benang dan lain-lain ke dalam mulutnya. Entah mengapa kali ini benda-benda itu tidak mahu hendak masuk,walaupun saya sudah menekannya dalam-dalam. Benda itu tetap keluar. Saya cuba lagi berulang-ulang. Akhirnya,perasaan geram saya memuncak,saya masukkan benda itu dan terus saya jahit mulutnya. Cuma itu dosa yang saya lakukan." Mendengar pertuturan Sarah yang mendatar dan tanpa rasa berdosa,ulama itu berteriak marah."Cuma itu yang kamu lakukan ?"Masya Allah....!!! Saya tidak dapat membantu kamu. Saya angkat tangan".Ulama itu sangat terkejut setelah mengetahui perbuatan Sarah. Tidak pernah terbayang dalam hidupnya ada seorang manusia seperti itu,apalagi dia adalah seorang wanita, yang memiliki nurani begitu kejam dan keji.Tidak pernah terjadi dalam hidupnya,ada wanita yang melakukan perbuatan sekeji itu. Akhirnya ulama itu berkata, "Kamu hendaklah memohon ampun kepada Allah,kerana hanya dialah saja yang dapat mengampuni segala dosa-dosa kamu."

Setelah beberapa lama, sekitar tujuh hari kemudian ulama itu tidak mendengar khabar selanjutnya dari Sarah. Ia berharap Sarah telah bertaubat di atas segala perbuatan yang telah di lakukannya. Ia berharap Allah akan mengampuni segala dosa-dosa Sarah,sehingga Rahmat Allah akan datang kepadanya. Kerana sudah lama tidak mendengar berita dari Sarah,ulama itu menghubungi keluarga Hasan di Mesir.

Kebetulan yang menerima telepon adalah Hasan sendiri. Ulama menanyakan khabar Sarah,ternyata khabar duka yang diterima ulama itu. "Ummi sudah meninggal dua hari setelah menelefon ustaz," ujar Hasan. Ulama itu terkejut mendengar khabar tersebut. "Bagaimana ibumu meninggal, Hasan ?" tanya ulama itu.

Hasan pun akhirnya bercerita : Setelah menelefon ulama,dua hari kemudian ibunya jatuh sakit dan meninggal dunia. Yang mengejutkan adalah peristiwa penguburan Sarah. Setelah tanah sudah digali,ketika hendak dimasukkan jenazah ke dalam liang atas izin Allah,tanah itu rapat kembali hingga tertutup dan mengeras. Para penggali mencari lokasi yang lain pula untuk digali. Peristiwa itu berulang lagi. Tanah yang sudah digali kembali menyempit dan tertutup rapat. Peristiwa itu berlaku begitu cepat,sehingga tidak seorangpun penghantar jenazah yang menyedari bahawa tanah itu kembali rapat.

Peristiwa itu terjadi berulang-ulang. Para penghantar yang menyaksikan peristiwa itu merasa ngeri dan merasakan sesuatu yang aneh terjadi.Mereka yakin, kejadian tersebut pastilah berkaitan dengan perbuatan si mayat. Waktu terus berlalu, para penggali kubur putus-asa kerana pekerjaan mereka tak juga selesai. Siang pun berlalu, petang menjelang,bahkan sampai hampir maghrib,tidak ada satu pun lubang yang berhasil digali. Mereka akhirnya pasrah, dan beranjak pulang. Jenazah itu dibiarkan saja di atas hamparan tanah kering kerontang..

Sebagai anak yang begitu sayang dan hormat kepada ibunya, Hasan tidak sampai hati meninggalkan jenazah orang tuanya ditempat itu tanpa dikubur. Kalaupun dibawa pulang,rasanya tidak mungkin. Hasan termenung di tanah perkuburan seorang diri. Dengan izin Allah,tiba-tiba berdiri seorang laki-laki yang berpakaian hitam panjang,seperti pakaian khusus orang Mesir.Lelaki itu tidak tampak wajahnya,kerana terhalang tutup kepalanya yang menjorok ke depan. Laki-laki itu mendekati Hasan kemudian berkata padanya,"Biar aku tangani jenazah ibumu,pulanglah!" kata orang itu.

