Followers

Thursday, November 11, 2010

Dunia Untuk Akhirat

Sesungguhnya Alllah swt telah menjadikan kehidupan manusia di dunia ini. Allah juga menyediakan segala keperluan untuk hidup di dunia. Keperluan asasi bagi manusia semuanya sama, tidak kira manusia itu beriman atau sebaliknya. Itulah sifat pemurah Allah swt;

Firman Allah swt, maksudnya;

"Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu". (al-Baqarah [2] : 29)

Allah swt juga menjadikan kehidupan ini dan semua yang ada padanya sebagai ujian kepada manusia, untuk menilai siapakah manusia yang paling baik amalannya. Di akhirat nanti kedudukan manusia ditentukan beradasarkan apa yang mereka lakukan semasa mereka berada di dunia dan akhir kesudahan kehidupan mereka. Kehidupan di dunia hanyalah sementara sahaja.

Sabda Rasulullah saw;

Maksudnya; "Jadilah engkau di dunia seolah-olah orang berjalan, apabila berada di waktu petang engkau tidak menunggu waktu pagi dan apabila berada di waktu pagi engkau tidak menunggu waktu petang, Perumpamaan aku dan dunia seperti orang musafir duduk berteduh di bawah pokok kemudian bangun dan meninggalkannya".

Sabda Rasulullah saw;

Maksudnya; "Tapak kaki manusia tidak akan berganjak sehingga ditanya empat perkara; Untuk apa badannya digunakan, Umurnya untuk apa dihabiskan, Hartanya dari mana ia dapatkan dan untuk apa ia dibelanjakan".

Dunia hendaklah digunakan sebaik-baiknya supaya ia beroleh manfaat diakhirat.

Harta yang dimiliki hendaklah digunakan pada perkara yang dibenarkan oleh syarak seperti memberi nafkah kepada orang yang wajib diberi nafakah, haji, umrah, membeli pakaian untuk menutup aurat, menuntut ilmu dan lain-lain. Maka harta tersebut akan membawa ke akhirat. Bukan digunakan untuk perkara maksiat dan sia-sia.

Umur yang Allah berikan kepada kita hendaklah digunakan sebagai sarana mengabdikan diri kepadaNya dan jangan sekali–kali digunakan kepada perkara maksiat atau perkara yang sia-sia kerana umur yang diberikan kepada manusia dirahsiakan tempohnya.

Kekuasaan, kedudukan dan jawatan yang diiberikan hendaklah digunakan untuk melaksanakan keadilan, kewajipan dan tanggungjawab dengan sebaiknya. Semua amanah dan tanggungjawab akan dipertanggungjawabkan di kahirat nanti.

Anak-anak yang dianugerahkan oleh Allah swt hendaklah dididik supaya menjadi anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.

Nabi saw bersabda; Maksudnya; "Apabila manusia mati, maka semua amalannya akan terputus kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya".

Menuntut ilmu dengan tujuan untuk menunaikan kewajipan dan menghampirkan diri kepada Allah swt bukan hanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Segala urusan dunia yang dilakukan oleh manusia akan menjadi ibadah dan membawa ke akhirat dengan syarat-syarat berikut;

1) Niat ikhlas kerana Allah swt.

2) Perbuatan yang dilakukan mestilah menepati syariat Islam dengan tidak menghalalkan yang haram atau sebaliknya.

Sabda Nabi saw; Maksudnya; "Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang tidak menepati suruhan kami, maka ia ditolak".

Sumber rujukan Usrahrasahati

No comments:

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails