SABDA Rasulullah SAW: “Orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi ketika di dunia, mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang dizalimi akan menerima pahala amal si penzalim.
“Jika pahala amalnya habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya ketika di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, Allah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa ada golongan yang menjadi muflis di akhirat dan mereka sebenarnya orang yang memiliki pahala, seperti pahala solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.
Namun, semua pahala ibadat mereka habis kerana digunakan sebagai membayar ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikhianati atau dizalimi, selain dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.
Alangkah ruginya golongan muflis ini kerana walaupun mempunyai pahala kerana mengerjakan ibadat dan bermacam kebaikan, akhirnya menjadi kosong kerana diambil oleh orang lain sebagai ganti rugi dengan sebab kesalahan terhadap orang lain atau kezaliman yang dilakukan.
Sebagai seorang yang mengaku Islam, kita harus bijak melayarkan kehidupan berdasarkan petunjuk dan panduan hadis serta al-Quran sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Infitaar, ayat 10 dan 11 yang bermaksud: “Padahal sesungguhnya, ada malaikat- malaikat yang menjaga dan mengawas segala bawaan kamu, (Mereka adalah makhluk) yang mulia (di sisi Allah), lagi ditugaskan menulis (amal-amal kamu).”
Bagaimanapun, persoalannya pada hari ini, ada di kalangan kita yang kaya di dunia tetapi tidak bersedia untuk menghindari muflis di akhirat. Mereka menikmati pelbagai kemewahan kurniaan Allah SWT di dunia tetapi tidak bersyukur dan mengabaikan tanggungjawab terhadap Allah SWT dan mengkhianati amanah sesama manusia.
Dalam mengejar kemewahan, mereka lupa solat, zakat, menunaikan haji dan sebagainya kerana sibuk dengan pelbagai urusan duniawi.
Selain itu, mereka tidak prihatin kepada hak sesama manusia, hak golongan fakir, miskin dan anak yatim.
Malah ada di kalangan kita menzalimi sesama manusia dan ketahuilah bahawa gaya hidup sedemikian akan menjadikan mereka muflis di akhirat.
Dalam kehidupan sehari- hari kita perlu berhati-hati supaya tidak melakukan dosa, terutama dosa sesama manusia.
Perlu difahami bahawa kehidupan di akhirat lebih perlu diutamakan kerana ia kehidupan yang kekal abadi. Kesejahteraan di akhirat memerlukan persiapan dan usaha yang lebih terancang dan konsisten.
Oleh itu, sebelum menjadi ‘muflis’ di akhirat, sama-sama kita menghitung diri kita, adakah sudah berada dalam gaya hidup yang diredai Allah atau gaya hidup yang dimurkai Allah.
Andainya kita dalam keredaan-Nya, kita pertingkat dan gandakan lagi supaya ia lebih mendapat rahmat dan keredaan Allah SWT.
Andainya kita menderhaka kepada Allah, segeralah bertaubat dan kembali ke jalan Allah, mudah-mudahan kita diampuni Allah dan dilimpahi kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat sebagaimana firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 133 yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu, dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.”
No comments:
Post a Comment