Hasan lega mendengar bantuan orang tersebut,ia berharap laki-laki itu akan menunggu jenazah ibunya. Selepas itu menggali liang dan kemudian mengebumikan ibunya. "Aku minta supaya kau jangan menoleh ke belakang,sampai kau tiba di rumahmu,"pesan lelaki itu. Hasan mengangguk,kemudian ia meninggalkan jenazah ibunya. Belum jauh ia dari kubur ibunya,terselit keinginannya untuk mengetahui apa yang akan terjadi dengan jenazah ibunya.

Sedetik kemudian ia menengok ke belakang. Betapa pucat wajah Hasan,melihat jenazah ibunya sudah dililit api,kemudian api itu menyelimuti seluruh tubuh ibunya. Belumpun habis rasa hairannya, sedetik kemudian dari arah yang berlawanan,api menerpa wajah Hasan. Hasan ketakutan. Dengan langkah seribu,dia pun bergegas meninggalkan tempat itu. Demikian yang diceritakan oleh Hasan kepada ulama itu. Hasan juga mengaku,bahwa separuh wajahnya yang terkena api itu kini berbekas kehitaman kerana terbakar.

Ulama itu mendengar semua cerita yang diluahkan oleh Hasan. Dia menyarankan,agar Hasan segera beribadah dengan khusyuk dan meminta ampun atas segala perbuatan atau dosa-dosa yang pernah dilakukan oleh ibunya. Akan tetapi, ulama itu tidak menceritakan kepada Hasan,apa yang telah diceritakan oleh ibunya kepada ulama itu. Ulama itu meyakinkan Hasan,bahwa apabila anak yang soleh itu memohon ampun dengan sungguh-sungguh, maka bekas luka di pipinya dengan izin Allah akan hilang. Benar saja,tak berapa lama kemudian Hasan kembali memberitahu ulama itu,bahawa lukanya yang dulu amat terasa sakit dan panas luar biasa,semakin hari bekas kehitamannya hilang. Tanpa tahu apa yang telah dilakukan ibunya selama hidup,Hasan tetap mendoakan ibunya. Ia berharap, apapun perbuatan dosa yang telah dilakukan oleh ibunya,akan diampuni oleh Allah SWT.

http://permaidanihijau.blogspot.com/2009/07/kisah-nyata-7-kali-naik-haji-tak-dapat.html

Saturday, November 27, 2010

Dua Gelas Berbeza

Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w ada bersabda :

"Sesungguhnya orang yang tiada di dalam hatinya sesuatu daripada al-Quran seperti rumah yang roboh."- Riwayat at-Tirmidzi

Alhamdulillah, beruntunglah bagi orang beriman yang menjadikan al-Quran itu sebagai isi hatinya, menjadi hiasan peribadinya dan undang-undang dalam kehidupannya.

Ketika menyebut hadis di atas, Dr. Radwan Jamal (seorang pensyarah UIAM) dalam sebuah kuliahnya telah mengutarakan soalan kepada kami tentang apa yang dimaksudkan dengan 'al-bait al-kharib' dan 'al-Jauf' di dalam hadis tersebut.

'Bait al-kharib 'ialah rumah yang roboh, ia diumpamakan juga seperti rumah yang ditinggalkan. Bayangkanlah apa yang menghuni di dalam rumah yang dibiarkan kosong?

Ya, sarang labah-labah, semak-samun, keadaan yang tidak terurus, kotor dan sebagainya. Berbeza bukan dengan rumah yang dihuni?

Adapun 'al-Jauf 'membawa maksud 'hati.'

