MAKKAH: Sekurang-kurangnya 2.5 juta jemaah memulakan ibadat haji semalam dengan menuju ke sebuah kawasan perkhemahan di Mina, tidak jauh dari bandar Makkah, mengikut jejak langkah Nabi Muhammad SAW, 14 abad yang lalu.
Beratus-ratus bas dan kenderaan lebih kecil penuh dengan jemaah tua dan muda menuju ke sana. Ramai juga yang memutuskan untuk berjalan kaki.
Empat pos kawalan di lebuh raya Jeddah-Makkah penuh dengan anggota keselamatan bagi memastikan perjalanan jemaah lancar. Di Mina, lalu lintas lancar.
Sebaik tiba dan masuk ke khemah yang kalis api, jemaah akan mula membaca al-Quran, berdoa atau cuba mencari sanak saudara, lapor laman web Arab News.
Ramai juga akan berehat terlebih dulu kerana perjalanan dari Jeddah dan Makkah ke Mina biasanya mengambil masa lima jam.
Seorang jemaah Pakistan, Shaukat Piracha, berkata: “Keadaan di sini memang menarik sekali. Saya datang lebih awal kerana mahu mengelak kesesakan jalan.”
Pagi ini, jemaah akan bergerak ke Padang Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW memberi amanat terakhirnya.
Selepas itu, jemaah akan pulang ke Mina selepas bermalam di Muzdalifah. Selepas itu, mereka akan melontar batu di Jamrah dan melakukan korban sempena tibanya Hari Raya Aidiladha esok. – Reuters/Agensi
Amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah yang amat besar pahalanya ini antaranya :-
1) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.
Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).
Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.
2) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.
Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :
"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah" (Riwayat Muslim).
Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.
3) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca Al-Quran, solat sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.
4) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan tawbat bagi sesiapa yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini.
Bertawbatlah dengan sebenar-benar tawbat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.
5) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu ‘Asar hari ketiga Tashriq.
6) Melakukan sembelihan korban : Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)
Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”
Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.
Artikel lain
Wuquf di 'Arafah
No comments:
Post a Comment