Begitulah hati manusia. Hati yang kosong dengan al-Quran diibaratkan seperti rumah usang yang roboh. Tiada apa lagi yang mengukuhkan sebab atau untuk menggalakkannya terus hidup. Justeru tidak mustahil jika harapan kepada Allah dalam kehidupan juga telah hilang dimakan keusangan hati.

Dua Gelas Berbeza

Dr. Radwan Jamal juga ada memberikan contoh dua gelas yang berbeza. Satunya terisi dengan air dan satu lagi yang dibiarkan kosong.

Beliau bertanya, adakah gelas yang kosong itu akan berterusan kosong atau akan masuk ke dalamnya pelbagai unsur; sama ada unsur baik ataupun unsur yang buruk?

Begitulah ibaratnya keadaan dua hati manusia!

Hati manusia yang terisi dengan al-Quran seperti gelas yang terisi air. Sejuk hati dan tenang sentiasa. Bila diuji mudah sahaja kembali kepada Allah kerana tautan hatinya berdasarkan kalam Allah. Lantas keyakinannya hanya diletakkan kepada penciptanya.

Namun, hati yang tiada terisi dengan apa-apa akan terbiar dan dibiarkan kosong. Jika tidak terisi dengan mahmudah (sifat yang positif), yang terisi nanti hanyalah penyakit-penyakit hati seperti hasad dengki, dendam, benci dan sebagainya.

Alhamdulillah, begitulah beliau mengajar kami untuk mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran setiap kali mendapat ilmu baru. Sebagaimana beliau yang selalu mengingatkan kami untuk tidak lupa menjawab dan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

Sumber : iluvislam.com

Wednesday, November 24, 2010

Rebut Keistimewaan Hari Jumaat

SETIAP minggu kita bertemu hari Jumaat. Hari yang sepatutnya dinanti-nantikan setiap umat Islam agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan dan kerahmatan-Nya.


Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang juga digelar 'Saiyyidul ayyam' terpahat dalam banyak hadis Rasulullah.

Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat". (Hadis riwayat Muslim)

Pada hari Jumaat juga perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah menyatakan bahawa antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua khutbah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat." (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud) Setiap individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.

Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal." (Hadis riwayat Ahmad)

Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat.

Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Surah al-Jumu'ah ayat 9)

Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali.

Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah ayat 10)

Begitulah keindahan Islam yang diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah.

Perkara itu dapat difahami menerusi maksud sabda Rasulullah: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan.

Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Barang siapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik." (Hadis riwayat Baihaqi) Namun, bagi mereka yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual ketika khatib membaca khutbah.


Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) 'diam' sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw (perkara sia-sia)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mendengar khutbah Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah sesuatu yang dituntut.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-A'raf, ayat 204) Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah)." (Surah al-Mu'minun ayat 52) - Metro

Siapakah Orang Yang Muflis di Akhirat?

SABDA Rasulullah SAW: “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi ketika di dunia, mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal si penzalim.

“Jika pahala amalnya habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya ketika di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa ada golongan yang menjadi muflis di akhirat dan mereka sebenarnya orang yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Namun, semua pahala ibadat mereka habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati atau dizalimi, selain dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.

Alangkah ruginya golongan muflis ini kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadat dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana diambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang dilakukan.

Sebagai seorang yang mengaku Islam, kita harus bijak melayarkan kehidupan berdasarkan petunjuk dan panduan hadis serta al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Infitaar, ayat 10 dan 11 yang bermaksud: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat- malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).”

Bagaimanapun, persoalannya pada hari ini, ada di kalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurniaan Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkhianati amanah sesama manusia.

Dalam mengejar kemewahan, mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi.

Selain itu, mereka tidak prihatin kepada hak sesama manusia, hak golongan fakir, miskin dan anak yatim.

Malah ada di kalangan kita menzalimi sesama manusia dan ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat.

Dalam kehidupan sehari- hari kita perlu berhati-hati supaya tidak melakukan dosa, terutama dosa sesama manusia.

Perlu difahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu diutamakan kerana ia kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten.

Oleh itu, sebelum menjadi ‘muflis’ di akhirat, sama-sama kita menghitung diri kita, adakah sudah berada dalam gaya hidup yang diredai Allah atau gaya hidup yang dimurkai Allah.

Andainya kita dalam keredaan-Nya, kita pertingkat dan gandakan lagi supaya ia lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT.

Andainya kita menderhaka kepada Allah, segeralah bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah-mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 133 yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”

Metro

Monday, November 22, 2010

Jangan Berputus Asa Daripada Rahmat Allah


IMAM Ghazali berkata, jika kita menyatakan beriman iaitu yakin adanya Allah SWT dan yakin pula terhadap sifat-Nya antaranya pemberi rahmat, hendaknya kita sandarkan harapan baik kepada Allah dengan sepenuh hati.

Selanjutnya, Imam Ghazali menyatakan bahawa agama Islam mengajar di samping seseorang berikhtiar, hendaklah dilengkapi dengan doa. Doa sebagai tanda seseorang mempunyai harapan baik kepada Allah SWT.

Katanya lagi, orang yang berputus asa daripada rahmat Allah bererti tidak percaya kepada kemurahan-Nya. Dalam al-Quran, orang demikian dianggap kafir (tertutup hatinya dan tidak percaya adanya pertolongan Allah).

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak ada yang putus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang yang sesat.” (Surah Al-Hijr, ayat 56)

Allah SWT tidak pernah memberhentikan rahmat untuk dikurniakan kepada hamba-Nya. Allah SWT mengurniakan kepada sesiapa saja yang mengharapkan rahmat-Nya yang luas dan tidak terhitung banyaknya.

Banyaknya rahmat Allah dapat dilihat melalui hadis diriwayatkan Abul-Latis dengan sanadnya daripada Al-Hasan berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mempunyai seratus rahmat, diturunkan ke bumi hanya satu rahmat untuk penduduk dunia, maka mencukupi hingga habis ajal mereka dan Allah akan mencabut rahmat yang satu pada hari kiamat untuk digenapkan pada yang sembilan puluh sembilan dan diberikan-Nya kepada para wali dan ahli yang taat kepada-Nya.”

Kita diingatkan bahawa amal yang dikerjakan selama hidup atas dunia ini belum tentu dapat membantu untuk masuk ke syurga. Kita akan masuk syurga kerana rahmat Allah SWT.
Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak seorang pun di antara kalian yang akan dibebaskan oleh amalnya.” Sahabat bertanya: “Tidak juga anda, ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah: “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan keampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah SWT tidak membezakan hamba untuk mendapatkan rahmat-Nya. Baik orang yang beriman atau berdosa, Allah SWT tetap akan memberi rahmat-Nya, kecuali syaitan dan orang kafir. Syaitan dan orang kafir tidak akan mendapat rahmat Allah sampai bila-bila.

Orang yang tidak membuat amal soleh tidak akan mendapat rahmat Allah seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka siapa yang mengharap mendapat rahmat dan bertemu dengan Tuhan-Nya, maka hendaklah beramal soleh.” (Surah Al-Kahfi, ayat 110)

Orang beriman seharusnya tidak berputus asa terhadap rahmat Allah kerana hajat kita akan dimakbulkan dengan syarat tidak berputus asa memohon kepada-Nya. Selama kita mahu memohon kepada-Nya dengan keyakinan dan harapan kuat, Dia akan memakbulkannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya dari kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang yang beriman.” (Surah al-Anbiya ayat 88)

Monday, November 15, 2010

Wuquf di Arafah Hari Ini

2010/11/15

MAKKAH: Sekurang-kurangnya 2.5 juta jemaah memulakan ibadat haji semalam dengan menuju ke sebuah kawasan perkhemahan di Mina, tidak jauh dari bandar Makkah, mengikut jejak langkah Nabi Muhammad SAW, 14 abad yang lalu.

Beratus-ratus bas dan kenderaan lebih kecil penuh dengan jemaah tua dan muda menuju ke sana. Ramai juga yang memutuskan untuk berjalan kaki.

Empat pos kawalan di lebuh raya Jeddah-Makkah penuh dengan anggota keselamatan bagi memastikan perjalanan jemaah lancar. Di Mina, lalu lintas lancar.

Sebaik tiba dan masuk ke khemah yang kalis api, jemaah akan mula membaca al-Quran, berdoa atau cuba mencari sanak saudara, lapor laman web Arab News.

Ramai juga akan berehat terlebih dulu kerana perjalanan dari Jeddah dan Makkah ke Mina biasanya mengambil masa lima jam.

Seorang jemaah Pakistan, Shaukat Piracha, berkata: “Keadaan di sini memang menarik sekali. Saya datang lebih awal kerana mahu mengelak kesesakan jalan.”

Pagi ini, jemaah akan bergerak ke Padang Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW memberi amanat terakhirnya.

Selepas itu, jemaah akan pulang ke Mina selepas bermalam di Muzdalifah. Selepas itu, mereka akan melontar batu di Jamrah dan melakukan korban sempena tibanya Hari Raya Aidiladha esok. – Reuters/Agensi

Di bawah ialah petikan daripada Kelebihan Zulhijjah oleh Ustaz Zaharuddin buat perkongsian bersama:

Amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

1) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

2) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

4) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.

6) Melakukan sembelihan korban : Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Artikel lain
Wuquf di 'Arafah

Thursday, November 11, 2010

Dunia Untuk Akhirat

Sesungguhnya Alllah swt telah menjadikan kehidupan manusia di dunia ini. Allah juga menyediakan segala keperluan untuk hidup di dunia. Keperluan asasi bagi manusia semuanya sama, tidak kira manusia itu beriman atau sebaliknya. Itulah sifat pemurah Allah swt;

Firman Allah swt, maksudnya;

"Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (al-Baqarah [2] : 29)

Allah swt juga menjadikan kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada manusia, untuk menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan semasa mereka berada di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan di dunia hanyalah sementara sahaja.

Sabda Rasulullah saw;

Maksudnya; "Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, apabila berada di waktu petang engkau tidak menunggu waktu pagi dan apabila berada di waktu pagi engkau tidak menunggu waktu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh di bawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya".

Sabda Rasulullah saw;

Maksudnya; "Tapak kaki manusia tidak akan berganjak sehingga ditanya empat perkara; Untuk apa badannya digunakan, Umurnya untuk apa dihabiskan, Hartanya dari mana ia dapatkan dan untuk apa ia dibelanjakan".

Dunia hendaklah digunakan sebaik-baiknya supaya ia beroleh manfaat diakhirat.

Harta yang dimiliki hendaklah digunakan pada perkara yang dibenarkan oleh syarak seperti memberi nafkah kepada orang yang wajib diberi nafakah, haji, umrah, membeli pakaian untuk menutup aurat, menuntut ilmu dan lain-lain. Maka harta tersebut akan membawa ke akhirat. Bukan digunakan untuk perkara maksiat dan sia-sia.

Umur yang Allah berikan kepada kita hendaklah digunakan sebagai sarana mengabdikan diri kepadaNya dan jangan sekali–kali digunakan kepada perkara maksiat atau perkara yang sia-sia kerana umur yang diberikan kepada manusia dirahsiakan tempohnya.

Kekuasaan, kedudukan dan jawatan yang diiberikan hendaklah digunakan untuk melaksanakan keadilan, kewajipan dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Semua amanah dan tanggungjawab akan dipertanggungjawabkan di kahirat nanti.

Anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah swt hendaklah dididik supaya menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.

Nabi saw bersabda; Maksudnya; "Apabila manusia mati, maka semua amalannya akan terputus kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya".

Menuntut ilmu dengan tujuan untuk menunaikan kewajipan dan menghampirkan diri kepada Allah swt bukan hanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Segala urusan dunia yang dilakukan oleh manusia akan menjadi ibadah dan membawa ke akhirat dengan syarat-syarat berikut;

1) Niat ikhlas kerana Allah swt.

2) Perbuatan yang dilakukan mestilah menepati syariat Islam dengan tidak menghalalkan yang haram atau sebaliknya.

Sabda Nabi saw; Maksudnya; "Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak menepati suruhan kami, maka ia ditolak".

Sumber rujukan Usrahrasahati

Wednesday, November 10, 2010

Kisah Pasangan Burung

Mungkin ramai dah lihat, sekadar berkongsi buat peringatan untuk semua.

Gambar yang diambil oleh seorang jurufoto yang telah melariskan jualan akhbar di Perancis pada hari ia disiarkan.

Di sinilah pasangan (isteri? suami?) kepada burung layang-layang ini terlantar antara hidup atau mati, kerana dilanggar oleh kereta ketika terbang rendah.



Di sinilah ia menghantarkan makanan kepada pasangannya itu, dan menemaninya dengan penuh setia dan kasih sayang..


Sekali lagi ia terbang dan datang membawakan makanan, namun ia sangat terkejut apabila mendapati pasangannya telah mati.. Ia cuba menggerak-gerakkan pasangannya itu, satu keadaan yang jarang dilihat bagi burung atau binatang sepertinya..

Menyedari pasangannya sudah tidak bergerak, dan tidak akan kembali lagi kepadanya, ia mengeluarkan bunyi seolah-olah sedang menangisi pemergian itu dengan hiba..


Dan akhirnya menerima hakikat bahawa pasangannya itu telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya....

Hidup menjadi sepi...


Begitulah kasih sayang yang Allah ciptakan antara sesama makhluk-Nya..Manusia bagaimana?

Pastinya burung yg ditinggalkan pasangan ... hidup menjadi sepi...kita manusia......???

Disalin daripada sini

Ciri-ciri wanita syurga


1. Bertakwa.

2. Beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari kiamat, dan beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk.

3. Bersaksi bahawa tiada yang berhak disembah kecuali Allah, bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa bulan Ramadan, dan menunaikan haji bagi yang mampu.

4. Ihsan, iaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah, jika dia tidak dapat melihat Allah, dia mengetahui bahawa Allah melihat dirinya.

5. Ikhlas beribadah semata-mata kepada Allah, tawakal kepada Allah, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya dan bersabar atas segala takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

6. Gemar membaca al-Quran dan berusaha memahaminya, berzikir mengingati Allah ketika sendiri atau bersama orang dan sentiasa berdoa kepada Allah.

7. Menghidupkan amar makruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

8. Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternakan yang dimiliki.

9. Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.

10. Adil dalam segala perkara dan bersikap adil terhadap seluruh makhluk.

11. Menjaga lisannya daripada perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah).

13. Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14. Berbakti kepada kedua-dua orang tua.

15. Menyambung silaturahim dengan keluarganya, sahabat terdekat dan jauh.

iluvislam.com

Monday, November 08, 2010

Sabar

Kesabaran jadi pengukur darjat keimanan umat Islam

SEORANG lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar menghadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.


Kemudian Baginda menjawab: “Sekiranya benar seperti yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah selama mana engkau berada dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia adalah pengukur darjat keimanan seseorang.

Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.

Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak. Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturahim dan haram memutuskannya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Berita Harian 2010/11/08

Kawal Perasaan

Amal ibadat boleh jadi ‘penawar’ untuk hati daripada dikuasai perasaan benci, dendam


PERASAAN dendam, benci dan amarah boleh menimbulkan pergolakan serta kekacauan dalam masyarakat kerana sikap mazmumah ini jika dibiarkan berakar umbi dalam jiwa akan menanamkan bibit perselisihan. Islam agama yang berpaksikan kesejahteraan mendidik umatnya supaya menjauhi sifat tercela ini yang boleh menggugat hubungan ukhuwah. Benci diibaratkan api yang diam-diam menyala dalam sanubari apabila tidak mampu dikawal, maka lahirlah tindakan dan perlakuan beremosi.

Seorang sahabat pernah datang menemui Rasulullah SAW memohon supaya Baginda dapat memberi pesan serta wasiat ringkas. Jawab Baginda: “Janganlah kamu marah.” Diulang sekali lagi pertanyaan itu dan Rasulullah SAW tetap menyebut:
“Jangan marah.”

Dalam menghadapi situasi kehidupan hari ini yang serba-serbinya mencabar, sifat marah jika sudah berada pada tahap melampau dan tidak mampu dikawal oleh pertimbangan akal serta agama, akan hanya membinasakan diri sendiri.

Sudah ramai yang dapat kita saksikan hari ini bagaimana sifat marah serta benci yang tumbuh dalam hati bertukar menjadi dendam kesumat yang diakhiri dengan tindakan kejam hingga memusnahkan kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.

Justeru, tidak hairanlah mutakhir ini jenayah kejam seperti buli, mencederakan orang hatta membunuh semakin meningkat. Semuanya berpunca daripada gejolak hati yang marak mendidih tanpa dapat dikawal lagi.

Allah sentiasa mengingatkan hamba-Nya sentiasa menjaga hati supaya tidak termakan hasutan syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (untuk kejahatan) itu datangnya daripada hasutan syaitan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 58)

Umat Islam terbaik adalah mereka yang menjaga perlakuan, lidah dan kalbunya daripada sifat tercela. Hati yang jernih dan bersih akan menampilkan akhlak indah serta terpuji. Masyarakat yang berhati luhur, bersopan santun serta mudah memaafkan akan melahirkan modal insan contoh.

Banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menghindari sikap marah, dendam dan benci daripada terus bermaharajalela dalam hati dan nurani. Antara diajar Rasulullah SAW ialah melunakkan lidah dengan selawat, banyakkan berpuasa sunat, mengamalkan bacaan al-Quran supaya hati tenang dan tidak keluh kesah.

Selain itu, bagi meredakan kemarahan dan kebencian daripada terus bernyala, kita sepatutnya melihat daripada sudut positif seperti mengenang kembali kebaikan yang ada pada dirinya supaya berkurangan rasa marah dan benci dalam hati.

Kemampuan kita mengawal rasa dendam, marah dan benci yang bergelodak dalam jiwa menjadikan kita sebaik-baik manusia kerana Nabi Muhammad SAW selalu mengingatkan supaya bersedia untuk berjihad menentang hawa nafsu.

Ketika jenayah dan gejala sosial berleluasa dalam masyarakat di mana ramai menjadi mangsa perlakuan kejam serta ganas, masyarakat perlu menilai apa yang berlaku supaya dapat dijadikan iktibar.

Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan kemarahan tatkala menyaksikan bagaimana bapa saudaranya, Saidina Hamzah Abu Talib dibunuh dengan kejam dan di luar batas kemanusiaan dalam perang Uhud.

Kemarahan dan perasaan dendam Baginda akhirnya dilembutkan Allah apabila turunnya ayat Al-Quran yang meminta Nabi tabah serta bersabar dengan ujian besar yang diterimanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka tentulah mereka akan lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Marilah kita mendidik diri supaya sentiasa berlembut hati, pemurah serta mudah memaafkan orang lain kerana itulah sifat Rasulullah SAW yang berjaya menarik ramai golongan Musyrikin yang keras, sombong dan degil hingga akhirnya mampu dijinakkan dengan kebenaran Islam.

Berita Harian 2010/11/08
Nafsu amarah gagal dikawal membinasa diri
Oleh Nazri Hussein

Monday, November 01, 2010

Teknologi Digital Penggantian Lutut


ROSNAH terpaksa membuang tulang di bahagian atas hingga bawah lutut pada kaki kanannya kerana penyakit kanser tulang yang dihadapi.

Seperti yang pernah diberitahu oleh doktor yang merawatnya, selepas pembedahan, dia boleh pulang ke rumah selepas lima hari dibedah.

SENDI lutut diperbuat daripada tiga tulang iaitu tulang paha (femur) yang berada di atas tulang tibia.

Seperti tidak percaya, Rosnah meragui cerita doktor yang merawatnya.

Anehnya sehari selepas pembedahan mengganti tulang lutut, Rosnah boleh bangun dari katilnya.

Apa yang dialami adalah sesuatu yang lazim dialami oleh mereka yang menjalani pembedahan sama ada penggantian tulang pinggul, gantian sendi lutut atau patah tulang paha menggunakan kaedah pembedahan bantuan teknik navigasi berkomputer atau digital.

Secara umumnya, apabila menyebut terapi penggantian lutut atau pembedahan lutut, ramai yang mengaitkan dengan warga tua.

Ketika soalan pertama penulis ajukan kepada Pakar Runding Ortopedik, Hospital Tropicana, Dr. Soong Kean Leong, penulis digambarkan masalah lutut kepada dua kategori mengikut umur muda dan tua.

Terdapat kes pesakit muda yang kemalangan jalan raya menyebabkan lutut tidak lagi berfungsi dengan baik. Dalam situasi tu, doktor pula menolak terapi penggantian lutut atas alasan usia masih muda.

Ini kerana masalah lutut sering dikaitkan dengan pesakit yang berusia 60 tahun ke atas.

Penggantian lutut melibatkan implan yang ditanam mempunyai jangka hayat pendek dan menyebabkan lutut tidak boleh berfungsi sepenuhnya. Bagaimanapun, teknologi implan terkini menyaksikan ia boleh bertahan hingga 20 tahun.

Terapi penggantian lutut sebenarnya untuk semua pesakit yang amat memerlukan prosedur itu tidak kira usia pesakit.

Jika seseorang mengalami kesakitan yang tidak tertanggung dan menjejaskan kualiti hidup seperti sukar bergerak, rawatan sebelum ini tidak berkesan dan berlakunya kerosakan lutut, maka terapi penggantian lutut mungkin jawapan terbaik khususnya mereka yang aktif dalam sukan.

Terapi penggantian lutut memang lebih popular di kalangan pesakit tua kerana masalah osteoarthritis yang menyerang golongan berusia. Namun, dengan teknologi implan terkini jika ada pesakit muda yang aktif bersukan dan mengalami kecederaan, doktor akan mencadangkan prosedur itu.

Dalam pada itu, pembedahan gantian lutut sebelum ini membabitkan prosedur yang meninggalkan parut berukuran lapan ke 12 inci. Pesakit terpaksa duduk di wad sehingga lima hari tetapi dengan teknik pembedahan minimal invasif (MIS) bukaan pembedahan adalah kecil antara empat ke enam inci saja. MIS juga memastikan doktor tidak ‘mengganggu’ otot dan tisu tendon yang tidak berkaitan. Teknik itu meninggalkan parut yang lebih kecil, tempoh tinggal di wad yang singkat, anda juga pulih dalam tempoh yang cepat dan kurang sakit.

MIS akan memastikan pembedahan tidak banyak berdarah dan pesakit pulih dengan cepat terutamanya dengan bantuan teknik navigasi berkomputer atau digital. Prosedur ini akan memudahkan doktor mendapat ukuran yang tepat untuk menyeimbangkan ukuran tulang yang perlu dipotong.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

Utusan

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails